Ahad, 12 Januari 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Liew Chin Tong Pengerusi DAP Johor yang baru

Posted: 12 Jan 2014 03:26 AM PST

January 12, 2014

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong (gambar) dipilih sebagai Pengerusi DAP Johor baru, menggantikan Dr Boo Cheng Hau yang memegang jawatan itu mulai 2005.

Liew, yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP dan anggota jawatankuasa pusat parti, dipilih menyandang jawatan itu oleh 15 anggota jawatankuasa DAP Johor yang bermesyuarat hari ini.

"Keputusan hari ini akan hanya menyatupadukan lagi parti dan saya akan berusaha supaya DAP Johor mencapai segala matlamatnya," katanya kepada pemberita selepas pemilihan hari ini.

DAP Johor sebelum itu mengadakan konvensyen tahunannya yang ke-17.

Liew turut berterima kasih kepada Dr Boo atas sumbangan beliau kepada DAP dan Pakatan Rakyat di Johor serta menawarkan jawatan sebagai timbalannya kepada bekas pengerusi DAP negeri itu namun ditolak.

Dr Boo, yang ditemui selepas itu berkata, Ahli Parlimen Kluang berusia 36 tahun itu memerlukan kebebasan dalam menjalankan tugasnya sebagai pengerusi DAP Johor.

Beliau akan berehat buat ketika dan meneruskan tugasnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai serta ketua pembangkang di Johor.

Kejayaan Liew menewaskan Dr Boo dilihat ramai pemerhati sebagai "kemenangan" Setiausaha Agung dan Penasihat DAP Lim Guan Eng serta Lim Kit Siang, yang tidak mempunyai hubungan baik dengan bekas Pengerusi DAP Johor itu.

S. Ramakrishnan pula dipilih Timbalan Pengerusi DAP Johor manakala veteran Ahmad Ton serta Tan Chen Choon dipilih Naib Pengerusi Satu dan Dua.

Terdahulu, 303 daripada 528 perwakilan yang hadir pada konvensyen parti memilih 15 anggota jawatankuasa DAP Johor daripada 23 calon yang disenarai.

Pada pemilihan itu, Liew di tempat ke-14 dengan 185 undi manakala Dr Boo memperoleh 219 undi untuk berada di tempat ke-10. – Bernama, 12 Januari, 2014.

Gesaan Dr Mahathir kembali isyarat pemberontakan dalam Umno, kata Kit Siang

Posted: 12 Jan 2014 01:48 AM PST

OLEH MD IZWAN
January 12, 2014

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang (gambar) menyifatkan cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Putrajaya merupakan isyarat pemberontakan dalam Umno.

Bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini dalam tulisan blognya menyuarakan cadangan supaya Dr Mahathir kembali ke Putrajaya.

"Cadangan tersebut bukan saya undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Tetapi juga adalah isyarat plot dan konspirasi daripada kuasa tindak balas anti-demokratik dalam Umno dan Barisan Nasional untuk memberontak," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini merujuk kepada tulisan Zainuddin dalam blognya.

Ahli Parlimen Gelang Patah berkata gesaan tersebut sememangnya sudah dijangka memandangkan pentadbiran Najib dilihat lemah khususnya dlam menangani isu kalimah Allah selain cadangan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan semula selepas dimansuhkan oleh Najib pada tahun 2012 lalu.

"Zainuddin Maidin hanya menguji untuk melihat sama ada rakyat Malaysia bersedia untuk melihat Mahathir kembali ke Putrajaya," kata Lim lagi.

Namun, Lim menegaskan negara tidak perlukan Dr Mahathir kerana langkah tersebut hanya akan menyebabkan Malaysia lebih lagi ketinggalan dalam mencapai status negara maju.

"Malaysia tidak perlukan Mahathir kembali ke Putrajaya atau polisi Mahathir dikembalikan dimana telah menyebabkan berjuta bakat negara yang baik hilang begitu sahaja," tegas Lim lagi.

Penasihat DAP tersebut juga berkata Mahathir harus bertanggungjawab kerana kegagalan menggunanakan sumber manusia dan asli yang dimiliki untuk membangunkan Malaysia hingga mengakibatkan rasuah berleluasa, salah guna kuasa, kronisme dan juga sistem kehakiman negara tercalar.

"Kembalikan Mahathir adalah jalan penyelesaian paling buruk untuk negara," ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Dr Mahathir yang mengetuai negara dari 1981 hingga 2003 mencadangkan kepada Putrajaya untuk mengembalikan ISA bagi mengawal kumpulan "minority ekstremis", yang didakwanya menjejaskan kestabilan negara.

"Untuk ekstremis seperti kumpulan itu, kita perlu ISA," kata Dr Mahathir kepada wartawan pada Khamis selepas menjadi tetamu dalam rancangan Hello On Two di RTM2.

Cadangannya itu mendapat sokongan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berharap ISA diperkenalkan semula selepas dimansuhkan, dua tahun lalu.

"Ya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) mencukupi, tetapi apa salahnya dengan ISA?

"Kedua-dua undang-undang itu sesuai untuk sebab berlainan. Sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang, saya mengalu-alukan undang-undang yang boleh membantu saya mengekalkan keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam," katanya.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei tahun lalu, terdapat penyokong Dr Mahathir, termasuk veteran Umno dan blogger yang mendesak supaya bekas perdana menteri itu kembali kerana masih ramai ingat kepimpinan Dr Mahathir yang tegas dalam membuat keputusan sehingga memimpin kepada kerajaan lebih kuat.

Menjelang 2014, ketegangan berlaku lagi berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sementara kumpulan Islam bertegas perkataan Allah itu adalah eksklusif untuk Islam. – 12 Januari, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved