Jumaat, 26 Ogos 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Selangor tubuh Unit Selamat Akidah tangani isu murtad

Posted: 26 Aug 2011 04:22 AM PDT

Hasan menggesa penganut-penganut Islam yang menerima bantuan daripada gereja agar menghubungi pejabat exco beliau. — Foto fail

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengumumkan penubuhan Unit Selamat Akidah yang akan bertindak sebagai platform menerima aduan dan permohonan bantuan daripada umat Islam di negeri itu.

Hasan, Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, penubuhan unit itu diwujudkan berikutan masalah umat Islam terutamanya berhubung "dengan persoalan kristianisasi yang kini telah menarik perhatian umum."

"Orang-orang Islam yang dihimpit oleh kesusahan dan kesempitan hidup didapati terdedah kepada risiko meggadaikan akidah mereka demi menyambung kehidupan yang lebih baik bersama ahli keluarga.

"Pejabat ini memandang berat segala bentuk pandangan negatif terhadap apa yang sedia dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan negeri, badan-badan dan pertubuhan sukarela yang dianggap tidak banyak membantu menyelesaikan masalah golongan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, unit akan menjadi pusat khidmat menerima aduan dan permohonan untuk mendapatkan apa jua bentuk bantuan bagi mengurangkan tekanan kehidupan yang mereka alami.

Penubuhan Unit Selamat Akidah itu dibuat ekoran isu kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Ekoran daripada pertikaian yang berlaku kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim telah membentuk Jawatankuasa Pendengaran untuk mendapatkan penjelasa daripada Jais dan gereja.

Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

Tindakan Jais itu mendapat bantahan banyak pihak namun dipertahankan Hasan yang menegaskan terdapat usaha untuk memurtadkan umat Islam dalam program itu.

Menurut Hasan, Unit Selamat Akidah akan bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor dan badan sukarela yang prihatin untuk membantu umat Islam.

"Lembaga Zakat Selangor akan menamakan kakitangan yang dikhususkan untuk memproses permohonan yang diterima dan sekiranya permohonan-permohonan tersebut menepati syarat dan peraturan yang dikenakan maka bantuan segera yang sewajarnya akan dikeluarkan kepada mereka," katanya.

Ekoran penubuhan unit itu, beliau meminta mana-mana umat Islam yang mahu mendapatkan bantuan agar memberikan maklumat kepada Unit Selamat Akidah.

"Diharapkan orang-orang Islam yang selama ini menerima atau bercadang mendapatkan bantuan daripada gereja atau pertubuhan-pertubuhan Kristian dapat tampil ke pejabat exco untuk diambil butir-butir diri yang diperlukan yang kemudiannya akan diproses agar bantuan yang diperlukan dapat disalurkan dengan segera," katanya.

Kata beliau, sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Unit Selamat Akidah di talian 03-5544 7104/7105 atau Wildanul Syukri 012-952 5247, Al-Hafiz Abdul Wahab 013-295 0149 dan Nadzril Beedin 012-334 4543.

PKR: Politik kotor Umno punca Melayu pecah, bukan kerana Anwar atau Pakatan

Posted: 26 Aug 2011 03:32 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengenai perpecahan Melayu membuktikan ia berlaku disebabkan "politik kotor" Umno, bukannya disebabkan faktor-faktor lain.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata, pendedahan Harussani juga membuktikan perpecahan Melayu bukan berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

"Beliau (Harussani) juga menyatakan bahawa demi menjaga perpaduan Melayu, pernah menasihati (Tun) Dr Mahathir Mohamad agar tidak memecat timbalanya ketika itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim serta membuat tuduhan liwat tanpa membawa empat orang saksi.

"Dengan kenyataan di atas, jelaslah bahawa apa yang ditanggapi sebagai perpecahan Melayu-Islam pada masa kini adalah berpunca dari permainan politik kotor para pemimpin Umno sendiri bermula dari Dr Mahathir," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, pendedahan yang dibuat Harussani itu juga membuktikan tuduhan liwat terhadap Anwar pada 1998 adalah fitnah dan konspirasi Dr Mahathir.

"Kenyataan Mufti Perak tersebut juga mengesahkan pendirian kita selama ini bahawa tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah dan fitnah semata-mata untuk menjatuhkan beliau sebagai pemimpin politik harapan orang Melayu-Islam.

"Adalah jelas bahawa pemecatan Anwar bukan kerana faktor moral tetapi konspirasi jahat Dr Mahathir dan para pengikutnya," katanya.

Harussani dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti di Shah Alam kelmarin berkata, beliau pernah cuba untuk bertemu dengan Dr Mahathir agar tidak memecat dan juga tidak mengenakan tuduhan liwat ke atas Anwar.

Beliau berkata pemecatan Anwar akan mengakibatkan perpecahan orang Melayu kerana Anwar mempunyai pengaruh yang besar.

Kata Muhammad, ekoran pendedahan Harussani itu rakyat perlu sedar dan menolak fitnah yang dilemparkan ke atas Anwar.

"Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu.

"Kita menyeru pemimpin Umno supaya melakukan muhasabah diri dan menghentikan kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim demi perpaduan seluruh masyarakat Malaysia. Kita berkeyakinan penuh bahawa selagi kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas," katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada September 1998.

Kemudian beliau berhadapan dengan kes salah guna kuasa dan liwat.

Anwar, Ketua Umum PKR, menghadapi tuduhan liwat kali pertama pada 1998 yang dikaitkan dengan beberapa individu yang rapat dengannya seperti Azizan Abu Bakar dan Sukma Darmawan.

Anwar kini berdepan dengan satu lagi tuduhan liwat yang melibatkan pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan - kes masih dalam perbicaraan.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved