Rabu, 9 Oktober 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Anak tunggal Hussain Najadi peroleh harta RM1.8 juta

Posted: 09 Oct 2013 03:13 AM PDT

October 09, 2013
Latest Update: October 09, 2013 06:22 pm

Anak lelaki tunggal kepada pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia, Hussain Ahmad Najadi (gambar) yang meninggal dunia dalam kejadian tembak Julai lalu, hari ini berjaya memperoleh harta milik bapanya bernilai RM1.8 juta.

Ini berikutan Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan permohonan tuntutan faraid yang difailkan Pascal Ahmad Najadi, 46, terhadap harta itu.

Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas meneliti permohonan Pascal mengikut Seksyen 50 Akta Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998.

Jumlah harta RM1.8 juta yang diperoleh Pascal itu termasuk wang tunai RM321,195.70 dalam satu akaun bank serta harta dan saham di sebuah syarikat di Labuan sebanyak 540,000 unit yang berjumlah RM1.5 juta.

Bagaimanapun, Hakim Nassir memerintahkan hutang piutang bapanya seperti kad kredit berjumlah RM32,208.70 hendaklah terlebih dulu dibayar sebelum harta lain diagihkan kepada waris.

Mahkamah memerintahkan perintah itu berkuat kuasa dalam masa tujuh hari.

Pascal, pengerusi dan juga ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat penasihat kewangan, merupakan anak tunggal kepada Hussain.

Hussain meninggal dunia dalam kejadian tembak 29 Julai di tempat letak kereta berhampiran Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon.

Dalam keputusannya, Hakim Nassir berkata berdasarkan dokumen yang dikemukakan, mahkamah mendapati tiada waris lain selain Pascal.

"Berdasarkan fakta itu, mahkamah mensabitkan bahawa Hussain meninggalkan seorang waris dengan nisbah pembahagian 1:1," katanya.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya yang dikemukakan menerusi peguamnya Akberdin Abdul Kadir, Pascal menyatakan dia dilahirkan pada 20 Ogos 1967 di Switzerland dan mempunyai dua kerakyatan iaitu United Kingdom dan Switzerland.

Beliau berkata, datuknya iaitu Ahmad Najadi dan neneknya Balkis Najadi telah meninggal dunia pada 1998 dan 2008, masing-masing di Bahrain dan Iran. – Bernama, Oktober 9, 2013.

DAP gesa Zahid, Shabery mohon maaf kerana tipu rakyat

Posted: 09 Oct 2013 02:18 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
October 09, 2013

DAP menggesa agar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana didakwa berbohong berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) berkata kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan bercanggah dengan kenyataan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berhubung pembayaran artis-artis K-Pop dan juga isu kehilangan aset polis bernilai RM1.3 juta.

"Kedua-dua menteri mesti segera meminta maaf, jika tidak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mestilah bertindak sekiranya beliau mahu mengekalkan sebarang sisa keyakinan awam terhadap kejujuran, kemahiran dan profesionalisme menteri-menterinya," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lim, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berbohong apabila mengatakan pihak polis telah memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan alatan termasuk senjata api bernilai RM1.3 juta.

Manakala Shabery pula katanya berbohong apabila berkata bayaran RM1.6 juta untuk membawa masuk artis-artis K-Pop telah dibiaya penuh oleh penaja.

"Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan pembohongan mereka," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Kegagalan dan salahlaku kewangan dalam urusan kerajaan tegas Lim adalah amat kritikal terhadap ekonomi negara kerana perolehan dari segi barangan, kerja dan perkhidmatan setiap tahun membentuk 25% daripada kadar nominal KDNK berbanding ekonomi negara maju lain di mana perolehan tahunannya hanyalah 12% daripada KDNK.

"Dengan kata lain, Malaysia rugi dua kali ganda berbanding negara maju dalam hal rasuah atau pembaziran dana awam," tambahnya lagi.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah mendedahkan pasukan keselamatan berkenaan merekodkan kehilangan aset termasuk senjata api, gari dan juga kenderaan yang berkemungkinan berlaku semasa operasi.

"Setakat ini orang awam dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bahawa senjata api yang hilang itu berkemungkinan jatuh ke dalam laut, walaupun tidak ada laporan polis yang dibuat lantaran kehilangan tersebut.

"Adakah 29 buah kenderaan polis itu juga turut ke laut perginya?" soal Lim.

Ketirisan, pembaziran dan salah laku kewangan ini kata Lim memberi kesan buruk terhadap kadar pertumbuhan ekonomi.

"Pemimpin BN tidak patut menafikan hakikat ini tetapi mengambil langkah-langkah untuk menangani kelemahan-kelemahan yang disebutkan dalam Laporan Ketua Audit Negara," katanya. – 9 Oktober, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved