Rabu, 16 Oktober 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pemilihan Gerakan: Jawatan tertinggi peringkat pusat dijangka jadi rebutan

Posted: 16 Oct 2013 03:00 AM PDT

October 16, 2013

Pemilihan Gerakan pada hujung bulan ini dijangka menyaksikan perebutan untuk jawatan-jawatan tertinggi peringkat pusat.

Yang pasti, pemilihan kali ini hangat memandangkan jawatan presiden dan timbalan presiden akan dipertandingkan.

Ini berikutan Datuk Chang Ko Youn yang memangku jawatan presiden sejak Mei lepas, telah mengumumkan hasrat untuk berundur, sekali gus membuka persaingan kepada pemimpin lain untuk merebut jawatan tertinggi parti itu.

Ini juga merupakan kali pertama jawatan presiden Gerakan dipertandingkan sejak 2005, apabila presiden pada masa itu Tun Dr Lim Keng Yaik dicabar oleh timbalannya Datuk Seri Kerk Choo Ting.

Mendiang Dr Lim berjaya mempertahankan jawatannya dan kekal sebagai presiden Gerakan untuk penggal kesembilan.

Beliau kemudian bersara pada April 2007 dan jawatannya dipangku oleh Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu yang juga Timbalan Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dr Koh kemudian menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti pada Oktober 2008, sebelum bersara pada Mei tahun ini.

Selain jawatan presiden dan timbalan presiden, tiga jawatan naib presiden dan 18 anggota jawatankuasa pusat juga dijangka menjadi rebutan.

Proses penamaan calon bagi jawatan tertinggi pusat akan diadakan Sabtu ini di Menara PGRM di sini manakala penamaan bagi sayap Pemuda dan Wanita akan diadakan Jumaat ini.

Menurut seorang petugas parti, persediaan untuk hari penamaan calon bagi badan induk dan kedua-dua sayap berjalan lancar.

"Penamaan akan berlangsung selama dua jam dari pukul 10 pagi dan selepas itu, tempoh bantahan selama 30 minit sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan," katanya.

Beliau berkata, ibu pejabat parti juga akan menyediakan borang pemilihan tambahan untuk mana-mana pihak yang berminat untuk bertanding. – Bernama, 16 Oktober, 2013.

Penasihat PM dilantik Anggota Lembaga Penasihat Sains PBB

Posted: 16 Oct 2013 02:52 AM PDT

October 16, 2013

Penasihat Sains kepada Perdana Menteri merupakan seorang daripada tujuh tokoh Asia yang dilantik Anggota Lembaga Penasihat Sains kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon.

Menurut kenyataan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid akan menganggotai lembaga baru bagi menasihati Ban dan ketua eksekutif agensi PBB berhubung isu sains, teknologi dan inovasi berkaitan pembangunan mampan.

"Zakri sebagai salah seorang anggota lembaga penasihat yang baru dibentuk melibatkan para saintis tersohor dengan mandat sebagai penasihat kepada Ban dan lain-lain eksekutif kanan serta organisasi dalam sistem PBB," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut sebanyak 26 pakar antarabangsa dilantik menganggotai lembaga itu merangkumi pelbagai latar belakang – sains, kejuruteraan dan teknologi; sains sosial dan kemanusiaan; etika; kesihatan; ekonomi; sains tingkah laku; pertanian serta sains alam sekitar yang sering kali dikaitkan dengan pembangunan mampan.

Pelantikan Zakri, yang memegang jawatan penasihat sains sejak 2010, berkuat kuasa hari ini. – Bernama, 16 Oktober, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved