Jumaat, 7 Mac 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Penyokong Anwar anjur himpunan solidariti malam ini di Stadium Kajang

Posted: 07 Mar 2014 02:53 AM PST

March 07, 2014

Perhimpunan solidariti untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dirancang akan diadakan di Stadium Kajang malam ini.

Aktivis PKR dan juga Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shahrin atau Cikgu Bard berkata, ia akan diadakan jam 8 malam ini.

Ia adalah himpunan pertama yang dirancang ekoran keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan rayuan Putrajaya dan menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Anwar.

Sehingga ini, mahkamah masih belum menjatuhkan hukuman ke atas Anwar walaupun sudah didapati bersalah.

Kajang dipilih kerana semua jentera PKR berada di sana ekoran pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam respons segera terhadap keputusan mahkmah ini, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, "Perasaan paling buruk adalah, saya tidak terkejut dan bersedia dari segi mentalnya untuk ketidakadilan ini".

Bekas pengerusi bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan berkata melalui laman Twitternya, dia terkejut dan meminta Anwar terus cekal.

"Saya tidak percaya ia boleh berlaku," katanya.

Elizabeth Wong dari PKR yang juga Adun Bukit Lanjan berkata: "Memeranjatkan. Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar Ibrahim. Di mana keadilan?"

Sementara itu,Timbalan Pengarah, Bahagian Asia, Human Rights Watch Phil Robertson berkata, ini adalah penghakiman politik.

"Perbicaraan ini bertujuan untuk menendang Anwar keluar dari politik dan kerajaan bersedia untuk berbuat apa saja untuk mempastikan ia berlaku.

"Anwar dan keluarga beliau nampaknya terperangkap dalam mimpi ngeri yang tidak ada penghujung dalam karier politiknya, di mana mahkamah telah digunakan sebagai alat untuk menjatuhkan hukuman politik.

"Memang benar, hari gelap kepada kehakiman di Malaysia yang menunjukkan diri mereka sendiri tidak mampu berdiri tegap bila isu politik dimainkan di depan mereka.

"Kes yang dihadapi Anwar tidak sepatutnya dipertimbangkan sebagai jenayah sejak awal-awal lagi," katanya. – 7 Mac, 2014.

Institusi Kesultanan Melayu hadapi cabaran besar kekal relevan, titah Raja Nazrin

Posted: 07 Mar 2014 02:21 AM PST

March 07, 2014

Institusi Kesultanan Melayu kini berhadapan cabaran lebih besar untuk menjadi institusi yang kekal relevan serta diterima secara positif dan dihormati rakyat, titah Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah (gambar).

Baginda bertitah kebelakangan ini kedengaran suara yang secara terbuka mencabar peruntukan tertentu undang-undang negara, bersikap melanggar adat dan adab serta mempersendakan Institusi Kesultanan di negara ini.

"Pada 21 Februari 2014, Mahkamah Tinggi mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Yang Berhormat Karpal Singh (Pengerusi DAP) yang didapati bersalah atas tuduhan melafazkan perkataan berbaur hasutan terhadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada 6 Februari 2009," titah baginda pada Mesyuarat Ke-156 Dewan Negara Perak di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

Baginda bertitah usaha untuk memastikan institusi itu kekal relevan hendaklah difikirkan secara bijak dengan melaksanakan program yang berupaya merapatkan hubungan Raja dengan rakyat agar fahaman dan penghargaan rakyat terhadap Institusi Kesultanan dapat ditingkatkan.

Raja Nazrin bertitah program yang melibatkan Raja Pemerintah hendaklah dirangka dan diolah agar dapat memberi pengertian dan mengisi makna serta berupaya memberikan impak dan keberkesanan.

"Program-program jangan sekadar hanya berwajah istiadat, dianjurkan dan dihadiri oleh lingkungan audiens yang sama lagi terbatas. Program-program yang tidak dirancang secara bijak bersifat permukaan.

"Program-program sedemikian tidak produktif dan gagal memenuhi falsafah dan matlamat ia dianjurkan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah program sedemikian merupakan satu pembaziran sumber, tenaga, masa dan kewangan kerana tidak mendatangkan sebarang nilai tambah mahupun pulangan.

"Oleh itu, program-program yang melibatkan Raja Pemerintah, bermula dengan program sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak pada tahun ini, perlu diolah secara bijaksana, disuntik dimensi baharu, disegarkan dengan kandungan lebih dinamik, ditiupkan roh yang menghidupkan agar dapat merapatkan tautan hubungan di antara Raja dengan rakyat dan mengimbangkan antara protokol dengan imej kemesraan Raja Pemerintah terhadap rakyat," titah baginda.

Baginda bertitah untuk tujuan itu ia memerlukan perekayasaan semula beberapa perkara dari segi komposisi tetamu yang diundang serta susun atur tempat duduk agar Raja tidak kelihatan bersemayam terlalu jauh dengan audiens dan hanya diapit orang-orang yang sama serta melihat wajah yang serupa.

Raja Nazrin bertitah program dianjurkan di peringkat daerah pula sewajarnya memberi peluang kepada lebih ramai tetamu untuk mengenali Raja dan Raja juga berpeluang mengenali mereka.

Baginda bertitah untuk itu, ketua-ketua jabatan di peringkat negeri memadai dijemput secara selektif dan bergilir agar lebih ruang dapat diberikan kepada tetamu di peringkat daerah.

"Sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO), wakil-wakil pelbagai agama, persatuan-persatuan kebajikan, belia, sukan dan pelajar, perkhidmatan beruniform, pengetua, guru besar dan guru-guru serta penghulu hendaklah dimasukkan dalam senarai jemputan, agar lebih ramai konstituen berpeluang berinteraksi dengan Raja Pemerintah," titah baginda.

Baginda bertitah selaras dengan langkah berjimat cermat kerajaan, aspek kos juga hendaklah dikawal dan diberikan perhatian serius agar rakyat tidak tersalah anggapan terhadap Institusi Raja.

"Kemeriahan sesuatu acara hendaklah menekankan aspek penyertaan rakyat, dimeriahkan kerana kehadiran rakyat dengan perbelanjaan yang sederhana lagi berpatutan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah demi menjamin kelangsungan dan kefahaman rakyat jelata akan peranan serta kerelevanan Institusi Raja, perekayasaan pendekatan amat perlu diperkenalkan agar terjalin rasa kasih, sayang serta hormat rakyat kepada Raja Pemerintah. – Bernama, 7 Mac, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved