Khamis, 20 Mac 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Keputusan permohonan Rafizi, lima lagi ketepi pertuduhan pada 30 April

Posted: 20 Mar 2014 03:00 AM PDT

March 20, 2014

Mahkamah Tinggi menetapkan 30 April ini bagi keputusan permohonan Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli (gambar), sekreteriat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Muhammad Adib Ishar dan empat aktivis pembangkang untuk mengetepikan pertuduhan terhadap mereka mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pendakwa raya dan peguam-peguam.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, peguam N Surendran mewakili Rafizi dan Muhammad Adib manakala peguam Eric Paulsen pula mewakili empat aktivis pembangkang iaitu bekas pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris, Adam Adli Abdul Halim, 26, pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Safuan Anang@Talib, 25, sekreteriat SMM Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, 23, dan Presiden Persatuan Islam Universiti Malaya Mohamed Bukhari Mohamed Sufian, 24.

Dalam permohonan itu, Rafizi dan Muhammad Adib serta Adam Adli, Muhammad Safuan, Ekhsan Bukharee dan Mohamed Bukhari memohon pertuduhan terhadap mereka diketepikan dan prosiding di Mahkamah Sesyen digantung sehingga prosiding pendengaran permohonan di Mahkamah Tinggi selesai.

Pada 24 Julai tahun lepas, Rafizi, 37, dan Muhammad Adib, 25, didakwa menganjurkan perhimpunan tanpa mematuhi syarat Ketua Polis Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad iaitu memperoleh persetujuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini antara 2 dan 6 petang pada 22 Jun lepas mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, sebagai penganjur, mereka didakwa gagal menyertakan salinan persetujuan DBKL bertarikh 12 Jun 2013, iaitu 10 hari sebelum perhimpunan diadakan kepada Zainuddin dan didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Adam Adli, Muhammad Safuan, Ekhsan Bukharee dan Mohamed Bukhari didakwa menyertai perhimpunan itu di tempat larangan iaitu dalam pekarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya antara 12 tengah hari dan 1.15 petang pada hari sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan. - Bernama, 20 Mac, 2014.

Khairy bawa isu salah guna dadah kalangan belia kepada Kabinet esok

Posted: 20 Mar 2014 02:54 AM PDT

March 20, 2014

Menteri Belia dan Sukan (KBS) Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) akan membawa isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia kepada Jemaah Menteri esok, susulan kematian enam orang akibat mengambil dadah berlebihan pada satu konsert di sini minggu lepas.

Khairy berkata perkara itu perlu diketengahkan kepada kabinet bagi mempergiat usaha memberi kesedaran dan pendidikan kepada golongan belia mengenai penyalahgunaan dadah.

"Kita bukan sahaja mahu melihat dari segi penganjuran konsert tetapi juga perkara pokok iaitu kesedaran dan pendidikan yang perlu diberikan kepada generasi muda berkaitan dengan penyalahgunaan dadah terutamanya apabila dicantumkan dengan acara-acara hiburan.

"Bukan kita ingin menghalang penganjuran mana-mana konsert tetapi saya harap perkara ini (penyalahgunaan dadah) dapat dikawal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Majlis Perundangan Belia Negara Ketiga 2013-2014 di Pusat Belia Antarabangsa di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata KBS amat berharap insiden itu, yang turut menyebabkan beberapa lagi belia kritikal kerana pengambilan dadah berlebihan ketika menonton konsert Festival Future Music Asia (FMFA) 2014 di Stadium Bukit Jalil, tidak berulang.

Dalam kejadian awal Sabtu lepas, tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 dan 28 tahun meninggal dunia manakala 14 lagi dirawat di hospital akibat pengambilan dadah berlebihan.

Konsert tiga hari itu, yang bermula Khamis lepas, dibatalkan pada Sabtu berikutan kejadian itu.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata kementerian akan memberikan insentif berjumlah RM2,000 kepada mana-mana pertubuhan belia yang berjaya mencapai penarafan lima bintang berdasarkan penilaian oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia.

Sistem penarafan bintang pertubuhan belia yang diperkenalkan tahun lepas merupakan kaedah penilaian terhadap semua pertubuhan belia berdaftar mengikut Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007.

"Kita akan mempraktikkan sistem sama pada masa akan datang bagi mana-mana persatuan belia yang menunjukkan prestasi yang baik. Kita akan memberi insentif berbentuk peruntukan tambahan supaya persatuan dapat menjalankan program dirangka," katanya.

Persidangan sehari itu yang dihadiri perwakilan KBS, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia itu antara lain membincangkan kajian hasil makmal kos sara hidup oleh MBM serta penyertaan belia dalam pertubuhan koperasi di negara ini. - Bernama, 20 Mac, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved