The Malaysian Insider :: Bahasa |
Demonstrasi jalanan cabul hak masyarakat majoriti, kata Dr Mahathir Posted: 24 Jan 2014 02:32 AM PST Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana senario semasa menampakkan bahawa tindakan itu hanya membawa suara kumpulan minoriti atau individu tertentu sahaja sehingga menjejaskan kumpulan majoriti, menyebabkan mereka menerima pelbagai tempias negatif. "Umpamanya bila berlaku demonstrasi, ini mengganggu perniagaan orang lain, ini bermakna kita telah menghapuskan hak orang lain, ini tidak harus dilakukan," katanya pemberita selepas melancarkan Forum Kebangsaan dan Buku "Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam" di Pusat Islam di Kuala Lumpur. Dr Mahathir turut memberi contoh demonstrasi rakyat di Bangkok, Thailand, yang semakin meruncing sehingga pusat perniagaan lumpuh dan menjejaskan mata pencarian rakyat terutama golongan peniaga. Beliau turut menegaskan pelaksanaan hak asasi perlu mempunyai keseimbangan kerana keutamaan kepada hak individu dan kumpulan minoriti semata-mata akan memusnahkan keamanan negara. Dr Mahathir juga menyeru semua pihak agar tidak berpegang kepada fahaman barat yang mementingkan kebebasan dan hak individu serta kumpulan minoriti semata-mata kerana konsep kebebasan ada batasannya. "Hakikatnya kebebasan mempunyai batasan kerana kepentingan majoriti juga harus dijaga tanpa menekankan keperluan minoriti," katanya. – Bernama, 24 Januari, 2014. |
Penduduk berbaju sejuk berikutan suhu rendah di Kuala Krai Posted: 24 Jan 2014 02:04 AM PST Tinjauan Bernama di dua tempat beriadah popular iaitu Taman Tasik Kuala Krai dan Taman Cinta Wangsa, mendapati ramai penduduk melakukan aktiviti riadah lebih lewat daripada kebiasaan berikutan kabus tebal yang menyelubungi kawasan itu. Penjawat awam, Mohd Baihaqi Che Man, 28, berkata beliau kini bersenam sekitar 8 pagi berbanding pukul 7 minggu sebelumnya. "Ini kerana cuaca yang sejuk menyebabkan kabus tebal dan jarak penglihatan menjadi kurang. Saya mengambil keputusan untuk keluar berjoging lewat sedikit pada hari ini kerana bimbang dirempuh kenderaan. "Selain itu, saya terpaksa memakai tiga lapis baju, termasuk baju sejuk, kerana suhu yang lebih sejuk berbanding minggu lepas," katanya. Seorang guru, Abd Aziz Daud, 42, dari Sungai Pas pula menyifatkan keadaan suhu yang rendah di kawasan pedalaman itu adalah luar biasa dan ada murid terpaksa memakai baju sejuk walaupun pada waktu tengah hari. "Bukan sahaja murid malah guru sendiripun ada yang memakai baju sejuk kerana tak tahan dengan keadaan itu. "Bagaimanapun, murid masih datang ke sekolah seperti biasa dan kehadiran tidak terjejas walaupun keadaan suhu yang rendah di kawasan pedalaman," katanya. Seorang lagi penjawat awam, Norazita Ismail, 36, dari Guchil 3, berkata beliau terpaksa mandi menggunakan air panas sebelum ke tempat kerja. "Nak sentuh air pun saya rasa takut, terutama ketika hendak solat Subuh. Air terlalu sejuk... terasa seperti menyentuh ais pada waktu pagi ketika nak berwuduk. "Mujur kereta tak meragam dan dapat dihidupkan seperti biasa walaupun keadaan sejuk pada waktu pagi. Pukul 9.30 pagi pun masih berkabus," katanya. Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata walaupun fenomena suhu rendah berlaku di negeri ini sejak Rabu lepas, tiada sebarang masalah kesihatan dilapor sehingga kini. Portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia pada Rabu lepas melaporkan Kuala Krai mencatat suhu kedua paling rendah iaitu 17.2 darjah Celsius selepas Cameron Highlands (12 darjah Celsius). Suhu di Kuala Krai hari ini ialah minimum 19.1 darjah Celsius dan maksimum 29.2 darjah Celsius manakala di Kota Baru pula, minimum 21 darjah Celsius dan maksimum 27.9 darjah Celsius. Fenomena suhu sejuk itu berpunca daripada luruan udara sejuk dari Tanah Besar China yang bergerak ke Laut China Selatan, dan keadaan itu biasa terjadi ketika Monsun Timur Laut. – Bernama, 24 Januari, 2014. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider : Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan