Isnin, 21 April 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kami akan tentang hudud kerana tidak pernah dipersetujui Pakatan, kata Guan Eng

Posted: 21 Apr 2014 03:23 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
April 21, 2014

Lim Guang Eng menegaskan manifesto pilihan raya 2008 dan 2013 Pakatan Rakyat tidak memuatkan pelaksanaan hudud ataupun penubuhan negara Islam, malah ia turut dipersetujui semua parti komponen PAS, PKR dan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 April, 2014.Lim Guang Eng menegaskan manifesto pilihan raya 2008 dan 2013 Pakatan Rakyat tidak memuatkan pelaksanaan hudud ataupun penubuhan negara Islam, malah ia turut dipersetujui semua parti komponen PAS, PKR dan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 April, 2014.DAP tidak bersetuju dengan rancangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana ia tidak pernah dipersetujui ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat (PR), kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Lim, ketiga-tiga parti komponen dalam PR jelas tidak pernah membincangkan soal hudud mahupun negara Islam, sebaliknya semua parti bersetuju dalam soal dasar bersama seperti membanteras rasuah, memastikan urus tadbir yang baik, mewujudkan kedaulatan undang-undang dan keadilan, memastikan kemakmuran ekonomi dikongsi secara saksama dengan rakyat dan tidak hanya dinikmati oleh kroni.

"Pendirian PR tidak berubah kerana pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud tidak berubah. Di bawah PR, mesti ada konsensus ketiga-tiga parti dalam hal dasar.

"Memandangkan DAP tidak menyokong pelaksanaan hudud, isu sokongan PR terhadap hudud tidak berbangkit," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur

Menurut ketua menteri Pulau Pinang itu, manifesto pilihan raya 2008 dan 2013 PR juga tidak memuatkan pelaksanaan hudud ataupun penubuhan negara Islam, malah ia turut dipersetujui semua parti komponen PAS, PKR dan DAP.

"Semua parti komponen boleh mematuhi objektif masing-masing dalam rangka demokrasi, namun keutamaan dan fokus harus diberikan kepada dasar bersama PR," katanya.

Lim berkata, pendirian PR turut dipertegaskan semula oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila berkata, "model dan pelaksanaan hudud yang bakal diguna pakai oleh kerajaan negeri Kelantan perlu difahami terlebih dahulu sebelum PR mengambil keputusan bersama untuk mempersetujuinya."

Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menyatakan kesediaannya melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud selewat-lewatnya pada 2015 dan akan membentangkan undang-undang berkenaan di Parlimen.

Meskipun menerima bantahan keras daripada pemimpin bukan beragama Islam dari DAP dan Barisan Nasional (BN), Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan negeri Kelantan sudah melalui proses demokratik sepenuhnya sebelum memutuskan untuk membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat mengenai undang-undang jenayah Syariah termasuk hudud.

Beliau berkata, sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan undang-undang berkenaan, ia melalui proses yang betul dan mengikut amalan demokrasi.

Tan Sri Annuar Musa turut menyatakan kesediaan membantu mendapatkan sokongan terhadap pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan akan melobi ahli Parlimen Umno untuk menyokong pembentangan rang udang-undang persendirian kerajaan Kelantan di Parlimen.

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata, sebahagian besar daripada 88 pemimpin Umno di Parlimen akan menyokong pembentangan tersebut di Parlimen.

Isu hudud berlarutan sejak sekian lama, sebelum penubuhan PR apabila PAS Kelantan pada 1993 meluluskan enakmen berkenaan undang-undang Syariah.

Sejak itu, isu berkenaan turut menjadi perdebatan hangat dalam kalangan ahli Parlimen dari BN dan PR, serta dijadikan senjata politik dalam Pilihan Raya Umum 2013 lalu. – 21 April, 2014.

Enam ahli KWSP didenda atas kesalahan menipu pengeluaran perumahan

Posted: 21 Apr 2014 02:54 AM PDT

April 21, 2014

KWSP mempunyai sistem yang komprehensif untuk mengesan dan mengenal pasti ahli yang melakukan penipuan pengeluaran walaupun simpanan berjaya dikeluarkan. - Gambar fail The Malaysian Insider, 21 April, 2014.KWSP mempunyai sistem yang komprehensif untuk mengesan dan mengenal pasti ahli yang melakukan penipuan pengeluaran walaupun simpanan berjaya dikeluarkan. - Gambar fail The Malaysian Insider, 21 April, 2014.Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tabung simpanan persaraan utama Malaysia, berkata enam ahlinya disabitkan kesalahan oleh mahkamah bagi tempoh suku pertama tahun ini kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran perumahan.

Ia berkata enam ahli berkenaan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan didenda berjumlah RM13,000 oleh mahkamah.

Denda yang dikenakan ialah di antara RM500 dan RM3,000 dan mereka menghadapi hukuman penjara sehingga empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata dalam tempoh yang sama, sejumlah empat saman mahkamah telah difailkan terhadap ahli kerana penipuan pengeluaran.

Penipuan pengeluaran yang melibatkan perbuatan mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan kelulusan bagi pengeluaran dari akaun KWSP mereka merupakan kesalahan di bawah Akta KWSP 1991.

Di bawah Akta ini, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan pengeluaran boleh dikenakan hukuman maksimum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

"Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan ahli, KWSP tidak akan bertolak ansur terhadap ahli yang mengemukakan tuntutan palsu atau penipuan ke atas simpanan KWSP mereka. KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang tidak jujur," kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar.

Kata KWSP ahli yang memulangkan wang yang dikeluarkan secara tidak sah dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan.

Nik Affendi berkata ahli-ahli ini akan dipantau dengan teliti, dan mereka yang gagal memulangkan amaun yang dikeluarkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya. 

Beliau menegaskan bahawa KWSP mempunyai sistem yang komprehensif untuk mengesan dan mengenal pasti ahli yang melakukan penipuan pengeluaran walaupun simpanan berjaya dikeluarkan.

Beliau juga mengingatkan ahli, terutama yang mengalami masalah kewangan agar berhati-hati akan sindiket yang mengiklankan perkhidmatan dalam beberapa laman web yang menawarkan bantuan kepada ahli untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka. Nik Affendi mengingatkan bahawa KWSP tidak pernah melantik pihak ketiga untuk mengendalikan permohonan pengeluaran ahli.

Ahli-ahli digesa memberikan sokongan terhadap usaha KWSP dalam membanteras penipuan pengeluaran atau percubaan melakukan penipuan pengeluaran dengan menghubungi talian hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat. – Bernama, 21 April, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved