Khamis, 5 Disember 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Tayangan percuma Tanda Putera sempena Perhimpunan Agung Umno

Posted: 05 Dec 2013 02:29 AM PST

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
December 05, 2013

Selain bersidang, para perwakilan dan pemerhati Pehimpunan Agung Umno kali ini juga boleh menonton wayang.

Ini kerana filem Tanda Putera akan ditayangkan secara percuma malam ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena dengan perhimpunan itu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Najib Razak di PWTC, Kuala Lumpur.

Tayangan filem mengisahkan dua sahabat, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman, akan ditayangkan di Dewan Merdeka, jam 9 malam nanti.

Kontroversi filem berkenaan timbul apabila Penasihat DAP Lim Kit Siang mendakwa filem berkenaan memaparkan fakta salah apabila memaparkan babak remaja berbangsa Cina, yang dikatakan dirinya kencing di tiang bendera Menteri Besar Selangor ketika rusuhan kaum 13 Mei berlaku.

Ekoran kontroversi babak berkenaan, filem berkenaan terpaksa ditunda sebanyak tiga kali sebelum tayangannya diteruskan pada 29 Ogos.

Filem berkenaan diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba itu dibiayai oleh kerajaan melalui kerjasama Persona Pictures dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Multimedia Developement Corporation.

DAP menggambarkan filem berkenaan sebagai propaganda kerajaan Barisan Nasional.

Shuhaimi bagaimanapun menegaskan filem berkenaan hanya menggunakan babak 13 Mei sebagai plot untuk menunjukkan hubungan persahabatan antara dua pemimpin tersebut berhadapan peristiwa getir mengukuhkan negara meskipun masing-masing mempunyai masalah kesihatan. – 5 Disember, 2013.

Tuduhan Rapid rugi RM40b kerana PR tidak berasas, kata Ahli Parlimen pembangkang

Posted: 05 Dec 2013 02:25 AM PST

OLEH DIYANA IBRAHIM
December 05, 2013

Datuk Seri Najib Razak menyalahkan Pakatan Rakyat menyebabkan kerajaan rugi RM40 bilion apabila pelabur menarik keluar dari projek Rapid. Gambar Reuters. Datuk Seri Najib Razak menyalahkan Pakatan Rakyat menyebabkan kerajaan rugi RM40 bilion apabila pelabur menarik keluar dari projek Rapid. Gambar Reuters. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyelar kenyataan Perdana Menteri Datuk Najib Razak menyalahkan mereka ke atas kerugian RM40 bilion yang ditanggung kerajaan akibat penarikan balik pelabur dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor.

Menurut Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, tuduhan Najib itu langsung tidak berasas kerana hanya berani mencadangkan di Perhimpunan Agung Umno namun bukan saluran betul seperti Parlimen.

"Siapa yang menyebabkan kerugian? Kalau betul tuduhan beliau, maka saya cabar membawa isu ini ke Parlimen berdebat dengan kita.

"Tapi kalau setakat bercakap di Perhimpunan Agung Umno di hadapan penyokong beliau, menuduh tanpa ada bukti. Saya percaya pencinta alam sekitar di Taiwan juga tidak mahu syarikat negara mereka terlibat dalam projek ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambahnya beliau juga antara salah seorang peguam yang mewakili rakyat Pengerang membawa kes ini kerana melihat projek tersebut bertentangan dengan undang-undang.

"Sekiranya kes ini tidak ada bukti dan asas yang kukuh maka tidak mungkin permohonan untuk membawa kes ini di Mahkamah Tinggi Johor Bahru berjaya. Kita mencabar dari sudut undang-undang mengenai projek itu," katanya.

Najib, semasa menyampaikan ucapan dasarnya hari ini, mendedahkan Presiden Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas memaklumkan kepada beliau mengenai kehilangan peluang pelaburan dari Taiwan bagi projek Rapid itu.

Ini kerana sebilangan ahli pembangkang telah ke negara itu dan menakut-nakutkan pelabur terbabit.

Sementara itu Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menyifatkan tindakan Najib menyalahkan PR adalah sesuatu melucukan.

"Kenapa dia menyalahkan Pakatan, mereka yang menentang adalah rakyat, kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan mengenai isu tersebut.

"Sekiranya beliau menyalahkan PR bermakna turut menyalahkan keinginan rakyat," katanya.

Kok menjelaskan tindakan tersebut secara terang-terangan menunjukkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional kerana selalu saja menuduh tanpa ada sebarang bukti dan fakta.

Manakala Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata apa yang dikatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggelar PR sebagai pengkhianat adalah perbuatan biadap.

"Amat biadap kerana beliau sebenarnya menuduh rakyat sebagai pengkhianat kerana yang menentang penduduk. Parti politik cuma lah suara menyalurkan bantahan mereka untuk pengadilan," katanya.

Katanya lagi, Najib sebenarnya keliru antara kehendak rakyat dan parti politik berhubung isu tersebut.

"Beliau cuba mengalihkan kegagalannya menguruskan negara dengan ketirisan dan kebocoran yang menunjukkan mereka ini sebenarnya pengkhianat.

"Itu merupakan satu perbuatan biadap padahal dia sepatutnya rasa syukur bila rakyat tidak melabelkan dia sebagai pengkhianat," katanya. – 5 Disember, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved