Ahad, 29 Disember 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Musuh dalam selimut Chetti

Posted: 28 Dec 2013 03:38 PM PST

December 29, 2013

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Percayalah. Dalam kehidupan, walau apa-apa pun yang kita lakukan, pasti akan ada orang yang cuba mencari kesalahan dan kesilapan. Atau sengaja menyebarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas.

Biasanya, orang (orang-orang) seperti ini tidak memiliki kemampuan dan keinginan untuk melakukan apa yang sudah kita lakukan. Sebaliknya, hanya mahu tampil sebagai wira dengan mengatakan itu tidak betul, ini tidak tepat, itu kurang benar dan ini kurang fakta.

Pengalaman terbaru saya adalah berikutan penyiaran makalah "Selepas Lembah Bujang, Kampung Chetti pula?" (The Malaysian Insider, 16 Disember 2013) sebagai susulan Kunjungan Perpaduan Kavyan ke Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka.

Si Polan mempertikaikan kredibiliti The Malaysian Insider.Si Polan mempertikaikan kredibiliti The Malaysian Insider.Kononnya "apa yang anda baca di The Malaysian Insider adalah tidak benar dan maklumat yang dipaparkan tidak relavan kerana penulis (Uthaya) tidak membuat kerja rumah".

Demikian pandangan seorang individu – saya menamakannya Si Polan – apabila seorang lagi individu dari Universiti Malaya – saya namakan Si Wanita – berkongsi makalah Kampung Chetti itu menerusi laman rangkaian sosial Facebook.

Si Polan yang mengaku pernah terlibat secara langsung dalam isu "Lot 93" turut menulis komentar bahawa tanah itu adalah "milik seorang dari Singapura pada masa dahulu".

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa berdasarkan pengalaman saya pergi ke Kampung Chetti sejak 2006, rata-rata tanah/kawasan tidak berpenghuni di sekitar kampung warisan berkenaan akan dikatakan "milik seorang dari Singapura pada masa dahulu".

Si Polan mengakui dirinya penduduk Kampung Chetti sejak dahulu. Bagaimanapun, agak pelik apabila dia mengeluarkan kenyataan mempersoalkan kredibiliti K Supramania Pillay, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka.

"Ada ratusan orang dengan nama itu," komen Si Polan apabila mempertikaikan kandungan makalah saya yang memetik kenyataan Supramania.

Si Polan mahu hubungi penulis

"Kalau saya ada peluang bertemu penulis itu (Uthaya), saya akan beritahu bahawa apa yang ditulisnya adalah salah," katanya lagi dalam komen di Facebook Si Wanita. "Awak kenal penulis itu? Cuba dapatkan nombor telefon dan saya akan hubunginya untuk berikan fakta sebenar."

Tidak sekadar itu, Si Polan yang mengaku dirinya merupakan "orang terpenting" di Kampung Chetti tergamak menulis komen, "Jangan risau, Kampung Chetti akan alami nasib seperti apa dialami Lembah Bujang."

Mengenai perkara itu, apabila saya menghubungi Si Wanita menerusi mesej Facebook, dia menegaskan bahawa apa yang mungkin cuba dikatakan oleh Si Polan adalah "Kampung Chetti TIDAK akan alami nasib seperti apa dialami Lembah Bujang."

Berikutan komen Si Polan, Si Wanita pula menulis kenyataan "Entahlah mengapa orang (Uthaya) suka menyebarkan berita palsu". Maknanya, mereka memutuskan secara terbuka bahawa kandungan makalah saya adalah palsu dan tidak benar.

Maka saya memutuskan untuk menghubungi Si Wanita dan memintanya menyampaikan nombor telefon dan alamat e-mel saya kepada Si Polan. Tindakan itu selepas mesej peribadi saya kepada Si Polan menerusi Facebook tidak dijawab.

Saya menghubungi Si Wanita menerusi Facebook.Saya menghubungi Si Wanita menerusi Facebook.Berikut adalah transkrip (terjemahan) perbualan saya dan Si Wanita menerusi mesej Facebook. Saya paparkan sebagai panduan dan makluman kepada mana-mana pihak yang masih terpengaruh dengan Si Polan dan beranggapan kenyataan Supramania dan bekas pemegang amanah Kampung Chetti, G Tegarajah, sebagai palsu.

Si Wanita: Jadi awaklah orang yang menulis artikel itu? Saya sangat kenal Si Polan. Dia satu-satunya individu yang mewarisi tradisi dan sejarah sebenar Chetti Melaka. Saya juga sedang menulis buku mengenainya. Saya terkejut membaca ada orang lain (Supramania) mengaku dirinya ketua di Kampung Chetti.

Uthaya: Mungkin anda tidak dimaklumkan bahawa pengurusan, jawatankuasa, pemegang amanah dan "orang penting" di Kampung Chetti sudah bertukar?

Si Wanita: Apabila awak menulis artikel ini, ada tak awak berjumpa Si Polan dan berbincang dengannya dahulu?

Si Wanita mula mendapat pencerahan

Uthaya: Mengapa anda merasakan saya wajib bertemu Si Polan? Saya sudah bertemu bekas pemegang amanah dan Yang Dipertua. Untuk makluman, Si Polan tidak menghadiri sesi taklimat yang saya hadiri di Kampung Chetti pada 15 Disember 2013. Anda mengaku "terkejut" membaca nama Supramania dalam makalah saya. Saya pula terkejut kerana Si Polan tidak memaklumkan kepada anda siapa Yang Dipertua di Kampung Chetti!

Si Wanita: Saya pernah ke rumah Si Polan tetapi tidak pernah ke rumah Yang Dipertua. Saya sedang menulis buku mengenai koleksi barangan peribadi milik Si Polan.

Uthaya: Sekarang baru saya faham. Anda sedang menulis buku mengenai koleksi barangan milik Si Polan. Itu tidak bermakna Si Polan "orang terpenting" di Kampung Chetti. Anda tidak pernah bertemu Yang Dipertua tetapi sesedap mulut menuduh saya "suka menyebarkan berita palsu" menerusi makalah yang saya tulis.

Si Wanita: Saya langsung tidak tahu ada orang lebih penting di Kampung Chetti berbanding Si Polan. Saya tidak tahu mengapa saya tidak diperkenalkan kepada Yang Dipertua. Mungkin saya perlu melawat Kampung Chetti sekali lagi. Saya perlu akui bahawa selama ini saya tidak sangka ada orang lain yang tahu maklumat dan sejarah Kampung Chetti selain Si Polan. Saya hairan kenapa tidak ada sesiapa beritahu saya mengenai Yang Dipertua.

Uthaya: Saya pula sebenarnya hairan mengapa Si Polan tidak memberitahu anda mengenai Yang Dipertua.

Paparan di atas bukan bertujuan mengaibkan sesiapa. Sebaliknya untuk menggambarkan realiti kejahilan orang ramai – termasuk golongan berpendidikan tinggi. Juga mengenai kewujudan musuh dalam selimut yang secara licik cuba memesongkan perhatian orang daripada isu "Lot 93" di Kampung Chetti.

Solidariti Kampung Chetti anjuran Kavyan.Solidariti Kampung Chetti anjuran Kavyan.Makalah ini ditulis sebelum saya menghadiri "Solidariti Kampung Chetti" di kampung warisan berkenaan pada 29 Disember 2013. Saya akan berusaha menulis makalah susulan dalam masa terdekat.

Sementara itu, harapan dan permintaan saya kepada Si Polan dan orang (orang-orang; scarecrow) sepertinya adalah supaya tidak cuba menagguk di air yang keruh.

Kalaulah pun tidak sudi dan tidak berani tampil membantu penduduk Kampung Chetti mempertahankan hak, sekurang-kurangnya jangan menjadi duri dalam daging.

Lebih baik duduk diam-diam di rumah sambil menggilap barangan koleksi peribadi yang dijadikan bahan bagi buku yang sedang ditulis oleh Si Wanita. – 29 Disember, 2013.

* Maklumat 'Solidariti Kampung Chetti' boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Menanti 2014 yang lebih mahal

Posted: 28 Dec 2013 03:27 PM PST

December 29, 2013

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

Akhirnya tirai 2013 berlabuh untuk memberikan laluan kepada kedatangan 2014.

Apakah tahun baru akan menjadi lebih baik buat kita? Kita hanya boleh berharap.

Harapan menyebabkan manusia terus hidup.

Tanpa harapan sudah pasti ramai yang terjun dari bangunan atau menggunakan pelbagai cara lain untuk menamatkan riwayat mereka.

Paling penting apa yang kita pelajari daripada peristiwa-peristiwa berlaku sepanjang 2013 untuk lebih mendewasakan minda kita.

Suka atau tidak 2014 akan menjadi tahun yang lebih mahal buat kita.

Tidak ada lagi yang murah-murah walaupun gaji kita masih terus rendah.

Seorang teman rapat memberitahu beliau baru sahaja berjaya menghabiskan wang simpanan untuk kos persekolahan dua orang anaknya.

Walaupun sekarang ini yuran sekolah dan buku teks percuma bagi sekolah kerajaan, kos untuk membeli buku latihan yang diwajibkan itu amatlah mahal.

Belum lagi ditambah dengan kos lain seperti pakaian sekolah, bas sekolah dan belanja harian.

Bagi yang mempunyai anak ramai, keperitannya lebih terasa.
Apatah lagi tinggal di ibu kota di mana pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan bagi yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak boleh dikira golongan miskin.

Di kala kita sedang pening mencongak apakah kita mampu meneruskan kehidupan di Malaysia pada tahun akan datang, terdapat isu lain yang diperbesarkan oleh media-media arus perdana.

Sepanjang dua minggu ini, tidak adalah cerita lain selain "perhimpunan menggulingkan kerajaan pada 31 Disember."

Membaca akhbar arus perdana dan menonton siaran televisyen utama menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa mereka ini sudah jauh lari daripada kehidupan realiti majoriti rakyat Malaysia.

Dan kalaupun benar isu kerajaan bakal digulingkan pada malam ambang Tahun Baru ini digunakan media-media ini untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada siri kenaikan harga barang pada 2014, nampak sangat tidak bijaknya mereka.

Promosi demi promosi yang diberikan secara percuma di televisyen-televisyen setiap malam bermula dua minggu lalu akan menyebabkan lebih ramai orang membanjiri Dataran Merdeka pada malam 31 Disember ini.

Apatah lagi kebanyakan orang termasuk penyokong-penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) turut marah dengan tindakan kerajaan memungkiri janji Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) untuk memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyat jika menang.

Perlu diingat, separuh daripada rakyat Malaysia menolak BN dalam PRU13 lalu. Golongan ini tidak akan mempercayai apa sahaja yang dihidangkan oleh media-media arus perdana.

Jika TV3 memomokkan perhimpunan 31 Disember ini, lebih 50% yang menolak BN pada PRU13 akan memikirkan sebaliknya.

Ini yang gagal difikirkan oleh pemikir-pemikir kerajaan Malaysia. Bukan kerana mereka bodoh akan tetapi kerana golongan ini sudah berada terlalu jauh daripada realiti kehidupan majoriti rakyat.

Setakat ini sudah ratusan laporan polis dibuat oleh penyokong-penyokong Umno di seluruh negara untuk membantah perhimpunan 31 Disember.

Sedarkah di kala mereka berpanas dan berhujan membuat laporan polis dan bantahan, pemimpin-pemimpin tertinggi parti mereka berseronok 'bershopping' di kota London?

Atau ini sebenarnya persediaan pemimpin-pemimpin tertinggi ini untuk terus menetap di luar negara sekiranya benar kerajaan akan digulingkan?

Bermula 1 Januari ini, wang kita semakin mengecil. Kalau tak percaya, pergilah ke pasar dan bawa RM100, berapa banyak yang boleh kita dapat dengan jumlah wang sebanyak itu?

Bandingkan dengan berbelanja dengan RM100 di pasar pada tahun 2013. Banyak bezanya.

Saya akhiri tulisan ini dengan ucapan Selamat Tahun Baru kepada semua.

Kalau panjang umur, sudah pasti kita bertemu lagi 2014 nanti. – 29 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved