Ahad, 24 November 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pertandingan Naib Presiden pamer tiga elemen kepimpinan dalam PAS

Posted: 24 Nov 2013 02:32 AM PST

November 24, 2013

Datuk Husam Musa (kanan) beremosi apabila Datuk Mahfuz Omar kalah dapat jawatan Naib Presiden PAS. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 24 November, 2013.Datuk Husam Musa (kanan) beremosi apabila Datuk Mahfuz Omar kalah dapat jawatan Naib Presiden PAS. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 24 November, 2013.Barisan Naib Presiden PAS yang dipilih pada Muktamar PAS ke-59 mewakili tiga elemen kepimpinan dalam parti itu iaitu ulama, aktivis dan profesional, kata muka baru penyandang jawatan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Mungkin orang melihat Salahuddin sebagai aktivis parti, Husam sebagai profesional, dan ana (saya) dilihat dalam konteks ulamak," kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu, yang memenangi jawatan itu bersama penyandang Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub dalam pertandingan lima penjuru.

Pengumuman keputusan pemilihan jawatan Naib Presiden itu ditangguhkan ke hari ini berikutan pengiraan semula undi semalam.

Sementara itu, penyandang yang tewas dalam pertandingan itu Datuk Mahfuz Omar memohon maaf di hadapan kira-kira 1,129 perwakilan terhadap sebarang kekurangan ketika memegang jawatan itu selain menyifatkan soal jawatan atau kedudukan bukan suatu kepentingan sebaliknya perjuangan parti.

"Saya tidak kisah (kalah) kerana saya sudah tiga kali bertanding jawatan itu. Saya redha dan hormati keputusan yang dibuat perwakilan," katanya selepas pengumuman keputusan, sambil menolak andaian pengiraan semula undi menjadi punca kekalahannya.

Husam, yang berjaya mempertahankan jawatannya setelah meraih 520 undi, pula meluahkan rasa sedihnya apabila Mahfuz yang disifatkan sebagai sahabat "tergelincir" dalam pemilihan kali ini.

"Pada saya beliau lebih layak kerana beliau lebih petah dan mempunyai banyak idea berbanding saya ketika bermesyuarat.

"Apa pun keputusan telah dibuat, saya terima dengan hati terbuka. Tugas kita sekarang adalah untuk menyatupadukan PAS dan lupakan sengketa ekoran pemilihan ini, marilah kita melihat ke hadapan," katanya.

Ditanya mengenai majoriti tipis 16 undi yang diperolehinya dengan undi yang diterima Mahfuz, beliau berkata perkara itu sudah diduga.

"Sama ada saya atau Mahfuz, kami telah menjangkakan salah seorang daripada kami mungkin tergelincir," katanya.

Salahuddin pula berkata walaupun mendapat undian terbanyak iaitu 917 undi, beliau turut merasa sedih kerana pencabarnya Datuk Abu Bakar Chik yang dianggap sebagai abang tewas.

Abu Bakar, yang sebelum ini adalah anggota Jawatankuasa PAS Pusat dan memperoleh 364 undi pada pemilihan itu, berkata beliau bertanding dengan jangkaan yang beliau akan tewas.

Abu Bakar bagaimanapun berkata beliau tetap menawarkan dirinya kerana merasakan parti memerlukan sumbangannya berdasarkan pengalaman beliau dalam kepimpinan pusat selama 30 tahun termasuk memegang jawatan Ketua Pemuda PAS selama 10 tahun sejak 1988.

Dengan pengalamannya dalam bidang pendidikan sebelum ini, Abu Bakar berkata beliau yakin dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah parti itu yang mengalami kemerosotan sokongan masyarakat Melayu.

Ini termasuk meningkatkan hubungan dengan mereka yang terlibat dalam sektor sosial dan ekonomi seperti ahli perniagaan, wakil-wakil industri dan teknokrat di Malaysia.

"Apa pun, para perwakilan PAS sebenarnya telah memikirkan siapa untuk mereka pilih kali ini," katanya. – Bernama, 24 November, 2013.

Ganti khidmat pengawal keselamatan dengan polis bantuan, cadang Ku Nan

Posted: 24 Nov 2013 01:14 AM PST

November 24, 2013
Latest Update: November 24, 2013 05:33 pm

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (gambar) mencadangkan khidmat pengawal keselamatan di semua pejabat kerajaan digantikan dengan khidmat polis bantuan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sambil berharap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menimbangkan cadangan itu, beliau berkata langkah itu wajar terutama di pusat pentadbiran Putrajaya yang turut menempatkan pejabat menteri yang menyimpan banyak dokumen rahsia kerajaan.

"Saya risau jika pengawal keselamatan di 'outsource', mereka akan mempunyai kunci pendua pejabat dan pelbagai perkara boleh dilakukan oleh mereka, oleh (itu) kita mahu pastikan perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku," katanya.

Tengku Adnan yang juga ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai di Putrajaya hari ini.

Katanya beliau turut mengusulkan cadangan kepada anggota Kabinet agar syarikat-syarikat keselamatan diambil alih oleh kerajaan agar kakitangannya dapat dilatih sebagai polis bantuan.

Beliau turut meminta syarikat keselamatan lebih bertanggungjawab dalam pengambilan pengawal keselamatan supaya kejadian rompakan dan menembak mati pegawai bank di Ambank, Subang Jaya baru-baru ini melibatkan pengawal keselamatan bank itu sendiri tidak berulang.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan memberitahu pihaknya telah memberi satu taklimat kepada Brunei Investment Agency mengenai pelan pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Kita juga telah mengarahkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru untuk menghantar satu pasukan ke Brunei bagi berbincang dengan pihak mereka untuk bersama-sama membangunkan kampung tersebut," katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan turut memaklumkan dua lokasi di Putrajaya telah dikenal pasti menjadi tempat saki-baki kumpulan Al-Arqam menyebarkan ajaran mereka.

"Dua tempat tersebut ialah di klinik dan surau yang kini sedang dipantau oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan saya menyarankan agar orang ramai berhati-hati dengan aktviti penyebaran ajaran sesat itu," katanya.

Mengenai kadar baru cukai pintu di Kuala Lumpur, Tengku Adnan berkata satu mesyuarat akan diadakan esok dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Thalib dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan akan memastikan kadar baharu tersebut tidak membebankan rakyat dan adil kepada pemilik hartanah. – Bernama, 24 November, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved