Sabtu, 10 September 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


KDN: Permohonan ambil pekerja asing masih dibenar

Posted: 10 Sep 2011 02:32 AM PDT

PUTRAJAYA, 10 Sept – Majikan masih dibenarkan menghantar permohonan untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini untuk berkhidmat dalam pelbagai sektor melainkan sektor pembantu rumah, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam.

Bagaimanapun permohonan yang dikemukakan itu hanya akan diproses selepas fasa kedua program 6P iaitu proses pemutihan berakhir.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tarikh sebenar pelaksanaan proses pemutihan hanya akan ditentukan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Okt depan.

Dipetik Bernama Online selepas memberi taklimat pada Seminar Syarikat Pengurus Bagi Program Menyeluruh Menangani Pati (Program 6P) di sini hari ini, Mahmood berkata taklimat yang diadakan untuk 336 syarikat pengurus hari ini adalah penting supaya mereka lebih memahami bagaimana untuk melaksanakan proses pemutihan Pati, selain berpeluang mengemukakan pandangan untuk tujuan penambahbaikan berhubung peranan mereka semasa proses ini.

"Inilah bahagian paling sukar (dalam 6P). Bagaimana pemutihan nak dibuat, bagaimana daripada 'legal' nak jadi 'legalise'. Ada langkah demi langkah bagaimana peranan majikan, bagaimana peranan syarikat pengurus, sektor mana dan inilah yang akan kita bincangkan," kata beliau.

Terdahulu semasa taklimat kepada syarikat pengurus, Mahmood berkata semasa proses pemutihan berlangsung, syarikat pengurus diminta mengemukakan dokumen permohonan yang lengkap daripada majikan beserta Pati yang didaftar di bawah syarikat pengurus yang sama, mendaftar wakil syarikat, menyemak tarikh temuduga majikan dan menguruskan pembayaran levi.

Syarikat juga diingatkan supaya tidak mengenakan caj tambahan melebihi RM300 seperti yang ditetapkan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan, katanya.

MB: Selangor catat pelaburan tertinggi enam bulan pertama tahun ini

Posted: 10 Sep 2011 02:27 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Selangor terus mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya merekodkan pelaburan tertinggi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini – sebanyak RM5.2 bilion, demikian menurut Menteri Besar Tan Sri Khlaid Ibrahim hari ini.

Dalam tempoh ini, Selangor menerima pelaburan asing sebanyak RM3.1 bilion dan pelaburan tempatan sebanyak RM2.1 bilion.

"Sebanyak 135 projek telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini dan membuka 9,847 peluang pekerjaan.

"Jumlah projek ini yang diluluskan ini jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Daripada 135 projek itu, tambah beliau, sebanyak 89 adalah pelaburan baru manakala 46 adalah mengembangkan pelaburan sedia ada.

Mengulas perkembangan positif ini, Menteri Besar juga berkata jumlah itu menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi pelabur asing dan tempatan terhadap kerajaan negeri.

"Kerajaan Selangor  bekerja keras untuk menyakinkan pelabur dan kita amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan ini.

"Selangor mencatatkan pelaburan tempatan dan asing yang seimbang dengan mencatatkan 135 projek berbanding negeri-negeri lain yang merekodkan antara dua hingga 93 projek sahaja," kata Menteri Besar lagi.

Mengikut pecahan sektor, industri pembuatan elekronik mencatatkan pelaburan tertinggi dengan RM1.3 bilion daripada 18 projek yang diluluskan membabitkan RM110 juta pelaburan tempatan dan RM1,149 bilion pelaburan asing.

Jepun menjadi pelabur terbesar di Selangor dengan 13 projek membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM1.136 bilion, diikuti Korea Selatan sebanyak RM652 juta (tiga projek) dan Singapura dengan RM510 juta (lapan projek).

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved