Isnin, 16 Disember 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Syiah, serangan persepsi terhadap Mat Sabu

Posted: 15 Dec 2013 06:46 PM PST

December 16, 2013

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Isu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dituduh sebagai seorang pengamal Syiah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih hangat diperkatakan.

Mereka yang menyokong Mat Sabu terus meremehkan bukti gred B yang dikeluarkan KDN dan ketawakan bukti gred A yang didakwa akan diserah pada Jakim untuk tindakan lanjut.

Kumpulan ini juga menyeru KDN untuk membuktikan tuduhan mereka dengan bukti lebih kukuh (tapi bukti kukuh bagaimana yang tidak akan menimbulkan pertikaian masa ini?) dalam menuduh Mat Sabu sebagai pengamal Syiah.

Untuk membersihkan nama Mat Sabu, kumpulan ini menyokong Mat Sabu untuk menyaman KDN dan juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi mereka yang tidak menyokong Mat Sabu pula, kumpulan ini lebih menekan Timbalan Presiden PAS itu untuk melakukan perkara untuk menyucikan nama beliau sendiri, termasuk saman malu pada KDN dan Zahid.

Walaupun Mat Sabu melakukan deklarasi terbuka bahawa beliau seorang pengikut Sunnah Wal Jamaah, namun bagi mereka yang tidak menyokongnya lebih cenderung untuk mempercayai bahawa beliau sedang bertaqiyyah (Mengikut kepercayaan Syiah, menyembunyikan fakta sebenar iaitu taqiyyah adalah dibenarkan).

Golongan ini tidak kisah pada bukti yang KDN kemukakan dan tuduhan kepada Mat Sabu, mereka lebih mementingkan Mat Sabu melakukan perkara yang pada pendapat mereka tidak akan dilakukan oleh penganut Syiah.

Antaranya:

1)   Mengisytiharkan pada umum bahawa beliau mengakui kepimpinan Abu Bakar dan Umar sebagai pemimpin yang sah lagi berada atas landasan petunjuk Allah dan Rasul-Nya (kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin).

2)   Akui kesesatan akidah yang dibawa Imam Khomeini, tokoh yang disanjung Mat Sabu.

3)   Mengiktiraf kekejaman di Syria oleh Hezbullah, yang sering muncul dalam ceramah Mat Sabu satu ketika dulu.

4)   Memuji dan mengagungkan tokoh Sunni seperti Al-Fatih, Al-Ayubi, Erdogan, Morsi.

5)   Versi Imam Mahdi yang difahami.

Bagi mereka, asalkan Mat Sabu berani membersihkan diri dan betul-betul menunjukkan diri adalah seorang Sunni maka secara sendirinya tuduhan KDN akan gugur, dan yang mendapat malu ialah Umno dan Zahid.

Kerana bagi kumpulan ini, tuduhan Syiah pada Mat Sabu ini bukanlah benda baharu. Bezanya, KDN dan Zahid hanyalah orang yang berani menuduh Mat Sabu sebagai pengamal Syiah secara terbuka berbanding mereka yang bersembunyi dan melakukan tuduhan yang sama sebelum ini, terutama sebelum Muktamar Pemilihan PAS November lalu.

Persamaan kedua-dua kumpulan ini ialah sokongan mereka kepada Mat Sabu untuk menyaman KDN dan Zahid.

Setakat ini, Mat Sabu masih lagi tidak menfailkan saman. Menfailkan saman, walaupun dilihat amat wajar, tetapi sebenarnya ia mempunyai implikasi tersendiri.

Keadaan kini dirumitkan dengan sahutan Zahid untuk Mat Sabu menyamannya.

Tidak menyaman KDN dan Zahid akan membawa implikasi negatif kepada PAS dan Mat Sabu, dalam jawatan Timbalan Presidennya menjelang Muktamar 2015.

Menyaman KDN dan Zahid dan tewas seperti kes Datuk Seri Anwar Ibrahim saman malu terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan liwat juga mempunyai implikasi negatif kepada Mat Sabu dan PAS.

Hanya dengan saman dan menang baru boleh Mat Sabu membersihkan namanya. Mat Sabu hanya ada 1 daripada 3 kemungkinan yang menguntungkannya.

Sudah masuk hari ke-8 isu Syiah ini dimainkan. Isu Syiah ini tidak akan memberikan kesan kepada orang bukan Islam. Ia hanya memberikan kesan kepada orang Islam.

Masalahnya sekarang ialah di luar sana, berapa peratus orang Islam yang percaya Mat Sabu seorang ahli Sunnah Wal Jamaah?

Melihat keyakinan KDN dalam isu ini, saya yakin KDN berpandangan bahawa peratusnya adalah jauh lebih rendah berbanding mereka yang percaya sebaliknya.

Sekiranya itu hipotesis itu benar, bagaimana pula Mat Sabu dan PAS boleh memecahkan persepsi yang ditanam itu? Apakah saman malu mencukupi? Apakah penjelasan mencukupi?

Ataupun sememangnya Mat Sabu perlu melakukan perkara yang dipercayai tidak sama sekali akan dilakukan oleh seorang penganut Syiah di tempat awam untuk menyakinkan rakyat bahawa beliau sememangnya seorang ahli Sunni?

Permainan KDN ini menekan PAS untuk 'all-out' mempertahankan Timbalan Presiden mereka. Sahutan Zahid untuk menerima saman malu Mat Sabu dilihat sebagai umpan untuk masuk perangkap lebih besar.

PAS sedar permainan politik dan agama daripada Umno kali ini pada Mat Sabu ialah satu situasi yang serius kerana Umno sanggup mempertaruhkan Naib Presiden paling popularnya untuk menyusahkan PAS dalam isu Syiah ini.

Terdapat dua lapisan permainan sensitif ini iaitu daripada sudut politik dan agama. Daripada sudut politik, rasanya tiada masalah untuk Mat Sabu untuk menang.

Tapi daripada sudut agama, Mat Sabu perlu berdepan dengan perkara yang diminta kumpulan yang tidak menyokongnya untuk membersihkan diri, tetapi pada masa sama tidak menimbulkan persepsi bahawa beliau sedang bertaqiyyah.

Ini masalah terbesar yang dihadapi Mat Sabu dalam isu Syiah. Bagi yang mempercayainya, Mat Sabu tidak perlu berbuat apa-apa. Bagi yang tidak mempercayainya, nafi dilihat bertaqiyyah dan bercakap benar bahawa beliau ahli Sunni juga dilihat bertaqiyyah.

Yang menarik untuk difikirkan ialah mengapa KDN memilih Mat Sabu untuk dituduh sebagai seorang pengamal Syiah?

Mengapa tidak pilih pemimpin lebih besar seperti Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk disasarkan tuduhan yang sama?

Jawapan kepada ini perlu dijawab oleh Mat Sabu sendiri. Adakah beliau menimbulkan syak wasangka yang tidak perlu selama ini sehingga beliau dituduh Syiah?

Persepsi adalah segala-galanya dalam politik dan inilah perkara paling penting untuk diberi perhatian oleh PAS dalam catur meleraikan serangan isu Syiah pada Mat Sabu. – 16 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Selepas Lembah Bujang, Kampung Chetti pula?

Posted: 15 Dec 2013 03:33 PM PST

December 16, 2013

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Masyarakat Chetti di Kampung Chetti di Melaka adalah unik dan perlu dilindungi.Masyarakat Chetti di Kampung Chetti di Melaka adalah unik dan perlu dilindungi.Sekiranya anda bercadang untuk melawat Kampung Chetti di Melaka, suka saya menyarankan agar anda melakukannya dengan kadar paling segera.

Ini kerana saya tidak mampu menolak kemungkinan bahawa kampung berkenaan yang diwartakan sebagai salah satu tapak warisan budaya akan hilang tanpa dapat dikesan dalam masa terdekat.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan Kunjungan Perpaduan Kavyan di Kampung Chetti di Jalan Gajah Berang pada 15 Disember 2013; sehari selepas melakukan kunjungan serupa ke Perkampungan Portugis.

Setiba di perkarangan Kuil Muthu Mariamman, rombongn kecil yang turut terdiri daripada Shahrul Nizam Abd Hamid (Kavyan), Rayner Yeo (Kavyan) dan Nor Arlene Tan (Projek Dialog) agak terkejut melihat kawasan yang ditutup dengan dinding zink biru bagi tujuan pembangunan.

Kami tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat berhubung perkara itu semasa sesi taklimat oleh Yang DiPertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka, K Supramania Pillay dan setiausahanya, Mohan Pillay.

Turut hadir pada sesi yang berlangsung di bilik bacaan berdekatan kuil berkenaan ialah bekas pemegang amanah Kampung Chetti, G Tegarajah berserta sekumpulan wanita, remaja dan kanak-kanak dari kampung itu.

Sehingga kini, satu-satunya bahan dokumentasi yang menyeluruh berkaitan sejarah, budaya, adat dan kehidupan masyarakat Chetti adalah buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka (2006) tulisan Stephen Samuel Dhoraisingam, seorang pengkaji sejarah dari Singapura.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat berkaitan latar belakang kaum Chetti yang sangat unik ini boleh membaca makalah bertajuk "Masyarakat Chetti yang Dilupakan" (Dewan Budaya, Mac 2007) tulisan Prabhawathy Govindarajoo serta makalah tulisan saya berjudul "Wajah Malaysia dalam Budaya Chetti" (Dewan Budaya, Mac 2007) dan Chetti yang Belum Diakui Bumiputera (The Malaysian Insider, 7 November 2011).

Sewaktu saya bertanya kepada Tegarajah semasa kunjungan pada Januari 2007, beliau memaklumkan bahawa permohonan rasmi bagi mendapatkan status Bumiputera sudah dikemukakan kepada Ketua Menteri Melaka dengan disertakan segala dokumen yang perlu.

Lot 93 jadi masalah besar

Nampaknya, sementara permohonan mendapatkan status Bumiputera masih menjadi tanda tanya, penduduk Chetti serta kampung yang menjadi tempat tinggal komuniti ini sejak ratusan tahun dahulu mungkin akan pupus tanpa meninggalkan sebarang tanda.

Kebimbangan itu turut diluahkan rata-rata penduduk yang ditemui semasa Kunjungan Perpaduan Kavyan. Mereka sedar bahawa dua blok kondominium setinggi 22 tingkat yang bakal dibina di atas tanah Lot 93 di tepi Kuil Muthu Mariamman akan mengubah segala-galanya.

Sekumpulan pedagang yang berasal dari India berkahwin dengan penduduk Melayu tempatan serta membuka perkampungan ini sejak tahun 1414. Mereka adalah golongan "setu" (bermakna "pedagang" dalam Bahasa Tamil) yang kemudian mula dikenali sebagai "Chitty" atau "Chetti".

Untuk rekod, kaum Chetti tidak sama dengan golongan Cheetiar iaitu kelompok peminjam wang yang dikenali sebagai "ceti". Pada masa sekarang, terdapat sekitar 300 penduduk daripada sekitar 30 keluarga yang tinggal di sekitar 20 rumah di Kampung Chetti.

Tegarajah yang kini berumur 88 tahun dan terpaksa menggunakan kerusi roda meluahkan rasa kecewa atas "kesilapan besar" yang dilakukan pengasas perkampungan ini.

"Mereka misalnya sudah membeli tanah di Lot 94, 95 dan 96; tetapi tidak terfikir untuk membeli Lot 93. Entah mengapa. Kalaulah Lot 93 yang terletak di tengah-tengah Kampung Chetti juga sudah dibeli, tentu tidak timbul sebarang masalah," katanya dengan nada kesal dan sedih.

Khabarnya, apabila cadangan pembinaan di Lot 93 diketahui beberapa tahun dahulu, bantahan dan rayuan dikemukakan kepada Ketua Menteri Melaka waktu itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Akhbar Makkal Osai (12 Oktober 2012) turut melaporkan mengenai demonstrasi besar-besaran yang diadakan penduduk Kampung Chetti sebagai membantah projek tersebut. Keputusan dibuat Ali Rustam bahawa cadangan pembinaan itu dibatalkan; sebagaimana turut dilaporkan di akhbar Malaysia Nanban (2 November 2012).

"Bagaimanapun, satu lagi kesilapan kami adalah kerana tidak meminta jaminan secara bertulis. Maka, apabila Ketua Menteri bertukar berikutan Pilihan Raya Umum Ke-13 (Mei 2013), kami mendapat kejutan bahawa pembinaan kondominium 22 tingkat, hotel 12 tingkat dan tempat meletakkan kereta 6 tingkat akan diteruskan di sini," kata Suptamania.

Kampung kami berdepan masalah kepupusan

Mohan pula menunjukkan kepada kami pelan kawasan dan menuding kepada cadangan pembinaan jalan raya yang bakal merentas Kampung Chetti; serta akhirnya akan menjadikan kampung budaya ini seumpama kawasan setinggan.

Antara kesan sampingan yang dibimbangi adalah projek pembinaan itu akan menyebabkan kemasukan buruh asing; sekali gus berpotensi mewujudkan masalah sosial dan jenayah di Kampung Chetti.

Kerja-kerja pembinaan juga dibimbangi akan memberikan kesan kepada Kuil Muthu Mariamman dan Kuil Sri Angala Parameswari di kuil berkenaan. Untuk rekod, Kuil Sri Poyatha Vinayagar Moorthy dibina di kampung ini pada 1781 dan dipercayai merupakan kuil Hindu tertua di Malaysia.

Satu lagi masalah yang sedia mengganggu penduduk Kampung Chetti adalah banjir. Pembinaan kondominium di Lot 93 dibimbangi akan memburukkan lagi masalah banjir yang sudah pun menjadi ancaman besar dan mimpi ngeri setiap kali hujan lebat.

"Apabila pembangunan di kawasan sekitar semakin rancak dan jumlah penduduk baru mula bertambah, Jalan Pelandok Putih akan dibesarkan dan masuk merentasi Kampung Chetti. Maknanya, sebahagian besar rumah di sini akan dirobohkan.

"Mungkinlah penduduk akan diberikan pampasan berdasarkan nilai rumah. Tetapi di mana keluarga itu mahu tinggal? Mungkin mereka terpaksa berpindah jauh dari sini. Akhirnya, komuniti Chetti akan berpecah, terpisah dan hilang identiti," katanya.

Dapat dibayangkan bagaimana Kampung Chetti akan mengecil daripada saiz fizikal serta jumlah penduduk keturunan Chetti yang tinggal di sini. Akhirnya, pengiktirafan sebagai tapak warisan budaya hanya tinggal nama; sementara keseluruhan kandungan kampung ini - fizikal (bangunan) dan budaya (penduduk) - akan terhapus.

Pada 14 Januari 2014, sambutan Ponggal dijadualkan secara besar-besaran di Kampung Chetti. Pada malam sebelumnya pula acara Boghi. Kedua-dua sambutan ini oleh kaum Chetti memang berbeza dengan cara sambutan masyarakat keturunan Tamil.

Ayuh kita pergi secara beramai-ramai untuk menjadi sebahagian daripada sambutan pesta menuai yang mungkin merupakan sambutan terakhir sebelum keseluruhan Kampung Chetti serta penduduk dan budaya uniknya pupus dan terhapus.

Pada kali ini, kita mungkin boleh sama-sama menyertai demonstrasi aman sebagai solidariti membantah projek "Lot 93" yang hampir pasti mengulangi sejarah hitam kepupusan (penghapusan?) warisan sejarah negara di Lembah Bujang, Kedah baru-baru ini. – 16 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved