Sabtu, 28 Disember 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Lynas nafi tiga kematian berkaitan operasi kilang itu

Posted: 28 Dec 2013 01:39 AM PST

December 28, 2013

Lynas Malaysia Sdn Bhd menafikan tiga kematian yang berlaku di kilang berkenaan dalam tempoh enam bulan lepas mempunyai kaitan dengan operasi yang dijalankan oleh kilang nadir bumi itu.

Pengarah Urusannya Datuk Mashal Ahmad berkata sebaliknya dua daripada insiden kematian itu berpunca daripada faktor kesihatan manakala satu lagi akibat kemalangan jalan raya.

Katanya insiden pertama pada Julai lepas melibatkan seorang bakal pekerja yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika proses temuduga.

Pada November, seorang kakitangan kilang itu maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Seorang jurutera kita yang meninggal dunia awal bulan ini pula disahkan mengalami serangan jantung secara tiba-tiba sebelum terjatuh ke dalam kolam takungan.

"Ketika kejadian, mangsa sedang melakukan rutin harian mengambil sampel air untuk ujian sebelum tidak sedarkan diri akibat serangan jantung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian pakaian seragam sekolah di perkarangan kilang Lynas, di Kuantan hari ini.

Pada majlis itu, 200 pelajar sekitar kawasan Balok menerima pakaian seragam, beg dan peralatan sekolah sumbangan Lynas di bawah program tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Mashal dalam pada itu berkata Lynas tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk tindakan mahkamah, terhadap mana-mana pihak yang terus menabur fitnah ke atas kilang berkenaan.

"Sikap mereka ini menyukarkan kami dan tindakan kumpulan ini menyebarkan pelbagai fitnah secara berterusan jelas membuktikan mereka berniat jahat.

"Berilah peluang kepada Lynas menumpukan perhatian kepada operasi daripada melayan tohmahan tidak berasas ini," katanya.

Mashal juga berkata dakwaan pihak tertentu berhubung kejadian banjir di loji kilang berkenaan awal bulan lalu tidak benar dan tidak masuk akal.

Katanya tapak kilang itu dibina selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk ancaman banjir dan bencana alam lain.

"Kilang ini dibina selepas kita melakukan kajian berdasarkan paras air (banjir) paling buruk sejak 100 tahun lalu. Selepas mendapat data itu, barulah kita bina tapak kilang dan loji memproses nadir bumi.

"Selain itu, kilang ini juga terletak kira-kira 9 meter dari punca mata air, sekaligus kami boleh memberi jaminan bahawa ancaman banjir tidak akan memberi kesan kepada operasi kilang ini," katanya. – Bernama, 28 Disember, 2013.

Ribut petir di perairan negara dijangka berterusan hingga malam ini

Posted: 28 Dec 2013 01:30 AM PST

December 28, 2013

Ribut petir di perairan Labuan, Sabah, Sarawak, pantai timur Semenanjung, Johor timur, Perak dan Selangor dijangka berterusan sehingga awal malam ini.

Menurut Jabatan Meteorologi, ribut petir itu boleh menyebabkan angin kencang berkelajuan antara 50 hingga 60 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

Keadaan ini juga boleh berlaku di kawasan perairan Samui, Bunguran, Condore, Palawan, Reef North dan Layang-Layang.

Menurut kenyataan jabatan itu, angin kencang yang menyebabkan kenaikan paras air laut serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian melebihi 5.5 meter dijangka berterusan sehingga Selasa depan. – Bernama, 28 Disember, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved