Selasa, 31 Disember 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Tolak politik lapuk, gesa Kit Siang dalam perutusan Tahun Baru

Posted: 31 Dec 2013 01:37 AM PST

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
December 31, 2013

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang (gambar) menyeru agar rakyat Malaysia menolak agenda politik lapuk Barisan Nasional (BN) dan membuka ruang untuk politik baru yang dibawa Pakatan Rakyat (PR).

Dalam perutusan Tahun Baru 2014 beliau, veteran DAP, yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan "politik pembodohan dengan menggunakan aparat-aparat perkauman dan agama tidak lagi relevan dan hanya membawa negara ke arah kemunduran".

"Adalah amat dayus bagi pihak pemerintah untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat kegagalannya mengurus ekonomi sehingga mengakibatkan inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang begitu teruk, dengan menyajikan penipuan, fitnah serta politik permainan sentimen agama dan perkauman sempit," katanya dalam perutusan tersebut.

Zaman kini jelasnya sudah berubah dan hari ini rakyat dari segenap lapisan usia kian celik dan sedar melalui jaringan maklumat di internet dan laman media sosial.

Generasi akan datang juga, jelas Lim, harus dipersiapkan dengan ilmu dan maklumat yang benar, selain dipastikan tidak menjadi mangsa pembodohan terancang pihak pemerintah yang tidak lain hanya mahu supaya rakyatnya tidak terlalu cerdik sehingga mampu melawan kezaliman dan salahguna kuasanya.

Pilihan Raya Umum (PRU) pada 5 Mei lalu jelasnya adalah petunjuk sebenar rakyat negara ini menolak propaganda kerajaan apabila beberapa kerusi yang dikatakan menjadi "kubu" Umno dan BN berjaya ditembusi wakil daripada PR.

"Kita harus sentiasa optimis bahawa segala yang terjadi sepanjang tahun lalu adalah batu-batu asas yang akan merintis jalan ke arah perubahan.

"Perubahan itu sifatnya abadi. Setiap waktu, setiap hari; perubahan tidak berhenti. Tidak ada siapa yang mampu menahan perubahan daripada berlaku ketika ia datang tepat pada waktu," katanya.

Jelasnya lagi, pada PRU 2008 yang lalu, rakyat Malaysia telah melihat tsunami politik yang begitu besar, dengan beberapa buah negeri berjaya ditadbir oleh gabungan politik parti-parti pembangkang dari PR.

Pada 2013, jelas Lim, ombak perubahan politik yang lebih kuat terus membadai lantas berkesudahan dengan pertambahan kerusi PR di Parlimen, selain menafikan majoriti undi popular parti pemerintah.

"Pasca 505, negara menyaksikan harapan dan impian baru yang selama ini jarang-jarang diyakini boleh tercapai.

"Meski pun harapan rakyat untuk melihat perubahan rejim tidak kesampaian, kita masih boleh merasakan kehendak rakyat yang semakin berkobar-kobar mahukan sebuah perubahan, dan tanggungjawab membawa perubahan ini haruslah digalas bersama," katanya. – 31 Disember, 2013.

Polis Selangor rampas 56 helai baju-t berunsur provokasi

Posted: 31 Dec 2013 01:17 AM PST

December 31, 2013

Polis Selangor merampas sebanyak 56 helai baju-T semalam yang mempunyai pelbagai tulisan berunsur provokasi dipercayai untuk dipakai pada perhimpunan ketika sambutan ambang Tahun Baru malam ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Datuk Abd Rahim Jaafar berkata kesemua baju itu dirampas dalam serbuan pada pukul 2 pagi semalam di sebuah rumah di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan dekat sini hasil maklumat awam dan risikan.

"Hasil serbuan, polis menemui 56 helai baju-T yang mempunyai pelbagai cetakan tulisan yang mempunyai elemen subversif serta boleh menimbulkan provokasi.

"Polis turut merakam percakapan seorang lelaki berumur 37 tahun yang menghuni rumah itu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan baju tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

Abd Rahim berkata siasatan awal mendapati lelaki itu yang bekerja sebagai "freelance" menjual baju-T tersebut dengan harga RM30 sehelai menerusi internet.

Katanya, polis masih menjejaki suspek utama kes ini iaitu rakan serumah lelaki berumur 37 tahun itu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti mencetak kesemua baju berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan iaitu percubaan dalam aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun. – Bernama, 31 Disember, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved