Jumaat, 28 Mac 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Majistret perlu buat keputusan kukuh dalam inkues Teoh Beng Hock, kata peguam

Posted: 28 Mar 2014 02:26 AM PDT

March 28, 2014
Latest Update: March 28, 2014 05:50 pm

Majistret mengendalikan inkues perlu membuat keputusan kukuh berhubung punca kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock, dan tidak membuat keputusan terbuka, Mahkamah Rayuan Putrajaya diberitahu hari ini.

Peguam Gobind Singh Deo (gambar) berhujah seorang majistret diberi kuasa mengikut Kanun Acara Jenayah untuk merumuskan dapatan bahawa punca kematian adalah kes bunuh atau kes bunuh tanpa niat.

Beliau mewakili Teoh Meng Kee, abang Beng Hock, 30, yang ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darahnya sendiri di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, tempat terletaknya Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor sebelum ini, pada pagi 16 Julai, 2009.

Gobind Singh berhujah dalam rayuan dikemukakan anak guamnya terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 5 Jan, 2010 yang membuat keputusan terbuka bahawa kematian Beng Hock bukan akibat bunuh diri atau dibunuh dan juga mendapati tiada penglibatan pihak ketiga dalam kematian itu.

Beliau berkata adalah tidak betul untuk mencadangkan bahawa tugas menjalankan inkues hanya sekadar amalan mencari fakta.

Beliau berkata tidak perlu Mahkamah Koroner mengguna pakai standard bukti melampaui keraguan munasabah semasa merumuskan dapatannya kerana ia bukan prosiding jenayah iaitu apabila seseorang itu dibicarakan dan akan disabitkan dan dihukum.

Sebaliknya, Gobind Singh berkata standard bukti imbangan kebarangkalian sepatutnya diguna pakai.

Sementara itu, panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memerintahkan semua pihak dalam rayuan itu membuat hujahan lanjut berhubung Seksyen 328 Kanun Acara Jenayah, berkaitan bidang kuasa seorang majistret mengendalikan inkues dan apakah keputusan boleh dibuat majistret.

Panel itu menetapkan 18 April bagi pihak-pihak hadir di hadapan pendaftar Mahkamah Rayuan untuk menguruskan rekod rayuan dan memasukkan dokumen tertentu.

Mohamad Ariff juga berkata mahkamah akan menetapkan empat hari berturut-turut sambung bicara rayuan itu.

Selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka itu, Meng Kee memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi keputusan itu disemak.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan (Meng Kee) untuk semakan pada 1 Disember, 2011.

Beliau memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 2 Februari, tahun lepas untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. – Bernama, 28 Mac, 2014.

Undi majoriti penting untuk Barisan di PRK Balingian

Posted: 28 Mar 2014 02:03 AM PDT

March 28, 2014

Meskipun tidak ada kejutan dijangka berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, jentera Barisan Nasional (BN) mengharapkan majoriti yang lebih besar sebagai penghormatan kepada kepimpinan negeri yang baru.

PRK ini adalah pilihan raya pertama di Sarawak di bawah Ketua Menteri baru, Tan Sri Adenan Satem (gambar) yang mengambil alih teraju pimpinan negeri daripada Tan Sri Abdul Taib Mahmud awal bulan ini.

"Mereka menyasarkan sekurang-kurangnya 6,000 majoriti. Itulah sebabnya mengapa semua jentera negeri dihantar untuk berkempen di Balingian," kata Dr Awang Azman Awang Pawi dari Institut Kajian Asia Timur Unimas.

Sekiranya undi majoriti kurang daripada yang disasarkan, ia mungkin satu kekecewaan kepada Ketua Menteri baru kerana beliau sendiri turun padang untuk berkempen di Mukah.

"BN perlu menang besar. Mereka tidak boleh ambil mudah. Mereka perlu bekerja keras untuk memastikan jumlah pengundi yang pergi mengundi adalah tinggi.

"Pengundi mungkin bersikap acuh tak acuh dan memikirkan BN pasti menang lalu mereka tidak keluar mengundi secara beramai-ramai," katanya.

Taib mengosongkan kerusi DUN Balingian selepas menyerahkan tampuk pemerintahan kerajaan negeri kepada Adenan dan menjadi Gabenor Sarawak.

PRK Balingian Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Yussibnosh Balo, 46, dan calon PKR, Abdul Jalil Bujang, 55.

Dr Awang Azman menjelaskan berdasarkan anggarannya, calon PKR berkemungkinan memperoleh paling banyak antara 1,000 dan 1,500 undi, kebanyakannya dari mereka yang tinggal di bandar Mukah serta kawasan pengundi Iban seperti hasil pilihan raya lepas.

"Berdasarkan hasil Pilihan Raya Umum Mei tahun lepas, kebanyakan undi untuk pembangkang datang daripada pengundi di kawasan bandar Mukar dan beberapa rumah panjang Iban.

"Bagaimanapun, saya menjangka kali ini BN akan memperoleh juga undi dari kawasan bandar kerana beberapa isu berkait kepada kepimpinan negeri sudah tiada lagi. Lagi pun, ini adalah pilihan raya kecil, bukan pilihan raya umum," katanya.

Terdapat 13,366 pengundi berdaftar dengan majoritinya Melanau/Melayu seramai 7,705 pengundi (57.65%), Iban 3,875 (28.99%), Cina 1,683 (12.59%), Orang Ulu 29 (0.22%), Bidayuh 19 (0.14%) dan lain-lain 55 (0.41%).

Seorang lagi pensyarah di Unimas, Dr Jeniri Amir berkata berdasarkan BN memperoleh 80% undi popular dalam pilihan raya negeri pada tahun 2011, BN dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kerusi itu dengan sekurang-kurangnya 7,000 majoriti.

Beliau menjelaskan, sewaktu Taib mula-mula bertanding untuk kerusi itu pada tahun 2001, beliau memperoleh 7,307 undi popular.

Pada tahun 2006 beliau mendapat 5,726 undi dan pada tahun 2011, jumlah undi yang diterima merosot kepada 5,154, iaitu masih kira-kira 80% undi popular.

"Untuk pilihan raya kecil ini, saya percaya calon BN dengan mudah boleh memperoleh antara 85-90% undi. Alasannya mudah, rekod sebelum ini menunjukkan setiap kali calon baru diperkenalkan, jumlah undi menyokong meningkat," katanya.

Tambahan pula, beliau berkata, BN telah meletakkan calon popular dan disenangi rakyat di peringkat akar umbi yang mempunyai kefahaman baik akan masalah yang dihadapi mereka.

"Pertama mereka menghormati perjanjian tradisi. Kedua, mereka meletakkan calon yang dikenali ramai dan datang dari akar umbi. Ketiga, mereka meletakkan seseorang yang mempunyai pengalaman pentadbiran sebagai calon.

"Bekas pegawai daerah itu mempunyai semua kriteria yang dikehendaki penduduk tempatan.

"Pada saya Yussi (Yussibnosh Balo) boleh memenangi sekurang-kurangnya 7,000 undi majoriti, bergantung jika jumlah pengundi yang pergi mengundi tidak kurang daripada 70%," katanya.

Yussibnosh ialah bekas pegawai daerah Dalat dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan awam.

Beliau ialah dari keturunan Melanau, beragama Kristian dan ialah ahli biasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Beliau juga anggota jawatankuasa parti cawangan Kampung Tellian.

Beliau akan dicabar calon PKR, Abdul Jalil, ahli perniagaan keturunan Melanau beragama Islam.

Meskipun sesetengah pihak menjangka undi majoriti BN mencapai setinggi 7,000, sekretariat BN untuk PRK ini mengambil pendirian yang lebih berhati-hati.

Mereka hanya menyasarkan majoriti 6,000 undi dan jumlah yang lebih daripada itu dianggap bonus.

"Secara jujurnya, kami akan menyasarkan majoriti 6,000. Banyak faktor yang perlu ditimbangkan. Ini termasuk keadaan cuaca serta pergerakan pengundi pada hari pengundian yang amat penting," kata setiausaha politik Ketua Menteri, Awangku Jamuddin Pangiran Kon.

"Jika hari hujan, kemungkinan ramai pengundi tidak pergi mengundi. Sejak beberapa hari kebelakangan ini cuaca memang panas tetapi mulai hari ini, musim hujan nampaknya sudah bermula," kata beliau. – Bernama, 28 Mac, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved