The Malaysian Insider :: Bahasa |
Salleh gesa Putrajaya pertimbang tambah royalti minyak Posted: 29 Mar 2014 02:59 AM PDT Katanya semakan semula itu perlu dilakukan dan sesuatu yang amat tepat dengan masanya berdasarkan saranan yang disuarakan pelbagai pihak, termasuk para pemimpin Barisan Nasional (BN) di negeri ini agar kadar bayaran royalti minyak kepada Sabah dinaikkan. Salleh, yang juga speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata beliau percaya majoriti rakyat negeri ini akan menyokong langkah itu. "Justeru, kerajaan persekutuan perlu menimbang perkara ini dengan serius untuk kebaikan rakyat dan negeri ini. "Jangan ketepikannya (permintaan mereka)... majoriti akan bersetuju dengan mereka dan sekiranya mereka (kerajaan persekutuan) tidak dapat memenuhinya, mereka perlu beri penjelasan, termasuk opsyen yang boleh diberi kepada Sabah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan drift di Kota Belud hari ini. Salleh berkata demikian apabila diminta mengulas saranan sayap pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) semalam agar kerajaan menimbang menambah bayaran royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak, daripada lima peratus kepada 20%. Pemuda PBS Datuk Jake Nointin, Arthur Sen (Upko) dan Arthur Kurup (PBRS) dipetik sebagai berkata mereka akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan tidak lama lagi. Mereka dilaporkan menyuarakan saranan itu berikutan kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini yang meminta agar kadar bayaran royalti minyak kepada negeri ini dinaikkan kepada 20%. Salleh berkata beliau yakin kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mencapai penyelesaian baik tentang perkara itu. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Najib dengan berkata "beliau adalah orang terbaik untuk menangani isu royalti ini". – Bernama, 29 Mac, 2014. |
Anwar, Wan Azizah tanding jawatan presiden PKR, Azmin berdepan tentangan sengit Posted: 29 Mar 2014 02:48 AM PDT Dr Wan Azizah membuat kejutan apabila menghantar borang penamaan calon untuk mempertahankan jawatannya. Pengumuman dibuat oleh Pengerusi Pemilihan, Datuk Johari Abdul selepas selesai tempoh pencalonan jam 5 petang. Pencalonan Anwar juga mengejutkan kerana Ketua Umum PKR masih berdepan kemungkinan hukuman penjara selepas disabit bersalah atas tuduhan meliwat. Dalam pada itu, penyandang Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dicabar lima calon – Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk K Ramachandran dan Murali Subramaniam. Bagi jawatan Naib Presiden, sebanyak 16 pencalonan diterima, antara calon-calon tersebut adalah Nurul Izzah Anwar, Baru Bian, N Surendran, Datuk Dr Mansor Othman, Fuziah Salleh, Mustafa Kamil Ayub dan R Suresh Kumar, Elizabeth Wong, Rafizi Ramli, Lee Chin Cheh, Dr Punithan Shan, Md Yahya Shaari dan Shamsul Iskandar. Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, seramai 78 borang pencalonan diterima oleh jawatankuasa pemilihan parti. Penyandang Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin pula berdepan satu lawan satu selepas dicabar Rodziah Ismail, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga dan Exco kerajaan negeri Selangor Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Nazree Yunus yang juga merupakan penyandang timbalan AMK sebelum ini dan Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari. Hari ini bermula penamaan calon di peringkat pusat. Bagi peringkat cawangan pula, ia akan diadakan mengikut zon bermula 4 hingga 13 April ini. Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini. – 29 Mac, 2014. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider : Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan