Isnin, 10 Mac 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Mencari calon PM Pakatan PRU14

Posted: 09 Mar 2014 05:12 PM PDT

March 10, 2014

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Realiti politik di Malaysia mengkehendakan calon PM mestilah dari kalangan Islam-Melayu.

Oleh itu, artikel ini tidak akan mengulas mengapa calon daripada kaum dan agama lain tidak diutarakan untuk menjadi calon PM.

Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat bertanding di PRU14, siapa yang boleh diketengahkan menjadi calon perdana menteri Pakatan Rakyat (PR)?

Siapa di kalangan pimpinan PR kini yang mendapat sokongan ketiga-tiga parti untuk menerajui satu kedudukan yang penting?

Hanya di Selangor saja sesuai menjadi tempat untuk PR mencari calon PM di PRU14 selepas kehilangan Anwar kerana di negeri ini, ketiga-tiga komponen parti PR hampir sama kuat.

Di negeri Pulau Pinang, bukan negeri yang boleh dilihat mewakili komponen parti PR dengan baik, begitu juga dengan Kelantan.

Pendek kata, sesiapa yang menduduki kerusi menteri besar Selangor adalah calon yang paling sesuai untuk menggantikan Anwar sebagai calon PM di PRU14 kerana beliau disokong ketiga-tiga parti.

Dan orangnya sekarang ialah Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jika Khalid berjaya menjadi Timbalan Presiden PKR pada bulan Mei ini, beliau akan mengukuhkan kedudukannya di PR dan sebagai pengganti kepada Anwar di PRU14.

Namun begitu, kini Khalid dilanda sedikit masalah persepsi dalam ketidaktelusan MoU air yang ditandatanganinya dengan Putrajaya dan kes penyelesaian hutang AS$18 juta antara beliau dengan Bank Islam.

Khalid adalah seorang ahli perniagaan yang sukakan situasi menang-menang dalam segala keputusan yang dibuatnya. Ini boleh dilihat dalam MoU air yang ditandatanganinya baru-baru ini.

Secara zahirnya, terdapat tiga parti dalam MoU air iaitu rakyat Selangor, kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan – dan mengikut sikap Khalid, beliau akan memastikan ketiga-tiga parti ini "menang" daripada MoU air yang ditandatangani.

MoU air ini akan mengelakkan rakyat Selangor membayar kenaikan tarif air mengikut apa yang ditentukan antara Syabas dan kerajaan Selangor yang diterajui BN sebelum jatuh di tangan PR di 2008.

Pengstrukturan semula industri air akan memulangkan hak menentukan tarif air ke tangan kerajaan dan rakyat Selangor sebagai pemegang saham air (janji PR di PRU13) dan bukan lagi di tangan Syabas, dan itulah kemenangan terbesar bagi rakyat Selangor.

Dari sudut kerajaan negeri pula, sekiranya pengstrukturan semula industri air ini dapat dilakukan dengan berjaya, kerajaan negeri akan mendapat pulangan rizab daripada bisnes air. Duit yang digunakan untuk membayar Syabas untuk pemberian 20m3 air percuma juga boleh dijimatkan.

Di bawah pentadbiran negeri yang efisien, Khalid yakin dapat mengurangkan peratusan air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) kepada tahap yang memuaskan daripada tahap 33% sekarang ini, dan ini boleh menyelesaikan masalah air di Selangor secara jangka panjang tanpa kenaikan kadar air.

Bagi kerajaan persekutuan pula, lampu hijau kepada pembinaan Langat 2 amat penting kerana duit sudah banyak dihabiskan untuk membina majoriti prasarana (terowong) dan fasiliti sudah hampir siap untuk Langat 2.

Ketiadaan Langat 2 yang membolehkan ia menjual air terawat akan menyebabkan jalan untuk memulangkan modal yang digunakan untuk membina terowong terbantut. Ia bagaikan lebuhraya yang siapa dibina, tapi tanpa pondok tol untuk mengutip hasil.

Namun begitu, pulangan modal tidak akan secepat dulu kerana air terawat daripada Langat 2 bakal dijual dengan harga yang ditentukan kerajaan Selangor dan bukannya tarif melampau yang ditentukan Syabas selepas pengstrukturan semula industri air ini selesai dilaksanakan.

Namun begitu, oleh kerana "tidak cukup maklumat" yang didedahkan mengenai MoU air, kini timbul spekulasi – apakah ada pihak keempat dan kelima yang untung daripada urusniaga ini selain rakyat Selangor, kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan?

Persoalan pertama, bank bertuah manakah yang bakal dilantik untuk menguruskan segala urusan kewangan berkenaan dengan MoU air, termasuk pinjaman yang dianggarkan berbilion ringgit?

Apakah ia ada kaitan penyelesaian hutang Khalid dengan Bank Islam dan MoU air?

Adalah amat penting untuk Khalid menyelesaikan dua perkara ini dengan telus. Hari ini ialah 10 Mac, tarikh penting untuk menentukan samada urusniaga MoU air ini akan berjaya kerana ia adalah tarikh akhir untuk keempat-empat syarikat konsesi air untuk menerima tawaran kerajaan Selangor untuk mengambilalih mereka pada harga RM9.65 bilion.

Jika segalanya berjaya, Khalid akan terus dijunjung sebagai MB Selangor dan bakal mendapat sokongan lonjakan untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dan seterusnya menjadi calon PM Pakatan Rakyat yang diterima semua, sesuatu tidak dapat dicapai Anwar semasa di PRU13.

Ada yang terus melihat pada Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai calon pengganti kepada Anwar.

Penulis tidak menolak kemungkinan itu, tapi berpendapat Abdul Hadi, akan menerima nasib seperti Anwar di PRU13, di mana kemungkinan beliau juga tidak akan mendapat sokongan penuh daripada ketiga-tiga parti untuk mengambil kedudukan tersebut walaupun pada waktu ini, segalanya hanyalah bertaraf spekulasi. – 10 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Mencari ‘dalang’ di Taman Permata

Posted: 09 Mar 2014 05:00 PM PDT

March 10, 2014

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Penduduk Taman Permata, Dengkil menerima berita gembira selepas sambutan Deepavali pada tahun lalu; iaitu bahawa kerajaan negeri Selangor sudah memperuntukkan tanah seluas 30 ekar untuk membina rumah bagi sekitar 400 keluarga terbabit.

Namun begitu, sehingga kini, tarik tali masih berlaku antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Perkembangan ini membuatkan penduduk Pangsapuri Taman Permata – khususnya penghuni Blok 5 yang tinggal di dalam khemah sejak 11 Jun 2013 – semakin hilang sabar.

Apakah segala kesulitan berlaku akibat masalah yang sengaja ditimbulkan oleh kerajaan pusat (Barisan Nasional) dan kerajaan negeri (Pakatan Rakyat); atau ada "dalang" yang bermain wayang?

Wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berkunjung ke Taman Permata pada 3 Ogos 2013, 2 November 2013 dan terkini pada 1 Mac 2014 untuk melihat sendiri keadaan di sini. Hasil tinjauan dan perbualan dengan para penduduk, kami memahami mengapa mereka marah dan kecewa terhadap kerajaan pusat.

"Sebaik mendapat pengesahan tentang tanah seluas 30 ekar yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri, Jawatankuasa Persatuan Bertindak Penduduk Taman Permata mengirim surat kepada kerajaan pusat.

Manoharan bercakap mewakili penduduk Taman Permata.Manoharan bercakap mewakili penduduk Taman Permata."Apabila tiada sebarang balasan, kami mengirim surat kedua dan menyatakan bahawa para penduduk bersedia menaiki bas beramai-ramai dan berhimpun secara aman di Putrajaya pada Disember 2013 demi menuntut hak," kata Manoharan (gambar) selaku bendahari jawatankuasa itu.

Bagaimanapun, katanya, sehari sebelum mereka turun beramai-ramai ke Putrajaya, surat diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ini merupakan surat rasmi pertama yang diterima penduduk terbabit daripada kerajaan pusat sejak mereka tinggal di dalam khemah bermula 11 Jun 2013.

"Dalam surat itu, kerajaan pusat memberikan jaminan bahawa jika kerajaan negeri sedia memperuntukkan tanah, maka kerajaan pusat bersedia membina rumah bagi penduduk terjejas," kata lelaki berumur 49 tahun itu yang masih tidak mampu berasa gembira memandangkan janji kerajaan pusat ternyata masih tinggal janji.

Saya turut bertanya mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan menerusi Twitter pada 20 Februari 2014.

Dalam kenyataan itu, Abdul Rahman mengesahkan bahawa apabila Waythamoorthy meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan isu melibatkan penduduk kaum India di Taman Permata, maka "PM segera memberikan RM35 juta kepada kementerian saya untuk menyelesaikannya".

Menerusi satu lagi mesej Twitter pada hari yang sama, menteri itu mengesahkan bahawa "kami akan membina 400 unit rumah baru untuk mereka (penduduk) atas tanah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor".

KESEMUA BLOK DISAHKAN TIDAK SELAMAT DIHUNI

Manoharan mengakui bahawa pihaknya hanya mendapat tahu mengenai perkara itu selepas kandungan mesej Twitter dimaklumkan kepada mereka oleh orang luar yang datang berkunjung ke sana.

"Sehingga hari ini, kami tidak menerima sebarang surat rasmi daripada kementerian bagi mengesahkan perkara berkenaan. Apa yang pasti, kerajaan negeri sudah pun memperuntukkan tanah bagi membolehkan kerajaan pusat menunaikan janji membina rumah teres bagi 400 keluarga ini," katanya dengan nada kecewa semasa diwawancara.

Pada 17 Mac 2014, para penduduk bercadang pergi beramai-ramai ke pejabat Menteri Besar Selangor di Shah Alam untuk menyerahkan memorandum dan meminta tanah yang diperuntukkan itu diserahkan segera kepada kerajaan pusat.

Laporan Ikram mengesahkan blok 5 tidak selamat dihuni.Laporan Ikram mengesahkan blok 5 tidak selamat dihuni.Sejumlah 400 keluarga dari empat buah estet iaitu Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgeley dipindahkan ke lima blok pangsapuri di Taman Permata demi memberikan laluan untuk pembinaan Putrajaya yang menjadi Pusat Pentadbiran Persekutuan dan dilancarkan pada 29 Ogos 1995.

Sejak hari pertama, mereka sudah meluahkan bantahan dan rasa tidak puas hati. Hal ini kerana para penduduk dijanjikan rumah teres oleh pemimpin MIC. Sebaliknya, apabila tiba di Taman Permata, barulah mereka tahu bahawa mereka dipindahkan ke rumah pangsa empat tingkat.

Apa yang ditakuti menjadi kenyataan pada malam 11 Jun 2013 bilamana berlaku gegaran dan bangunan Blok 5 mula retak. Sejak hari itu, sekitar 40 keluarga yang terjejas memilih untuk tinggal di dalam khemah sementara yang disumbangkan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

"Semalam pun (28 Februari 2014) keretakan berlaku di Blok 5. Malah, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sudah memberikan laporan rasmi bahawa kesemua lima blok bangunan pangsapuri ini tidak selamat dihuni. Laporan itu menyatakan bahawa besi dan bahan binaan yang digunakan tidak berkualiti.

"Walaupun kerosakan, keretakan dan runtuhan paling nyata pada Blok 5, blok-blok lain juga berdepan masalah sama. Sebab itulah kami sebagai penduduk yang berasal dari empat estet yang berlainan dan kini tinggal di lima blok pangsapuri bergabung tenaga dan bersatu menuntut hak kami daripada kerajaan," kata Manoharan sambil dipersetujui oleh sekumpulan penduduk yang ditemui.

Khemah yang menjadi tempat perlindungan bagi penduduk terbabit secara terang-terangan tidak menjanjikan sebarang keselesaan. Sejak kunjungan pertama pada Ogos 2013, saya dapati tidak banyak perubahan dibuat terhadap khemah ini.

Penduduk yang mencari suaka di dalam khemah ini berdepan masalah panas, hujan, ribut, debu, serangan nyamuk dan sebagainya pada sepanjang siang dan malam. Namun, setiap penduduk yang ditemui menegaskan bahawa mereka bersedia mengharungi segala keperitan itu demi memperjuangkan hak.

'Khemah perjuangan' yang beroperasi sejak 11 Jun 2013.'Khemah perjuangan' yang beroperasi sejak 11 Jun 2013.Manoharan turut menceritakan bahawa beberapa pegawai polis telah datang beberapa hari lalu untuk bertanya mengapa mereka masih bertegas dan berkeras untuk tinggal di dalam khemah yang serba kekurangan ini sedangkan rumah teres yang dijanjikan kerajaan pusat bakal menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

CAMPUR TANGAN POLITIK DEMI KEPENTINGAN PERIBADI

"Kami menjelaskan bahawa perjuangan kami belum berakhir. Hanya apabila projek pembinaan rumah teres yang dijanjikan itu bermula, barulah kami bersedia keluar dari khemah ini. Sehingga tibanya hari itu, kami akan tetap menjadi penghuni khemah.

"Sikap polis terbabit juga wajar dipuji kerana mereka menasihatkan kami segera menghubungi mereka jika ada mana-mana pihak yang datang dan cuba menimbulkan sebarang masalah atau kekecohan," kata lelaki itu yang kelihatan lebih lesu berbanding pertemuan pertama kami pada 3 Ogos 2013.

Hasil tinjauan saya bersama-sama wakil Kavyan iaitu Shahrul Nizam Abd Hamid, Perzeus James dan Kartigesan Satharsivam pada 1 Mac 2014 mendapati bahawa sesungguhnya keadaan di kelima-lima blok pangsapuri terbabit semakin bertambah buruk.

Walaupun kerajaan negeri telah menutup lubang besar di bawah Blok 5 dengan simen, keretakan masih berlaku di bangunan tersebut. Menurut Manoharan, risiko yang dihadapi para penduduk adalah amat nyata tetapi sikap "gunting dalam lipatan" dan "duri dalam daging" menjadi masalah utama.

"Terdapat 400 keluarga yang tinggal di sini. Sejumlah 380 keluarga – termasuk 22 keluarga Melayu – memberikan sokongan penuh terhadap perjuangan yang sedang dilakukan demi menuntut hak rumah teres yang dijanjikan kerajaan pusat.

"Malangnya, ada 20 keluarga yang cuba sedaya-upaya menghancurkan impian kami dan menghalang perjuangan kami demi kepentingan politik masing-masing," lelaki berumur 49 tahun itu akhirnya mendedahkan.

Hasil tinjauan rambang mendapati bahawa penduduk kelima-lima blok terbabit merupakan penyokong MIC, Umno, IPF, PKR dan sebagainya. Namun begitu, apa yang unik dan menarik adalah bahawa mereka sangguh bersatu demi kejayaan bersama.

Malangnya, seperti diceritakan oleh hampir setiap penduduk yang ditemui, "dalang" yang sentiasa berusaha menggagalkan perjuangan dan impian penduduk Taman Permata adalah ketua-ketua MIC yang juga merupakan pemilik unit pangsapuri di sini.

Semasa wakil Kavyan berkunjung ke "khemah perjuangan" ini pada 2 November 2013 sempena Deepavali, penduduk yang diwawancara secara terang-terangan meminta supaya MIC tidak masuk campur dan merosakkan masa depan para penduduk terbabit.

Nampaknya MIC masih terus menjadi punca utama menderitaan kumpulan minoriti ini. Selepas menindas serta menipu penduduk asal Putrajaya ini supaya berpindah lebih 15 tahun dahulu, MIC seolah-olah belum berpuas hati.

Soalnya sekarang, siapakah yang sebenarnya menafikan hak penduduk Taman Permata: kerajaan pusat, kerajaan negeri atau MIC? Tepuklah dada, tanyalah selera. – 10 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved