The Malaysian Insider :: Bahasa |
Putrajaya nafi laporan RSF, dakwa media Malaysia bebas bawah Najib Posted: 12 Feb 2014 02:52 AM PST Laporan RSF yang dikeluarkan di Perancis semalam, menyaksikan Malaysia merosot dua anak tangga ke-147 daripada 180 negara yang disenaraikan. "Atas talian dan cetak, media di Malaysia lebih jauh bebas berbanding sebelumnya," kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini. Jurucakap Putrajaya juga berkata, kebebasan media di Malaysia terserlah dengan laman portal berita dan blog politik bebas menulis tanpa sebarang sekatan. "Malaysia menikmati media atas talian yang terbuka dan bertenaga. "Sesiapa yang melawat portal berita Malaysia atau blog politik boleh melihat dengan sendiri betapa bebasnya media atas talian," katanya. Putrajaya juga menafikan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyekat kebebasan media cetak kerana sengaja menyukarkan pembaharuan lesen kepada pihak penerbitan. "Malah, dibawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, undang-undang lesen media cetak juga dilonggarkan. "Keperluan untuk membaharui lesen cetak setiap tahun dimansuhkan dan kebenaran Kementerian Dalam Negeri untuk menghalang, membenarkan atau menarik balik lesen juga dibuka untuk semakan kehakiman," katanya. Kedudukan terbaru meletakkan Malaysia di bawah negara lain yang kurang membangun seperti Bangadesh (146), Myanmar (145) dan Cambodia (144). Pada 2013, Malaysia sudah pun jatuh ke kedudukan tercorot, iaitu di tangga ke-145 daripada 179 buah negara dalam Indeks Kebebasan Media 2013 – pencapaian terburuk sejak indeks tahunan RSF diperkenalkan pada 2002. Malaysia terjunam 23 anak tangga pada 2013 memandangkan negara ini diletakkan di tangga ke-122 pada 2011/2012 untuk Indeks Kebebasan Media. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media 2014 mungkin di bawah Filipina dan Singapura jika diambil kira tindakan terbaru kerajaan menekan kebebasan media, iaitu pembatalan permit penerbitan FZ Daily, hanya beberapa jam selepas penerbit The Edge Communications Sdn Bhd diberikan izin oleh mahkamah untuk memulakan prosiding terhadap Kementerian Dalam Negeri yang menangguhkan pemberian permit kepada FZ Daily. Pada 2006, kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media agak baik, iaitu di tangga ke-92. – 12 Februari, 2014. |
PRK ujian kepada MCA jika mahu masuk ke Kabinet, kata Chua Posted: 12 Feb 2014 12:51 AM PST Bekas presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, parti kaum Cina dalam Barisan Nasional (BN) itu perlu menggunakan PRK tersebut sebagai kayu pengukur untuk menyakinkan ahlinya dalam mesyuarat khas (EGM) pada 23 Februari depan untuk menerima kembali jawatan Kabinet. "Jika masyarakat Cina mahukan MCA di dalam Kabinet, mereka perlu menolak Anwar," kata Chua, merujuk kepada rancangan PKR meletakkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi campuran itu. "Jika mereka menolak MCA di Kajang, ia menunjukkan mereka tidak mahu wakil MCA dalam kerajaan dan juga Dewan Undangan Negeri Selangor," katanya lagi ketika wawancara bersama The Malaysian Insider hari ini. MCA sebelum ini memutuskan tidak menerima sebarang jawatan kerajaan, susulan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu, di mana mereka hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen, dan 11 daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi. Bagaimanapun, dalam EGM 20 Oktober tahun lepas, ahli-ahlinya mengubah keputusan mereka bagi membenarkan pemimpin parti dilantik ke jawatan peringkat negeri dan ahli majlis tempatan, namun keputusan tidak menerima jawatan Kabinet masih kekal. Sejak itu, penganti Dr Chua, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berulangkali berkata wujud gesaan dalam parti supaya kembali menerima jawatan di Kabinet untuk menjadi suara kepada komuniti tersebut dengan lebih berkesan. Ahli-ahlinya, semasa perhimpunan agung tahunan Disember lepas turut menyatakan rasa tidak puas hati mereka, menegaskan keputusan tersebut tidak memberi prospek baik kepada mereka, kerana tidak mempunyai suara dalam dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan. Namun, Dr Chua berkata masyarakat Cina secara jelas menolak wakil MCA dalam Kabinet, ia terbukti apabila mereka memilih DAP dalam PRU13 lalu. "Saya tidak percaya dengan mempunyai satu atau dua menteri atau timbalan menteri, nasib MCA akan berubah. Atau akan mendapatkan kembali sokongan kaum Cina." Beliau berkata dakwaan Liow mengatakan masyarakat Cina mahu MCA mewakili mereka dalam Kabinet akan memalukan dirinya sendiri jika Anwar menang PRK itu, serta memberi gambaran beliau seorang yang 'pentingkan diri' dan tergesa-gesa untuk menjadi menteri. PRK Kajang ini kali ketiga diadakan sejak PRU13, susulan peletakan jawatan penyandangnya, Lee Chin Cheh daripada parti PKR. Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh pilihan raya pada 23 Mac, manakala penamaan calon pada 11 Mac. BN, bagaimanapun, masih belum mengumumkan nama calon mereka, tetapi khabar angin bertiup kencang Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun akan diletakkan untuk melawan Anwar. – 12 Februari, 2014. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider : Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan