Ahad, 9 Mac 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Adik sedih terima mesej terakhir ucapan hari jadi daripada abang

Posted: 09 Mar 2014 04:35 AM PDT

March 09, 2014

Adik perempuan kepada seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 tidak menyangka ucapan "Selamat hari jadi" daripada abangnya adalah mesej terakhir yang diterimanya.

S Thenmoli, 26, eksekutif operasi di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, berkata abangnya, S Puspanathan, 34, menghantar mesej menerusi WhatsApp: "Take Care, tot if u cum today (Friday), we go for dinner; Anyway see u after I back from China and Wish u advance happy birthday". (Jaga diri, jika kamu datang hari ini (Jumaat), kita pergi makan malam; Apa pun jumpa kamu selepas saya balik dari China dan Ucapan lebih awal, selamat menyambut hari jadi".)

Beliau berkata mesej itu dihantar beberapa jam sebelum abangnya menaiki pesawat MH370 yang dilapor hilang pagi semalam.

Puspanathan bekerja dengan sebuah syarikat swasta di ibu kota dan berlepas ke Beijing, China atas urusan kerja.

"Hari ini merupakan hari lahir saya yang ke-26 dan saya tidak mempunyai adik-beradik lain dan sekarang saya amat merindui abang saya," katanya hari ini.

Thenmoli berkata Puspanathan sering ke luar negara atas urusan kerja dan beliau akan menghubungi keluarga dengan menghantar e-mel, tetapi kali ini, mereka tidak menerima sebarang panggilan daripadanya.

"Sudah beratus kali saya membuka e-mel dengan harapan abang akan membalas e-mel dengan menyatakan dia telah sampai destinasi dengan selamat, namun tiada apa-apa maklum balas sampai sekarang," katanya.

Puspanathan berkahwin dengan K Sridevi, 30, suri rumah dan pasangan itu mempunyai dua anak lelaki P Varmer, 3, dan P Thashuvarmen berusia setahun.

Thenmoli berkata sejak insiden itu, anak sulung abangnya Varmer sering bertanya ayahnya kenapa tidak menghubungi mereka.

"Kakak ipar saya kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengetahui perkembangan insiden ini," katanya.

Katanya, anggota keluarganya kini trauma dengan insiden itu kerana Puspanathan seorang yang bertanggungjawab dan mengambil berat hal keluarga.

Operasi menyelamat dilancarkan sejak semalam selepas pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal menuju ke Beijing dilaporkan hilang daripada radar pukul 1.30 pagi semalam, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA. – Bernama, 9 Mac, 2014.

Bapa seorang penumpang MH370 masih mengharapkan yang terbaik

Posted: 09 Mar 2014 04:27 AM PDT

March 09, 2014

Bapa seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang, Mohamad Sofuan Ibrahim, masih menaruh harapan agar anaknya terselamat daripada segala malapetaka.

Ibrahim Abd Razak berkata anak bongsunya itu adalah seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang ditempatkan di pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Beijing.

Bagaimanapun beliau dan keluarganya tetap reda dengan ketentuan Allah.

"Semasa panggilan telefon oleh pihak MAS, saya berada di rumah Sofuan tetapi panggilan telefon dibuat di kampung saya. Panggilan itu dijawab oleh kakak Sofuan," katanya.

Beliau berkata selepas menerima berita itu beliau bersama isterinya terus bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sehingga kini masih menunggu arahan untuk membawa mereka ke lokasi.

Sofuan, 33, yang juga anak lelaki tunggal daripada lima beradik, sebelum ini adalah pegawai di Istana Negara dan baru sahaja ditugaskan di Beijing bagi tempoh enam bulan.

Operasi menyelamat dilancarkan sejak semalam selepas sebuah pesawat MAS yang membawa 227 penumpang menuju ke Beijing dilaporkan hilang oleh pihak pengawal trafik udara awal pagi semalam. – Bernama, 9 Mac, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved