Jumaat, 7 Februari 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Video Teresa Kok memalukan masyarakat Cina, kata Teoh

Posted: 07 Feb 2014 01:56 AM PST

February 07, 2014

Klip video yang dihasilkan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang menyentuh isu dan menyindir pemimpin negara baru-baru ini adalah sesuatu yang memalukan masyarakat Cina, kata Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Jason Teoh (gambar).

Beliau berkata tindak tanduk yang tidak sihat dan negatif seperti ini tidak seharusnya dilakukan terutama semasa sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

"Ya, saya akui sebagai orang Cina saya malu dengan tindakan Teresa Kok itu, langsung tidak menghormati perasaan rakyat negara ini," katanya pada sidang akhbar di Kelab Akhbar Cina Johor Selatan di Johor Baharu hari ini.

Beliau berkata sebagai anggota parlimen, Kok seharusnya berbuat sesuatu yang positif yang boleh diteladani masyarakat.

Video bertajuk "Onederful Malaysia" sempena sambutan Tahun Baharu Cina itu dimuat naik ke dalam Youtube yang menunjukkan Kok menemu ramah tiga tetamu yang menyindir pelbagai perkara termasuk isu keselamatan di Sabah dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 di negeri itu.

Teoh berkata kenyataan mereka dalam video itu jelas bertujuan menggagalkan promosi TMM 2014.

Katanya kebijaksanaan Kok sepatutnya digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang mampu mengeratkan hubungan sesama kaum di negara ini seperti yang dilakukan oleh SP Setia Berhad Group menerusi video clip Tahun Baharu Cina syarikat itu.

Sebelum itu, beliau berkata empat individu dan dua badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina di Johor telah membuat laporan polis mengenai klip video Kok itu.

Seorang daripada mereka ialah pengusaha industri pelancongan dari Kota Tinggi, Liew Kim Fook, 48.

Liew yang membawa pelawat dari Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura untuk menyaksikan kunang-kunang di daerah itu menyifatkan klip video berkenaan sebagai khianat terhadap rakyat kerana memperlekeh tahap keselamatan negara dan boleh menjejaskan pendapatan pengusaha industri pelancongan negara ini.

Mereka mahu Kok membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat negara ini berhubung tindakannya itu. - Bernama, 7 Februari, 2014.

Tarikh pengundian lewat bukan perkara baharu

Posted: 07 Feb 2014 01:47 AM PST

February 07, 2014

Sejurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, pelbagai tuduhan dilemparkan kononnya suruhanjaya itu sengaja melengah-lengahkan tarikh pengundian dan mempunyai agenda tersembunyi.

SPR dimaklumkan secara rasmi mengenai kerusi yang dikosongkan secara mengejut oleh Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 27 Januari, sebelum mengadakan mesyuarat khas pada 5 Februari menetapkan tarikh penamaan calon pada 11 Mac manakala hari pengundian 23 Mac, yang mana jarak masa sehingga hari pengundian ialah 56 hari.

Kebanyakan blog-blog pro pembangkang menuduh kononnya penetapan tarikh itu mempunyai tujuan tersirat untuk mensabotaj calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila jarak masa itu dilihat 'amat luar biasa' dan dikatakan tidak pernah sebegitu lewat dalam sejarah negara.

Mereka mendakwa tarikh PRK itu sengaja dilengahkan kerana rayuan kes liwat Ketua Pembangkang di Mahkamah Rayuan akan didengar pada 11 Februari ini, selain turut mengaitkan dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan bermula pada pertengahan bulan ini sebagai "gula-gula" untuk rakyat.

BUKAN PERTAMA KALI

Hakikatnya, terdapat PRK yang diadakan atas faktor sama iaitu kekosongan kerana meletak jawatan memakan masa lebih lama daripada DUN Kajang.

PRK Bukit Selambau, Kedah yang dikosongkan pada 8 Februari 2009 ekoran peletakan jawatan V. Arumugambukan (PKR), menyaksikan hari pengundian ditetapkan 58 hari kemudian iaitu pada 7 April 2009.

PRK DUN Penanti, Pulau Pinang pula diadakan pada 31 Mei 2009 selepas 45 hari Mohammad Fairus Khairuddin, yang juga daripada PKR, meletak jawatan.

Seorang penganalisis politik, Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat berkata tuduhan jahat seumpamanya tidak harus wujud kerana tidak menjadi kesalahan untuk SPR menetapkan sebarang tarikh asalkan tempoh masa itu tidak melebihi 60 hari dari tarikh kekosongan.

Beliau berkata SPR pastinya memerlukan tempoh masa lebih panjang daripada kebiasaan kerana kekosongan kerusi itu berlaku di luar jangka, selain bagi memastikan persiapan yang rapi dan terperinci dapat dijalankan.

"Memang kebiasaannya dua atau tiga minggu sahaja, tetapi tidak pelik jika ambil masa lebih panjang kerana setiap kawasan memerlukan saiz persediaan yang berlainan," katanya kepada Bernama.

Ketika mengumumkan tarikh PRK DUN Kajang pada Rabu lalu, Pengerusi SPR Abdul Aziz Yusof menjelaskan SPR perlu menyediakan daftar pemilih yang lengkap, tempat mengundi, penamaan calon dan pengiraan undi yang baik, menempah khas dakwat kekal dari luar negara dan sekurang-kurangnya dua minggu latihan untuk petugas SPR.

TIADA AGENDA TERSEMBUNYI

Shamsul Adabi berkata sementara SPR tiada sebarang agenda ketika menetapkan tarikh penamaan dan pengundian, parti pakatan bijak memanupulasi keadaan untuk menghamburkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan dan SPR.

"Anwar sendiri tahu rayuan kesnya bila disebut tetapi sandiwara beliau berjaya membakar sentimen penyokong agar SPR dan kerajaan dilihat seperti mahu mengenakan Ketua Pembangkang," katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata tuduhan bahawa SPR mempunyai agenda tersembunyi tidak masuk akal kerana sebagai badan bebas, SPR tidak mempunyai sebab untuk mengenakan Anwar.

Katanya adalah mustahil hari penamaan atau pengundian dijalankan sebelum tarikh rayuan kes Anwar kerana tarikh itu sudah begitu dekat, malah tarikh yang ditetapkan juga jauh dari tarikh rayuan kes, jelas menunjukkan tiada cubaan sabotaj.

Beliau berkata SPR pastinya tidak mahu hari pemilihan atau pengundian bertembung atau berdekatan dengan rayuan kes Anwar, yang telah dinamakan sebagai calon, bagi mengelak suasana politik tegang jika dijalankan berdekatan.

"Pastinya SPR mahukan PRK DUN Kajang ini berjalan dan berakhir dengan lancar tanpa sebarang pertikaian berbangkit, ditambah dengan jumlah pengundi yang
ramai. Maka saya lihat tiada alasan lain (PRK lambat) melainkan keperluan persiapan yang lebih rapi dan berhati-hati," katanya.

MANFAAT UNTUK BN DAN PEMBANGKANG

Mohamed Mustafa berkata parti pembangkang seharusnya bersyukur kerana dengan tempoh masa yang panjang, mereka berpeluang menguatkan jentera parti, begitu
juga kepada Barisan Nasional (BN).

"Tidak dinafikan kelebihan di tangan pembangkang tetapi dengan masa yang panjang, kedua-dua parti mempunyai kelebihan untuk mantapkan jentera... justeru perlu bijak menggunakan tempoh masa itu sebaik mungkin," katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas, Lee memenangi kerusi DUN Kajang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

PRK DUN Kajang merupakan PRK ketiga dalam tempoh tidak sampai setahun PRU13 diadakan, selepas PRK DUN Kuala Besut, Terengganu dan DUN Sungai Limau di Kedah, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya. - 7 Februari, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved