Sabtu, 4 Januari 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Orang tengah antara punca barang makanan naik di Sabah, kata ketua menterinya

Posted: 04 Jan 2014 01:38 AM PST

January 04, 2014

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (gambar) menyifatkan peranan "orang tengah" turut menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan di negeri ini.

Menurut beliau tindakan orang tengah tidak bertanggungjawab dan ingin mendapatkan keuntungan lebih sehingga membebankan pengguna.

"Kenaikan harga makanan pada masa sekarang bukan sahaja disebabkan harga minyak naik dan tarif elektrik, tetapi saya melihat ada unsur orang tengah ingin mengaut keuntungan lebih.

"Mereka menaikkan harga sesuka hati, sebagai contoh saya dimaklumkan harga udang harimau mencecah RM120 dan ia dinaikkan terlalu tinggi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan Ketua-ketua Cawangan Umno Bahagian Libaran di Sandakan hari ini.

Sehubungan itu, Musa berkata beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet akan datang dan memaklumkan kepada Perdana Menteri.

Beliau juga mahu peranan orang tengah dipantau bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab dengan tidak menjual sesuatu barangan dengan harga tinggi.

Dalam pada itu, bagi menangani kenaikan harga barang, Musa menggalakkan penduduk negeri ini bercucuk tanam sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan rumah mereka.

Katanya ia merupakan antara cara untuk meringankan beban membeli barang makanan untuk jangka masa panjang.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri mencari kaedah terbaharu membantu petani, nelayan dan peladang menambah pendapatan.

Katanya kaedah itu perlu memberi impak yang berkesan dan bermatlamat meningkatkan sumber makanan di negeri ini. – Bernama, 4 Januari, 2014.

Ketua Polis perlu beri penjelasan serbuan Jais, seru Kit Siang

Posted: 03 Jan 2014 11:41 PM PST

January 04, 2014

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar harus memberi penjelasan mengapa beliau membenarkan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Persatuan Bible Malaysia (BSM), sedangkan tugas polis adalah untuk memelihara perlembagaan, kata Lim Kit Siang (gambar).

Pemimpin veteran DAP itu menggesa Khalid untuk menjelaskan sama ada 10 mata penyelesaian untuk kontroversi Bible adalah sah atau sekadar janji palsu.

"Daripada menjejaskan imej polis dengan 'kisah dongeng' seperti 'penggulingan kerajaan' pada ambang tahun baru di Dataran Merdeka, yang telah terbukti hanyalah tipu semata-mata, Khalid seharusnya melakukan sesuatu yang berguna untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kemerdekaan, kecekapan serta profesionalisma polis dengan meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak terlibat dalam membantu serbuan Jais itu.

"Memang tanpa bantuan polis, serbuan Jais yang haram dan melanggar undang-undang itu serta rampasan lebih dari 300 kitab Bible Bahasa Malaysia dan Iban tidak akan berlaku." kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menyoal polis sama ada mereka tahu bahawa rakyat Malaysia bebas mengamalkan agama masing-masing sebagai hak asas perlembagaan.

Kabinet telah mengumumkan 10 mata penyelesaian bagi menghentikan kontroversi Bible pada April 2011.

Antaranya, Bible dalam semua bahasa boleh diimport masuk, serta dicetak di dalam Malaysia, termasuk Bible Bahasa Malaysia dan Iban.

10 mata penyelesaian itu juga turut menegaskan bahawa kerajaan mahu bekerjasama dengan penganut Kristian dan badan agama lain bagi menuju perdamaian antara agama seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Pada 2 Januari, Jais telah menyerbu BSM dan merampas 300 Bible bahasa Malaysia dan Iban serta memanggil dua pemimpinnya ke balai polis untuk diambil kenyataan.

Serbuan itu dikecam ramai termasuk Majlis Peguam Malaysia yang menegaskan tindakan Jais menggunakan Enakmen No.1 Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 khususnya Seksyen 9 hingga 13, bertentangan dengan perlembagaan. – 4 Januari, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved