Jumaat, 4 April 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


PKR perlukan pemimpin, bukan primadona

Posted: 04 Apr 2014 03:24 AM PDT

OLEH JAMILAH KAMARUDIN
April 04, 2014

Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlukan pemimpin profesional apabila bekerja dalam satu pasukan, bukannya bersikap seperti primadona terutama menjelang musim pemilihan parti bermula 25 April hingga 11 Mei depan.

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata, walaupun perselisihan faham antara ahli dianggap perkara biasa dalam mana-mana parti atau organisasi tetapi perkara itu perlu dielakkan.

Beliau bimbang pemimpin akan hilang fokus dengan agenda utama parti iaitu untuk menjadikan negara ke arah yang lebih baik dan menjamin keadilan rakyat.

Sekaligus menyebabkan rakyat sendiri hilang kepercayaan terhadap pemimpin yang dipilih.

"Kita perlukan individu yang boleh bekerja dalam pasukan dan bukannya primadonna.

"Mereka tidak boleh mendakwa bekerja untuk orang ramai jika tidak boleh bekerjasama dengan parti sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini sempena ulang tahun PKR ke-15.

Tegasnya, pemilihan tahun ini adalah peluang terbaik untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PKR boleh menjadi satu pasukan yang bersepadu, berdisiplin dan inklusif.

Katanya, kepemimpin PKR perlu berada di tahap lebih tinggi kerana sama ada suka atau tidak, rakyat merupakan tuan dan semua ahli politik perlu menerimanya atau ambil risiko untuk diundi keluar.

"Rakyat berhak mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada para pemimpinnya," katanya

Pemilihan PKR 2014 dijangka menyaksikan beberapa pertembungan bagi merebut kerusi panas, antaranya Timbalan Presiden PKR dan AMK selain jawatan presiden antara penyandang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan suaminya yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kredibiliti PKR teruji apabila berlakunya pertelingkahan hebat pada pemilihan 2010 peringkat cabang hingga ke pusat  apabila berlakunya beberapa kekecohan  semasa proses pengundian termasuk insiden baling kerusi.

Keadaan itu menyebabkan Jawatankuasa Pemilihan PKR terpaksa membatalkan proses undian di beberapa cabang yang terlibat dalam insiden kekecohan.

Memburukkan keadaan, krisis antara bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali merebut kerusi berkenaan juga menyebabkan Zaid mengambil keputusan berundur dan terus keluar parti atas alasan meluat dengan sikap pemimpin atasan.

Beliau kemudiannya menubuhkan parti baru iaitu Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang bersifat bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana blok pembangkang atau kerajaan, namun hanya sempat bertahan kira-kira dua bulan sahaja.

Sementara itu, Nik Nazmi yang juga Timbalan Speaker Selangor turut mengharapkan PKR bekerja keras mengukuhkan pengaruhnya di Sabah dan Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar yang didominasi Barisan Nasional (BN).

Selain sistem demokrasi yang disalahgunakan, beliau berkata  PKR dan parti pembangkang lain juga perlu bijak menghadapi cabaran isu kaum dan agama yang sering dimanipulasi tanpa henti.

"Masih terdapat banyak cabaran dan kita akan tersilap sekiranya mengandaikan bahawa kita boleh menggoyangkan kaki begitu sahaja," katanya. – 4 April, 2014.

Khairy ambil maklumat dari pasar borong, dakwa Exco Sukan Selangor

Posted: 04 Apr 2014 02:25 AM PDT

April 04, 2014

Exco Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Khairi (gambar) hari ini menyelar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berhubung kenyataannya tentang stadium hoki di Selangor dan menyifatkan menteri itu mengambil makumat daripada pasar borong.

Ini berikutan tindakan Khairy yang menegur kerajaan Selangor sebagai tidak prihatin terhadap masalah pembaiki stadium hoki di dalam Selangor semasa sidang akhbar beliau baru-baru ini.

"Saya ingin mengingatkan kepada YB Khairy supaya tidak mengambil maklumat daripada 'sembang gebang kedai kopi' ataupun daripada 'hiruk pikuk pasar borong' dan kemudian terus menyalahkan kerajaan negeri Selangor kerana tidak melakukan usaha memulihkan keadaan stadium hoki yang ada di negeri Selangor terutamanya Stadium Hoki Pandamaran, Klang dan Stadium Hoki MBPJ, Petaling Jaya," kata Dr Yunus dalam kenyataannya.

Dr Yunus berkata, kerajaan negeri Selangor amat mengambil serius terhadap pembaikan kedua-dua buah stadium hoki yang dinyatakan.

Kini, kata beliau, ia berada di peringkat akhir semakan kertas kerja yang akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Selepas mendapat kelulusan tersebut barulah proses membaiki kedua-dua buah stadium tersebut akan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan kerajaan Selangor, katanya.

"Saya juga ingin menyatakan pihak kerajaan Selangor tidak akan berkompromi terhadap perkara yang membabitkan aspek keselamatan terhadap pengunjung stadium terutamanya apabila ia membabitkan salah sebuah mercu tanda negeri Selangor iaitu Stadium Shah Alam yang mempunyai memori tersendiri kepada Selangor," katanya.

Kata Dr Yunus, Stadium Shah Alam berusia 20 tahun dan sewajarnya dilakukan sedikit pembaikpulihan sejajar dengan taraf stadium tersebut yang kerap digunakan untuk pertandingan bolasepak peringkat antarabangsa.

Tetapi itu tidak bermakna stadium-stadium untuk acara sukan lain dianaktirikan dari sudut pembaikpulihan tempat latihan mereka, tambahnya.

Beliau juga turut meminta supaya pihak menteri tidak terlalu prejudis disebabkan masalah perbezaan ideologi politik dan cuba mengambil langkah murahan dengan mempolitikkan isu masalah stadium hoki ini sedangkan ia berlaku sejak zaman Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor.

"Oleh itu, janganlah hanya pandai menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang terpaksa mewarisi kelemahan dan kecuaian pentadbiran BN sebelum ini," katanya.

"Saya ingin memaklumkan kepada YB Khairy bahawa saya mengutus surat untuk bertemu dan berbincang dengan beliau berkenaan pelbagai isu dan program yang berkaitan dengan pembangunan Belia dan Sukan sama ada peringkat negeri Selangor ataupun negara seusai beliau dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru, tetapi malangnya sehingga ke hari ini saya masih lagi belum mendapat sebarang jawapan balas daripada pihak beliau," kata Dr Yunus.

Beliau mengharapkan Khairy mempunyai keterbukaan untuk bertemu dengan beliau ataupun boleh menghubungi beliau secara terus sekiranya memerlukan maklumat yang sahih terhadap perkembangan sukan dan prasarana sukan di Selangor. – 4 April, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved