The Malaysian Insider :: Bahasa |
GLC belanja RM96 juta untuk iklan di akhbar tahun ini, kata Najib Posted: 09 Dec 2013 02:31 AM PST Perdana menteri berkata jumlah terbesar ialah di akhbar berbahasa Inggeris sebanyak RM49 juta, diikuti dengan akhbar bahasa Cina sebanyak RM24 juta, akhbar bahasa Melayu RM22 juta dan Tamil sebanyak RM238,000. Pengiklanan GLC itu dibuat di akhbar-akhbar utama antaranya The Star dan New Straits Times bagi bahasa Inggeris, China Press dan Guang Ming bagi akhbar berbahasa Cina, menurut Najib yang juga Menteri Kewangan. Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk bahasa Melayu, serta Tamil Nesan dan Makkal Osai untuk bahasa Tamil, katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada persidangan Dewan Negara hari ini. Mohd Ali, dalam soalannya, ingin tahu jumlah GLC yang telah membelanjakan wang untuk iklan di dalam akhbar bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil sejak dua tahun lepas. Najib berkata pada tahun lepas, GLC membelanjakan kira-kira RM164 juta untuk iklan dalam semua akhbar dengan RM89 juta untuk akhbar berbahasa Inggeris, RM39 juta berbahasa Melayu, RM35 juta berbahasa Cina dan RM229,000 untuk berbahasa Tamil. Beliau berkata antara 17 GLC yang membeli iklan dalam akhbar tempatan ialah Axiata Group Berhad, Sime Darby Berhad, Malayan Banking Berhad, CIMB Group Holdings Bhd, Telekom Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad. – Bernama, 9 Disember, 2013. |
Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pnang kecoh isu perkauman Posted: 09 Dec 2013 01:33 AM PST Kekecohan tercetus apabila Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) mahu ketua pembangkang Datuk Jahara Hamid (gambar) menarik balik kenyataannya berhubung isu itu yang disifatkan sebagai rasis. Phee mendakwa Jahara cuba menimbulkan persepsi perkauman terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila mengatakan PBT hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu. "Saya tak kata PBT hanya ambil tindakan kepada orang Melayu. Kalau ada impression (tanggapan) macam itu saya minta maaf. Saya hanya minta keadilan, penjelasan. Peniaga terbabit bukan baru berniaga sehari, dua... sudah 20 tahun. "Kalau mahu ambil tindakan, ambil tindakan terhadap semua... jangan pilih-pilih," kata Jahara ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di persidangan DUN hari ini. Pertikaman lidah itu berjaya dihentikan apabila Speaker Datuk Law Choo Kiang mengarahkan Phee duduk selepas Jahara memohon maaf dan mengarahkan ketua pembangkang itu meneruskan perbahasannya. Bagaimanapun, dewan kembali kecoh apabila Jahara mahu kerajaan negeri menjelaskan mengenai nama Pulau Mazu yang didakwa sebagai nama baru bagi Pulau Jerejak. "Adanya satu pulau di sini diberi nama baru Mazu Island. Mazu Island ini adalah Pulau Jerejak yang mana telah diberi nama baru oleh seorang pengusaha yang mempromosikannya dalam bentuk pelancongan. "Sebuah tokong besar juga dibina tanpa kebenaran. Siapa yang meluluskan semua ini," katanya sambil menunjukkan gambar pengusaha itu bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng. Tindakan Jahara menunjukkan gambar itu menimbulkan rasa tidak puas hati R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima), Phee (DAP-Sungai Puyu) dan Soon Lip Chee (DAP-Jawi) yang bangkit mempertikaikan tindakan itu. "Itu sudah melampau... tindakan ini menuduh seolah-olah kerajaan negeri beri kelulusan semata-mata orang itu mengenali ketua menteri. Mana ada bukti ketua menteri beri kelulusan," kata Rayer. Jahara kemudiannya berkata beliau hanya mahu penjelasan kerajaan negeri berhubung kewujudan nama Pulau Mazu itu. Bagaimanapun, Jahara terus-terusan diasak wakil rakyat berkenaan yang mahu beliau menjelaskan tindakannya itu. Tindakan wakil rakyat yang tidak memberi peluang kepada Jahara untuk berbahas telah menyebabkan kesemua 10 wakil rakyat BN meninggalkan sidang DUN sebagai tanda protes. – Bernama, 9 Disember, 2013. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider : Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan