Selasa, 22 Oktober 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Berita Harian cuba musnahkan kerjaya politik Husam, kata penganalisis

Posted: 22 Oct 2013 03:05 AM PDT

OLEH DIYANA IBRAHIM
October 22, 2013

Kritikan terbuka Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa (gambar) ke atas pentadbiran kerajaan negeri Kelantan merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi dan ia tidak seharusnya diperbesarkan dan digambarkan secara negatif, kata pengkaji politik Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul membidas laporan Berita Harian yang mengatakan kononnya Husam diminta memberi penjelasan kepada pucuk pimpinan PAS ekoran kenyataannnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dalam satu perjumpaan hari ini.

"Bagi saya, ia tindakan penakut tidak amanah dan tidak beretika apabila seorang sumber dalaman PAS yang cuba menyerang dengan secara terbuka ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kamarul yang mempunyai Ijazah Sarjana melalui tesis "PAS di bawah Kepimpinan Ulama" berkata, perbuatan sumber mendedahkan perjumpaan yang berlaku hari ini kepada media juga disifatkan pendedahan berat sebelah yang tidak adil.

"Dalam laporan tersebut sumber cuba mengkritik Husam dengan berkata Husam sebagai bekas Exco kanan negeri sepatutnya lebih memahami dan mengikut prosedur teguran ketika dalam Sidang Dewan Rakyat (DUN).

"Namun adakah sumber itu sendiri mengikut prosedur yang betul mendedahkan perjumpaan tanpa kebenaran pemimpin parti kepada media?" soalnya.

Pengkaji politik itu berkata lagi, laporan tersebut cuba memberi gambaran buruk dan memusnahkan kerjaya politik Husam seolah-olah pemimpin itu melakukan kesalahan dan bakal dihukum kerana kritikan terbuka.

"Pada pendapat saya Husam cuba membawa pembaharuan bersuara dengan lantangnya demi kebaikan, itu perkara biasa dan ia mencerminkan ketelusan pentadbiran.

"Mungkin kerana budaya kita yang tidak biasa begitu, bila kita cuba mengkritik meluahkan kebimbanga mereka akan anggap kita menentang tapi saya pasti niat Husam ingin meningkatkan lagi kecemerlangan pentadbiran kerajaan negeri namun ia telah disalah anggap," katanya.

Malah kata Kamarul sumber juga tidak amanah kerana dengan beraninya mendedahkan kandungan perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 10 Oktober lalu biarpun tidak diberikan mandat untuk berbuat perkara demikian.

Hari ini dalam laporan akhbar Berita Harian bertajuk "PAS minta penjelasan Husam: Kritikan terbuka Adun Salor terhadap Kerajaan Kelantan cetus kontroversi" memetik sumber yang berkata Husam telah diminta untuk membuat penjelasan dalam perjumpaan khas hari ini di Kota Bahru di mana ia akan diketuai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Nada suaranya (Husam) seolah-olah beliau menjadi ketua pembangkang, parti tidak kisah berdepan teguran ahli sendiri, tetapi sekurang-kurangnya buatlah dengan cara lebih berhemah," katanya.

Sumber berkata lagi, serangan secara terbuka bekas Exco kanan kerajaan negeri itu merupakan kecaman pertama oleh pemimpin sendiri sejak PAS memerintah negeri itu selama 32 tahun.

Pada 8 dan 9 Oktober Husam dikatakan mengkritik kerajaan negeri secara lantang ketika membahaskan belanjawan negeri 2014 dan mencelah penggulunggan pada sidang DUN.

Beliau menyentuh beberapa isu membabitkan kepincangan pengurusan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), kelulusan 1,400 hektar tanah di Hutan SImpan Kekal Ulu Sat di Machang, projek pembinaan lebuh raya rakyat, pelaksanaan hukum syariah dan pelantikan anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negeri.

Kamarul pernah menulis tesis bertajuk "PAS Dalam Era Kepimpinan Ulama, 1982-2004" manakala untuk tesis master beliau bertajuk "PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982". – 22 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Sekarang Zahid kata tiada pistol polis jatuh dalam laut

Posted: 22 Oct 2013 02:42 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
October 22, 2013
Latest Update: October 22, 2013 06:07 pm

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini tidak menyatakan "terjatuh ke dalam laut" menjadi punca kehilangan senjata api polis, sebaliknya terdapat lima faktor lain menyebabkan kehilangan tersebut.

Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang menjelaskan, antara punca kehilangan senjata api berkenaan termasuklah kenderaan polis dipecah dan senjata api tertinggal di dalam kereta, diragut atau disamun, tercicir semasa menjalankan tugas, kehilangan dalam tandas, dan juga kehilangan dalam pejabat.

"Daripada 44 senjata api yang hilang berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, tujuh daripadanya telah dijumpai," kata Ahmad Zahid dalam jawapan bertulisnya yang diperolehi di Parlimen.

"Secara keseluruhannya, kategori senjata api yang hilang adalah dari senjata ringan (pistol dan revolver) yang boleh diletakkan di badan," katanya dalam jawapan bertulis tersebut.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menanggung kerugian sehingga RM1.33 juta apabila aset termasuk senjata api, gari, dan kenderaan dilaporkan hilang.

Pendedahan tersebut menimbulkan respon negatif pelbagai pihak yang turut mempertikaikan keupayaan pasukan keselamatan berkenaan mengawal ketenteraman awam memandangkan berlakunya kehilangan harta benda mereka sendiri.

Dalam respon balas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun tidak menolak kemungkinan senjata api berkenaan "terjatuh dalam laut semasa operasi".

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya berkata, berdasarkan statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik, PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak hilang adalah gari dengan sejumlah 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan dengan masing-masing sebanyak 44 dan 29 unit.

PDRM jelas Ahmad Zahid mempunyai prosedur khusus bagi menyiasat punca kehilangan tersebut dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penyiasat mengikut peruntukan di bawah Seksyen 79 Akta Polis 1967.

"Panduan dan kaedah-kaedah siasatan berpandukan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007," katanya.

Jawatankuasa berkenaan jelasnya akan membuat pertanyaan yang menjurus kepada sebab-sebab kehilangan dan syor bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Hasil siasatan dan syor akan dinilai bagi menentukan tindakan yang patut diambil, jika terdapat bukti kecuaian maka pegawai bertanggungjawab akan diambil tindakan surcaj atau tatatertib, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Bahagian Teknologi Maklumat (IT) PDRM juga jelasnya sedang membangunkan sub-modul bagi pemantauan dan rekod kes kehilangan aset PDRM bermula daripada ia berlaku sehingga peringkat tindakan dikenakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab.

"Sistem ini dijangka akan dimulakan operasinya selewat-lewatnya pada November 2013.

"Dengan wujudnya sistem tersebut, semua kes kehilangan aset PDRM akan diketahui dengan mudah oleh Urus Setia Pengurusan Kehilangan Aset PDRM," katanya lagi. – 22 Oktober, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved