Khamis, 21 November 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Ulama PAS tolak Hasan Ali, dakwa beliau cuba pecah belahkan parti

Posted: 21 Nov 2013 02:48 AM PST

OLEH MD IZWAN
November 21, 2013

Muktamar PAS ke-59 dijangka hangat dengan pelbagai isu.Muktamar PAS ke-59 dijangka hangat dengan pelbagai isu.Dewan Ulama PAS menyifatkan gesaan bekas Naib Presiden PAS Datuk Dr Hasan Ali supaya parti Islam itu meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai cubaan memecahbelahkan parti Islam itu.

Setiausaha Dewan Ulama Dr Mohd Khairudin Aman Razali menegaskan kenyataan Hasan tidak wajar dijadikan rujukan oleh ahli PAS yang bakal menghadapi pemilihan parti minggu ini.

"Beliau bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan PAS  dan Pakatan. Hasan Ali tidak wajar dijadikan rujukan oleh ahli PAS.

"Beliau mungkin ada hak untuk bercakap, tapi beliau tidak ada hak untuk dijadikan rujukan pemimpin PAS ataupun bercakap mengenai parti," kata Mohd Khairudin apabila dihubungi The Malaysian Insider semalam.

Hujung minggu lalu, Hasan yang dipecat daripada PAS menggesa parti Islam itu mengkaji semula kedudukan parti itu dalam PR kerana peranan PAS seakan-akan tidak menonjol lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Saya harap ia dapat dicerminkan dalam muktamar kali ini dan keputusannya, PAS meninggalkan PR," kata Hasan semasa sidang media rumahnya Sabtu lalu.

Mohd Khairudin membidas Hasan sebagai tidak layak bercakap mengenai hal ehwal parti PAS memandangkan sudah dipecat pada tahun 2012. Keputusan tersebut berdasarkan Fasal 82 (9) peraturan parti.

"Bagi isu dan perkara yang dibangkitkan oleh Hasan Ali, ingin saya tegaskan di sini, Hasan Ali telah dipecat dan tidak layak untuk bercakap mengenai PAS ataupun perkara berkaitan dengan PAS," kata Mohd Khairudin.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed juga mempersoalkan niat Hasan yang membangkitkan mengenai gesaan tersebut memandangkan tidak pernah mengutarakan pandangan sedemikian semasa masih lagi berada dalam parti tersebut sebelum dipecat.

"Pandangan tersebut adalah hak beliau (Hasan Ali), tapi adalah lebih baik jika ia dilakukan semasa dahulu berada dalam PAS.

"Dulu tidak pun pernah nyatakan sokongan, patutnya bersuara ketika masih memegang kuasa," kata Mahfodz kepada The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, mengenai isu kaji semula supaya tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PR, kedua-dua pemimpin Dewan Ulama tersebut menjelaskan cadangan tersebut bukan bertujuan untuk mengajak PAS meninggalkan PR.

Sebaliknya, Mohd Khairudin berkata cadangan tersebut diutarakan bertujuan untuk melakukan bedah siasat terhadap usaha sama selama ini yang terjalin antara PAS dan PR.

"Usul yang dibawa tersebut bertujuan untuk perkukuhkan sebarang kelemahan, kekurangan dan kepincangan yang dikenalpasti supaya satu kajian mendalam dilakukan.

"Ia bagi membuat penilaian kekuatan dan kelemahan sepanjang proses tahaluf siasi, tapi yang perlu ditekankan di sini bukan bertujuan untuk keluar daripada PR," katanya.

Sebagai contoh, Mohd Khairudin menyentuh isu pembahagian kerusi semasa PRU13 lalu, khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara sehingga menimbulkan kekalutan di kalangan ahli PAS di samping kenyataan-kenyataan pemimpin PR yang bersifat peribadi.

"Selain itu, pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh pemimpin-pemimpin PR semasa pilihan raya lalu yang merosakkan pandangan masyarakat terhadap PAS, khususnya keyakinan orang Melayu terhadap PAS," jelasnya lagi.

Sementara itu,  Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad yang dianggap sebagai kumpulan profesional tidak membantah usul mengkaji semula hal tersebut dan menghormatinya sebagai satu proses demokrasi dalam parti.

"Bagi saya, usul yang dibawa oleh ulama, berwajaran dan berpatutan, tidak mempunyai masalah dan mereka bertanggungjawab ke atas usul yang dibawakan.

"Ini membuktikan PAS mempunyai dinamika politik dan demokrasi yang sihat dalam kepimpinannya.. Ia juga menunjukkan wujud kepelbagaian dan memiliki sinergi," kata bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Dewan Ulama menimbulkan kekecohan baru-baru ini ekoran resolusi yang dibuat dalam perhimpunan mereka di Alor Setar.

Ia bermula dengan ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib yang mencadangkan multaqa itu mengkaji kerjasama politik dengan PR khasnya dengan PKR.

Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyifatkan resolusi itu satu tindakan yang tidak bijak.

Muktamar PAS ke-59 akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam mulai 22 hingga 24 November ini yang bakal menyaksikan pemilihan untuk jawatan tertingginya.

Muktamar kali ini dijangka panas dengan isu penyertaan PAS dalam PR ekoran resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS di Alor Setar sebelum ini.

Antaranya, resolusi itu mahu agar PAS mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PR khasnya PKR ekoran berkurangnya sokongan pengundi Melayu kepada PAS dalam PRU13 yang lalu. - 21 November, 2013.

Mahkamah tolak permohonan blogger seks gugurkan tuduhan

Posted: 21 Nov 2013 02:09 AM PST

OLEH LEE SHI-IAN
November 21, 2013

Pasangan Vivian dan Alvin yang menggemparkan masyarakat Malaysia dengan keberanian dan keterbukaan mereka.Pasangan Vivian dan Alvin yang menggemparkan masyarakat Malaysia dengan keberanian dan keterbukaan mereka.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan blogger seks Alvin Tan dan Vivian Lee bagi menggugurkan satu daripada tiga pertuduhan ke atas mereka.

Semasa menolak permohonan itu, Hakim Kamardin Hashim berkata Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan terpakai kepada semua kaum dan tidak eksklusif kepada orang Islam sahaja.

Seksyen 298 (1) (a) menyatakan sesiapa yang melalui percakapan, isyarat atau sesuatu yang merosakkan keharmonian, perpaduan atau mencetus kebencian terhadap agama boleh dihukum penjara dua ke lima tahun.

Kamardin berkata pertuduhan yang difailkan ke atas Tan dan Lee di Mahkamah Sesyen adalah sah kerana aksi pasangan itu boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Tan yang mengenakan kemeja T hitam dan berseluar kelabu manakala Lee memakai baju hitam dan berseluar jeans tenang ketika Kamardin membacakan hujah penolakan hujah itu.

Pasangan itu memohon menggugurkan satu daripada tiga pertuduhan di bawah Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan pada 31 Oktober lalu.

Peguam mewakili pasangan itu, Chong Joo Tian mendakwa perkataan "Bak Kut Teh" bermaksud "teh tulang daging tidak menghina agama Islam.

Chong dilaporkan berkata perasaan terhina hanya disebabkan kekeliruan dan kurang pengetahuan segelintir umat Islam.

Beliau berkata Sekyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan merupakan peruntukan untuk mengawal dan mengurus undang-undang bagi memastikan kelancaran amalan agama Islam di kalangan penganutnya.

Namun, Kamardin berkata kelakuan Lee dan Tan menghidangkan Bak Kut Teh semasa bulan puasa jelas penghinaan kepada umat Islam.

"Ia pastinya mengundang kebencian, kemarahan dan perpecahan di kalangan umat Islam dan mayarakat Cina.

"Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan tidak terhad kepada umat Islam dan ia diadakan bagi memastikan keharmonian dan kesatuan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Mahkamah mendapati Seksyen 298(A)(1)(a) Kanun Keseksaan merupakan undang-undang yang baik dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tan, 25, dan Lee, 24, minta dibicarakan terhadap tiga pertuduhan ke atas mereka semasa di bawa ke Mahkamah Sesyen pada 18 Julai lalu.

Pasangan itu dituduh di bawah sub seksyen Akta Penapisan Filem 2002, Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 298A(1) Kanun Keseksaan.

Mereka dituduh menyiarkan gambar lucah di blog mereka "alvivwingers.tumblr.com" di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh di antara 6 dan 7 Julai lalu.

Tuduhan kedua, membabitkan pasangan itu memuat naik kandungan yang boleh mengundang ketegangan agama di sebuah restoran di Dang Wangi pada 11 dan 12 Julai.

Manakala tuduhan ketiga menerbitkan gambar dan komen berbaur hasutan "Selamat Berbuka Puasa (dengan bak kut teh … wangi, enak dan menyelerakan)" yang turut mengandungi logo halal.

Tan dan Lee kemudian membuat permohonan maaf terbuka di luar mahkamah dan menyatakan kekesalan mereka.

"Saya dan Vivian memohon maaf dan kami menyesali perbuatan kami yang dulu. Kami tidak akan mengulanginya," kata Tan sambil memegang tangan Lee. – 21 November, 2013

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved