Isnin, 7 April 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kereta api berkelajuan tinggi hubungkan Malaysia-Singapura siap 2020, kata Najib

Posted: 07 Apr 2014 02:57 AM PDT

April 07, 2014

Perdana Menteri Malaysia dan Singapura hari ini menegaskan bahawa kereta api berkelajuan tinggi yang dicadang menghubungkan republik itu dan Kuala Lumpur, akan siap mengikut jadual pada 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) berkata kedua-dua kerajaan menyedari hakikat bahawa projek berkenaan merupakan rancangan yang besar dan kedua-dua kerajaan bekerja keras ke arah menepati tarikh akhir itu.

Beliau berkata projek yang dicadangkan itu akan meningkatkan sambungan merentas sempadan antara kedua-dua negara.

"Saya rasa terlalu awal untuk kita menyemak semula garis masa pada peringkat ini. Kita mahu ia menjadi sasaran, supaya kita akan menjadi sangat fokus dan kedua-dua kerajaan akan tertumpu ke arah tarikh sasaran 2020, " katanya.

Najib berkata fasa pertama kajian kejuruteraan bersama bagi membangunkan penjajaran yang mungkin bagi projek itu dan cadangan bagi Sistem Transit Rel (RTS) yang menghubungkan Singapura dan Johor Baru telah siap.

"Nanti akan tiba masa untuk kita membuat keputusan mengenai pilihan terbaik. Kita mempunyai 27 pilihan kemungkinan untuk menjadikan RTS sebagai sistem pengangkutan yang paling cekap dan berkesan yang akan memberi manfaat kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata Malaysia akan membuat keputusan tidak lama lagi mengenai lokasi RTS di Johor Baru.

Najib dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong, menghadiri mesyuarat delegasi tertutup sebelum sidang akhbar berkenaan.

Lee berkata para pegawai kedua-dua negara terpaksa bekerja keras dan sangat fokus untuk memastikan projek kereta api berkelajuan tinggi ini dilaksanakan.

"2020 adalah sasaran yang baik. Adalah suatu yang mencabar untuk mencapainya tetapi saya tidak fikir kita perlu melonggarkannya lagi," kata beliau.

Lee berada di Malaysia sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelima. Beliau tiba semalam, diiringi isterinya Ho Ching, dan pegawai-pegawai kanan Singapura.

Najib berkata destinasi akhir kereta api berkelajuan tinggi di Malaysia ialah di Bandar Malaysia, di mana terletaknya pangkalan Tentera Udara sekarang ini.

Bagi Singapura, Lee berkata terdapat tiga kemungkinan bagi destinasi akhir sambungan rel di Singapura iaitu di Tuas West, Jurong East dan bandar raya.

"Saya memaklumkan beberapa pertimbangan dan kemungkinan kepada Perdana Menteri Malaysia. Ini yang kami sedang usahakan dan kami akan membuat keputusan tahun ini atau berikutnya," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura, kedua-dua perdana menteri menggesa kumpulan kerja kereta api berkelajuan tinggi itu supaya bekerja bersungguh-sungguh ke arah memenuhi mandatnya pada 2020.

Pemukiman kelima itu, yang diadakan di sini, adalah platform untuk kedua-dua pemimpin berbincang kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Mesyuarat terakhir berlangsung di Singapura pada Februari tahun lepas, yang menyaksikan mereka bersetuju pada sambungan kereta api berkelajuan tinggi di antara republik dan Kuala Lumpur, yang akan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara dengan ketara kepada hanya 90 minit. – Bernama, 7 April, 2014.

Azmin cakap Inggeris di Parlimen bantah GST depan delegasi Australia

Posted: 07 Apr 2014 02:43 AM PDT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
April 07, 2014

Dewan Rakyat hari ini gamat apabila ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat berhujah dalam bahasa Inggeris membincangkan Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Situasi itu bermula apabila Timbalan Yang DiPertua, Datuk Ronald Kiandee mengalu-alukan kehadiran ahli Parlimen Australia di Dewan Rakyat hari ini yang kemudiannya menyaksikan Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali (gambar) berhujah menggunakan bahasa Inggeris.

"Saya mengalu-alukan kehadiran delegasi Australia hari ini menyaksikan debat GST yang diperkenalkan kerajaaan BN yang hanya mendapat undi popular 47%," kata Azmin dalam bahasa Inggeris yang mengundang kekecohan Parlimen hari ini.

Keadaan itu kemudiannya digamatkan lagi dengan Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Jamaludin Jarjis yang mengucapkan terima kasih kepada Australia kerana membantu dalam kerja mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Beliau kemudiannya menggesa Azmin untuk tidak mengamalkan politik murahan dengan cuba menarik perhatian ahli Parlimen Australia tersebut.

"Jangan mainkan politik murahan," katanya kepada Azmin.

Menyaksikan keadaan itu, Yang DiPertua menggesa agar situasi tegang itu dihentikan: "Tak perlu cakap orang putih.

Keadaan demikian menyebabkan beberapa ahli Parlimen BN bangun menjerit-jerit sehingga dewan menjadi gamat menyebabkan delegasi Australia itu segera meninggalkan Dewan Rakyat. – 7 April, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved