Ahad, 13 April 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Johor wujud hab generasi muda

Posted: 13 Apr 2014 03:16 AM PDT

April 13, 2014

Kerajaan negeri Johor akan mewujudkan Hab Antarabangsa Generasi Muda Johor bagi membolehkan generasi muda membabitkan diri dalam pembentukan serta kemajuan masa depan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata hab bernilai kira-kira RM20 juta itu akan dibangunkan di kawasan seluas lebih 14 hektar di Tampoi, di Johor Baharu.

"Projek Hab Generasi Muda yang masih dalam perancangan lagi akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (Irda) bersama-sama kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan serta beberapa pihak lain," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan premis perkhidmatan dan barangan kreatif JOHO di Jalan Inderaputra di sini hari ini.

Kepada soalan pemberita, beliau berkata hab itu mempunyai persamaan dengan Youth Park di Singapura yang mempunyai pelbagai tarikan kepada golongan muda.

Ketua Eksekutif Irda Datuk Ismail Ibrahim berkata hab pertama seumpamanya di negara ini dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

Antara pengisian di hab yang akan mengekalkan keadaan semulajadi di kawasan itu adalah berdasarkan konsep kreatif, niaga, kesukanan, kajian dan pembangunan serta kepimpinan, katanya.

"Sebagai contohnya, di bawah konsep kesukanan, kita akan mempunyai sukan lasak.

"Usaha Iskandar Malaysia itu adalah untuk membangunkan golongan muda kerana dalam tempoh 15 tahun lagi apabila Iskandar Malaysia mencapai kematangan, golongan itu akan mengambil alih kepimpinan pembangunan di Iskandar Malaysia," kata Ismail.

Golongan muda yang ingin menyertai hab itu boleh mendaftar secara dalam talian di https://www.facebook.com/johoryouthhub – Bernama, 13 April, 2014.

Spad minta bas ekspres sentiasa utamakan keselamatan penumpang

Posted: 13 Apr 2014 03:08 AM PDT

April 13, 2014

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) akan menjalankan siasatan terperinci ke atas syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub, Pahang yang meragut tiga nyawa kelmarin.

Menurut kenyataan Spad hari ini, antara aspek yang akan diteliti ialah pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan syarikat bas berkenaan.

"Spad tidak akan berkompromi dan pasti mengambil tindakan tegas terhadap pengendali (bas terbabit) sekiranya mereka melanggar syarat yang termaktub termasuk dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," kata badan itu.

Bas ekspres Transnasional dua tingkat yang membawa 68 orang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu, Kelantan itu dilaporkan terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik.

Nahas pukul 12.30 malam hari Sabtu itu mengorbankan pasangan suami isteri Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, warga Somalia, 31; dan Zarifah Alias, 26, dari Kota Baharu; serta Suhaisam Che Abdullah, 33, dari Batang Kali, Selangor. 

"Spad ingin menegaskan kepada semua pengendali bas ekspres agar sentiasa memberi penekanan serius dalam aspek pengurusan pemandu dan penyelenggaraan bagi memastikan perkhidmatan mengangkut penumpang sentiasa selamat," kata kenyataan itu. – Bernama, 13 April, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved