Selasa, 3 Disember 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pakatan lancar kempen bantah GST

Posted: 03 Dec 2013 02:48 AM PST

OLEH DIYANA IBRAHIM
December 03, 2013

Pakatan Rakyat (PR) akan melancarkan kempen anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai membantah tindakan Putrajaya melaksanakan cukai tersebut pada April 2015 biarpun tidak disenangi rakyat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, kempen tersebut iaitu "Faham GST, Tolak GST" akan dilancarkan pada 20 Disember di Kelab Sultan Selangor Kuala Lumpur.

Ia akan disertai oleh pemimpin tertinggi parti temasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu Anwar berkata, sebuah jawatankuasa turut dibentuk dimana Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli, Setiausaha Publisiti Tony Pua dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad akan membentangkan satu kertas kerja bagaimana kempen anti GST akan dilaksanakan.

"Asalkan terdapat kecacatan dan akan menyebabkan kesusahan pada orang ramai harus ditolak," katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat.

Dalam pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan akan melaksanakan GST pada 1 April 2015 pada kadar 6%.

Bagaimanapun barangan asas seperti nasi, tepung, sayur, gula, ikan, ayam, garam, minyak masa, telur, daging, rempah ratus, cencaluk dan belacan adalah terkecuali. Begitu juga bagi perkhidmatan seperti pengangkutan awam, perbankan dan pendidikan.

Tindakan pelaksaan tersebut menyebabkan kerajaan  diselar banyak pihak terutama PR apabila ahli parlimen parti itu menegaskan negara tetap akan berdepan dengan sitausi muflis dan pembaziran.

"GST akan menjadi punca bagi penyebab berlaku inflasi. Hasil kajian penyelidikan CIMB menunjukkan pelaksanaan GST akan menyumbang kenaikan inflasi sebanyak 5% kerana kelemahan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

Putrajaya bagaimanapun mempertahankan pelaksanaan GST bukan sahaja  mampu menguatkan ekonomi negara tetapi akan membantu golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan cukai GST tidak akan membebankan rakyat berpendapatan sederhana.

"Kesan pada golongan ini adalah neutral," Muhyiddin berkata demikian sebagai reaksinya selepas pembentangan Bajet 2014, pada 25 Oktober lalu.

Sementara itu sebuah lagi jawatankuasa yang dibarisi Pengarah Strategi DAP Ong Kian Ming, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman dan Pengarah Pilihan Raya PAS Mohd Hatta Ramli akan mengkaji pensempadan semula kawasan pilihan raya. - 3 Disember, 2013.

Pindaan akta SPRM akan dibentang pada sesi Parlimen akan datang

Posted: 03 Dec 2013 02:16 AM PST

December 03, 2013

Penambahbaikan akan dilakukan terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dengan pindaan pada Seksyen 23 dan Seksyen 36 tidak lama lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Tan Sri Abu Zahar Ujang (gambar).

Beliau berkata cadangan pindaan itu dijangka akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan peruntukan ini setelah JKMR menyerahkan laporan tahunannya semalam.

"Pindaan ini langkah terbaik bagi menambah baik undang-undang sedia ada serta menjamin kebebasan dan ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pelaksanaan fungsi SPRM di samping mewujudkan elemen akauntabiliti suruhanjaya itu," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir anggota JKMR lain iaitu anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Takiyuddin Hassan dan anggota Parlimen Kepong Tan Seng Giaw.

Pindaan terhadap Seksyen 23 bagi memastikan anggota pentadbiran dan penjawat awam di peringkat nasional dan negeri tidak memanipulasi sebarang kelemahan yang terdapat dalam peruntukan undang-undang terutama melibatkan pemberian tender, kontrak, tanah dan projek kerajaan.

Pindaan Seksyen 36 pula bertujuan membolehkan SPRM terus menyiasat pemilikan dan harta seseorang yang disyaki terlibat dengan rasuah tanpa perlu ada siasatan awal sebagaimana peruntukan undang-undang di Hong Kong.

Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara mahu semua anggota Parlimen termasuk pembangkang agar sebulat suara memberi sokongan terhadap laporan JKMR itu.

"Laporan ini merupakan perkara baik bagi merealisasikan hasrat untuk melaksanakan pindaan akta, di sinilah terletaknya kebijaksanaan pembangkang. Jangan hanya membangkang sahaja kerana perkara ini baik tidak kira siapa yang memerintah. JKMR mahu buktikan bahawa kita badan bebas yang telus," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata keputusan yang dicapai dalam laporan itu merupakan keputusan kolektif daripada tujuh anggota JKMR yang dilantik Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Oktober lepas.

Takiyuddin berkata beliau menyokong laporan JKMR itu tanpa adanya perasaan pilih kasih serta berharap pandangannya diterima anggota Parlimen lain daripada pembangkang.

"Kalau pandangan saya tidak diterima oleh rakan-rakan lain dalam parti, maka saya kena letak jawatan. Kita lakukan perkara ini untuk jadikan SPRM lebih telus," katanya.

Laporan Tahunan JKMR menggesa kerajaan memberi sepenuh dukungan dan mempersiapkan segala keperluan kepada SPRM untuk menghadapi serangan persepsi yang tidak adil kepada mereka.

JKMR dianggotai empat yang lain Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Doris Sophia Brodi, anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim, anggota Parlimen Indera Mahkota Datuk Fauzi Abd Rahman dan anggota Dewan Negara Senator Mohamad Ezam Mohd Nor.

Kesemua anggota jawatankuasa itu dilantik mengikut Seksyen 14(2) Akta SPRM bagi tempoh 25 Mei 2013 hingga 24 Mei 2016. - Bernama, 3 Disember, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved