Sabtu, 30 November 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Tony Pua: DAP bantah DEB kerana mahu Melayu lebih kaya

Posted: 30 Nov 2013 02:30 AM PST

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
November 30, 2013

Rafizi Ramli (kiri) dan Tony Pua bercakap di forum Rafizi Ramli (kiri) dan Tony Pua bercakap di forum Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, berkata parti itu berkeras menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan kerana membenci kaum Melayu dan Bumiputera sebaliknya mahu melihat golongan tersebut menjadi lebih kaya yang sekali gus mengukuhkan ekonomi kaum Cina.

Katanya, Dasar DEB hanya mengukuhkan ekonomi kumpulan tertentu dan Malaysia perlu berubah daripada melihat kepentingan ekonomi berasaskan kaum kepada fokus membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

"Kita bantah DEB kerana kita mahu orang Melayu menjadi semakin pandai dan kaya kerana apabila mereka menjadi semakin kaya, ekonomi ahli perniagaan Cina juga semakin meningkat apabila orang Melayu ada kuasa membeli.

"Kenapa mesti keruhkan pemikiran kita mengikut konsep bangsa? Kita perlukan satu dasar yang tidak mengikut bangsa dan pendapatan. Ini bukan kerana saya bantah atau benci orang Melayu tetapi dasar yang lebih baik perlu dikhususkan mengikut pendapatan," katanya dalam sebuah forum di Petaling Jaya malam tadi.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu turut kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semasa mengumumkan program pemerkasaan ekonomi Bumiputera September lalu dengan mudah melabelkan kaum asing untuk dikategorikan sebagai Melayu.

Katanya, kaum bukan Bumiputera bertungkus-lumus membangunkan negara dan sebahagian pendapatan mereka disalurkan kepada negara melalui cukai pendapatan.

"Najib semasa membentangkan program pemerkasaan ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ada menyebut Jawa itu Melayu, Jakun dan Sakai Asli adalah Melayu, Arab dan Pakistan semua dikira Melayu walaupun Mamak dan Malabari juga disebut Melayu.

"Saya berketurunan Cina tetapi jika dibandingkan dengan seseorang dari Pakistan yang mungkin akan menjadi warganegara dalam tempoh dua tahun dan anak mereka mendapat kewarganegaraan secara langsung serta berstatus Bumiputera yang mempunyai hak tertentu disebut dalam Perlembagaan.

"Di mana letaknya konsep keadilan dalam perkara ini? Sebagai bukan Melayu Bumiputera, kami menyumbang dengan membayar cukai bersama rakan lain. Tetapi kami tidak dilihat sebagai rakyat penuh negara ini," katanya.

Pua berkata, kuota pendidikan dikhususkan kepada Bumiputera yang pada asalnya untuk mencerdikkan anak Melayu tetapi akibat daripada tenaga pengajar kurang berpengalaman pelajar Melayu terpaksa menerima akibatnya.

Katanya, sebagai ahli Parlimen, ramai pengundi dari kawasannya mahukan surat sokongan agar dapat ditempatkan di kolej matrikulasi tetapi beliau menyarankan mereka menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kerana ia mampu memberi peluang lebih cerah.

"Masuk matrikulasi lebih mudah masuk universiti tetapi mendapat kursus pengajian yang tidak sukar. Apa yang akan terjadi adalah ilmu tidak meningkat. STPM lebih susah dan jauh lebih baik daripada matrikulasi.

"Lebih baik mengambil STPM. Mangsa secara tidak langsung adalah orang Melayu dan Bumiputera tetapi golongan inilah yang mahu kita bantu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang juga ahli panel dalam forum itu meramalkan 2014 adalah tahun kenaikan harga barang dan perkhidmatan kerana kerajaan persekutuan hanya mempunyai masa kira-kira satu setengah tahun untuk berbuat demikian.

Katanya, rakyat perlu menghadiri setiap perhimpunan bantahan yang dilakukan pembangkang supaya kerajaan tidak lagi berani menaikkan harga barang sesuka hati.

"Tahun depan saya menjangkakan diingati sebagai tahun barang naik. Barisan Nasional (BN) perlu menaikkan harga barang sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan kerana jika dilaksanakan selepas pelaksanaan cukai itu, ia akan lebih mengundang kemarahan rakyat untuk menggulingkan BN.

"Kita perlu tentang kenaikan harga barang dan tarif. Jika dipanggil membantah kenaikan cukai, saya minta seramai mungkin yang turun kerana jika ia tidak ditentang akan menjadi amalan dari tahun ke tahun.

"GST akan bermula dengan 6% dan seterusnya dinaikkan kepada 10% secara berperingkat," katanya yang turut membangkitkan masyarakat perlu dilengkapkan ilmu secukupnya agar dapar berfikiran rasional untuk menolak segala dakyah kerajaan.

Ahli Palimen Pandan itu turut membangkitkan akibat pelbagai tekanan kewangan yang diberikan kepada rakyat, hutang isi rumah kini meningkat kepada RM820 bilion setelah rakyat dibebankan dengan pelbagai hutang bulanan yang terlalu tinggi.

Katanya, kadar hutang isi rumah di Malaysia merupakan kedua tertinggi di Asia dan melebihi hutang semasa kerajaan iaitu RM541 bilion.

"Hutang kerajaan RM541 bilion dan ia memberi kesan kepada kerajaan untuk berbelanja hari ini. Tetapi yang kita tidak tahu adalah soal hutang rakyat lebih tinggi berbanding hutang kerajaan.

"Hutang rakyat hari ini kedua tertinggi di Asia selepas Sri Lanka. Rumah dan kereta perlu dibayar. Keluar dari universiti, Pinjaman PTPTN juga perlu dibayar. Jika gaji sekadar RM3,000 sebulan maka tidak mampu membayar hutang dan perbelanjaan bulanan," katanya.

Seorang peserta bertanya soalan kepada ahli panel.Seorang peserta bertanya soalan kepada ahli panel.Ketika ditanya adakah Selangor wajar dijadikan contoh pelan pendidikan percuma, Rafizi berkata, tanggungjawab pendidikan adalah di bawah kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu berlaku adil kepada semua rakyat Selangor.

Bagaimanapun, katanya, pendidikan kepada anak negeri Selangor tidak perlu diabaikan dengan memberi bantuan sewajarnya supaya dapat memberi contoh kepada kerajaan pusat.

"Pendapatan rezab kerajaan negeri Selangor lebih kecil daripada RM3 bilion. Punca kewangan negeri terlalu sedikit iaitu hanya daripada premium tanah. Saya berasa tidak wajar jika mana-mana negeri mengambil tanggungjawab kerajaan pusat.

"Jika meminta kerajaan Selangor melaksanakannya maka menghukum rakyat Selangor kerana terpaksa kurangkan peruntukan lain di bawah peruntukan kerajaan negeri.

"Walaupun Selangor tidak boleh melaksanakan pendidikan percuma sepenuhnya tetapi kita boleh tunjukkan dengan pendapatan yang terhad ini, peratusan yang disumbangkan untuk memudahkan pendidikan anak Selangor jauh lebih tinggi berbanding kerajaan pusat," katanya. – 30 November, 2013.

KPN beri amaran kepada kolumnis Mariam Mokhtar

Posted: 30 Nov 2013 02:08 AM PST

November 30, 2013

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) memberi amaran kepada kolumnis freemalaysiatoday.com Mariam Mokhtar supaya tidak menulis artikel yang boleh disifatkan sebagai berbaur hasutan.

Beliau tidak senang dengan artikel tulisan Mariam bertajuk 'One Ideology, Two Reactions', dalam portal berita itu semalam yang mempertikai layanan berbeza kerajaan berhubung kepulangan dua anggota radikal komunis kelahiran Malaysia – abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dari Bangkok, Thailand dan Siti Aishah Abdul Wahab, yang terpengaruh dengan ideologi politik komunis serta didakwa dijadikan hamba di London selama 30 tahun.

"Lebih baik dia (Mariam) berhati-hati, jika tidak kami akan mengambil tindakan terhadapnya.

"(Artikel) Ini amat berbaur hasutan. Jangan siarkan semata-mata kerana hendak menarik orang melawat laman web kamu.

"Ia juga boleh mengundang kami (polis) untuk datang menangkap kamu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam hari ini. Seminar itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Khalid kecewa kerana kolumnis itu tidak dapat membezakan tahap kesalahan yang dilakukan Siti Aishah dan Chin Peng.

"Orang yang tak ada pelajaran pun faham kenapa kerajaan membenarkan Siti Aishah pulang ke tanah air dan menghalang abu mayat Chin Peng dibawa balik.

"Ini bukan kerana seorang Melayu dan seorang lagi, Cina.

"Chin Peng terlibat dengan perjuangan bersenjata, manakala Siti Aishah hanya menganut ideologi berhaluan kiri. Beritahu saya berapa ramai orang yang telah dibunuhnya (Siti Aishah)?" tanya beliau.

Khalid berkata tindakan tidak akan diambil terhadap Siti Aishah sekiranya dia pulang ke Malaysia atas alasan wanita itu sudah berusia 69 tahun dan dia melakukan kesalahan berkenaan berpuluh tahun lalu.

Mengenai kerakyatan Siti Aishah, beliau berkata polis masih menunggu laporan daripada United Kingdom sama ada wanita berkenaan telah melepaskan taraf kerakyatan Malaysia dalam tempoh 45 tahun dia berada di negara Eropah itu.

Siti Aishah, yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan, meninggalkan negara ini pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics di United Kingdom, tetapi mengabaikan pelajarannya setelah terpengaruh dengan ideologi berhaluan kiri. – Bernama, 30 November, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved