Khamis, 3 April 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Malaysia kerjasama dengan Filipina bagi kesan mangsa penculikan, kata Najib

Posted: 03 Apr 2014 03:21 AM PDT

April 03, 2014

Malaysia telah menghubungi pihak berkuasa Filipina dalam usaha membantu mengesan seorang pelancong wanita China dan seorang pekerja resort warga Filipina yang diculik oleh sekumpulan lelaki di Semporna, Sabah, malam tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) menyifatkan kejadian penculikan itu sebagai serius dan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan yang relevan supaya melihat kes itu dengan serta-merta.

"Keutamaan kami adalah bagi memastikan keselamatan tebusan," kata Najib kepada wartawan Malaysia sejurus selepas sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berhubung misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek hari ini berkata pelancong dan pekerja wanita resort itu diculik oleh sekumpulan lelaki di sebuah resort di Pulau Singgahmata, bersebelahan Pulau Pom-Pom di Semporna, Sabah, pada kira-kira 10.30 malam, tadi.

Najib tidak menolak kebarangkalian bahawa sesetengah pihak mahu mencemarkan hubungan antara Malaysia dan China berikutan penculikan tersebut adalah bertepatan dengan kehilangan pesawat MH370.

Perdana Menteri berkata semua usaha untuk mengesan mangsa penculikan itu akan berterusan dan mengenal pasti mereka yang terbabit dalam kejadian itu mungkin mengambil sedikit masa.

Sebanyak 153 daripada 227 penumpang pesawat Boeing 777-200ER itu yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas terdiri daripada rakyat China.

Najib tiba di Perth semalam untuk rangka lawatan kerja dua hari ke Australia bagi meninjau lebih dekat misi pencarian MH370 yang sedang dilakukan di bandar raya barat Australia ini. – Bernama, 3 April, 2014.

Kes saman Mustapa terhadap Husam dan empat lain dibicara 26 Mei depan

Posted: 03 Apr 2014 03:12 AM PDT

April 03, 2014

Mahkamah Tinggi menetapkan empat hari bermula 26 Mei depan untuk perbicaraan kes saman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) terhadap Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa serta empat lagi.

Saman itu adalah berhubung kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan Husam terhadap Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkaitan saham Felda Global Ventures Holdings Berhad.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu dalam kamar yang dihadiri peguam Jeffrey John bagi pihak Mustapa dan peguam Azhana Mohd Khairuddin mewakili kesemua defendan.

Jeffrey memaklumkan pemberita bahawa mahkamah juga menetapkan 7 April ini sebagai pengurusan kes.

Pada 22 April tahun lepas, Mustapa memfailkan saman terhadap Husam, yang ketika itu Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Setiausaha Agung PAS dan pemegang permit akhbar Harakah Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang serta Pengarang http://harakahdaily.net masa itu, Zulkifli Sulong dan Azmi Yusof sebagai defendan.

Penyataan tuntutan Mustapa mendakwa Husam, pada 23 Mac 2013, dalam ceramah politiknya di Tapak Expo Machang, Kelantan, mengeluarkan perkataan fitnah terhadap beliau berhubung saham Felda.

Mustapa, yang juga Ahli Parlimen Jeli, mendakwa sehari selepas itu, PAS dan defendan lain menerbitkan perkataan fitnah itu dalam harakahdaily.net. Yang boleh diakses berjuta-juta pengguna laman sesawang berkenaan.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu, antara lain, membawa maksud beliau adalah seorang pemimpin dan ahli politik yang korup, tidak berkredibiliti serta menyalahgunakan kuasanya bagi kepentingan peribadi dan pemimpin Umno.

Akibat kenyataan fitnah itu, Mustapa mendakwa reputasi beliau secara peribadi dan profesional terjejas teruk selain dimalukan.

Oleh itu, beliau memohon ganti rugi untuk libel, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan fitnah berkenaan. – Bernama, 3 April, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved