Ahad, 2 Oktober 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


MEF: Tak wajar MTUC piket esok, beri NLAC peluang

Posted: 02 Oct 2011 03:03 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata tidak wajar Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan piket di Parlimen esok berhubung kontroversi pindaan Akta Kerja 1955.

Badan induk majikan itu berpendapat bahawa oleh kerana Kementerian Sumber Manusia telah pun memutuskan untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) esok, maka MTUC sepatutnya memberi peluang untuk mendengar pendirian kerajaan.

"MEF berpandangan bahawa tindakan MTUC untuk mengadakan piket, saya rasa adalah kurang wajar," kata Shamsuddin Bardan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider difahamkan NLAC, yang dihidupkan semula kira-kira dua minggu yang lalu, akan mengadakan mesyuarat tergempar esok.

Ia akan dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.

"Oleh kerana Kementerian Sumber Manusia sudah memanggil mesyuarat NLAC, kita berbincang dahulu. Selepas itu, jika MTUC merasakan tidak berpuas hati, mereka boleh meneruskan tindakan mereka," kata beliau yang turut mengakui bahawa pindaan Akta Kerja 1955 yang hendak dibawa oleh kerajaan tidak mengambil kira beberapa cadangan yang dibawa MEF sendiri.

"Ada juga perkara yang kami tidak bersetuju dan ada perkara baru yang kami syorkan, tetapi tidak dimasukkan. Tetapi kami menerima," kata beliau.

MEF menyokong peruntukan berkaitan kontraktor bagi tenaga kerja yang menjadi isu pokok MTUC menentang Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010.

Shamsuddin berkata beliau menentang peruntukan liputan perlindungan gangguan seksual kepada semua kategori pekerja sedangkan Akta Kerja hanya meliputi mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah dan syor supaya diwujudkan peruntukan 'time bank' bagi mengelakkan pekerja-pekerja diberhenti kerja ketika kegawatan ekonomi, yang diamalkan di negara-negara Eropah, telah ditolak oleh kerajaan.

"Kami tidak gembira, tetapi kami telah memberi pandangan kami," katanya yang ditanya apakah MEF tidak memprotes sebagaimana pendirian MTUC.

Justeru beliau mengakui "ada pindaan yang hendak dibawa (oleh kerajaan) tidak menepati kehendak (matlamat) Akta Kerja... tidak sesuai dengan situasi moden sekarang, ada peruntukan yang sudah lapuk."

MTUC telah membuat pendirian untuk mengadakan piket pada mesyuarat majlis am Ahad lalu. Pendirian itu ditegaskan dan dimuktamadkan semula semalam susulan satu forum empat jam.

Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata, pihaknya akan menghimpunkan 1,000 ahlinya untuk mengadakan protes mengenai Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010, yang akan dibawa untuk bacaan kali kedua pada sesi Parlimen yang akan bermula esok.

"Mereka mahu membentangkan rang undang-undang ini meskipun tidak dibincangkan di NLAC," kata beliau semalam.

"Mereka tidak pernah membentangkan pindaan ini di NLAC. Sekarang mereka cuba nak bentang di Parlimen. Ini tidak adil. Kami tidak tahu apa-apa, apa yang berlaku," katanya.

NLAC, badan perundingan tiga pihak, dianggotai wakil majikan, pekerja dan kerajaan.

Hudud: Muhyiddin mahu DAP, PKR perjelas pendirian

Posted: 02 Oct 2011 02:33 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Okt – DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menyatakan pendirian jelas berhubung pelaksanaan hukum hudud memandangkan PAS sudah bertekad untuk meneruskan undang-undang itu di Kelantan dan seterusnya di negara ini, jika pembangkang mengambil alih pentadbiran kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan pembangkang itu perlu segera menzahirkan pendirian sebenar mereka, dan tidak mengelirukan rakyat dan meletakkan mereka dalam keadaan tidak menentu.

"Yang penting sekarang bukan soal pendirian Barisan Nasional (BN) tetapi pendirian parti lain dalam PKR itu sendiri. Sebelum ini mereka telah menyatakan tidak setuju pelaksanaan hukum hudud, tetapi PAS masih bertekad untuk teruskan.

"Ini memberi kesan kepada rakyat yang perlu fikir dan membuat pilihan pada PRU nanti," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada seminar bersama pemimpin penjawat awam Malaysia-Singapura 2011 di sini hari ini.

Menurut laporan Bernama Online, Muhyiddin menggesa Anwar, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk 'bersuara' dengan jelas dan tidak lagi berdolak-dalik dalam isu itu.

"Setakat ini yang konsisten hanya Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat).

"Biar Anwar, Karpal dan Hadi cakap dengan jelas apa pendirian mereka, kerana bukan sahaja orang Islam, tetapi orang bukan Islam juga mahu tahu apa pendirian pakatan pembangkang dalam soal ini," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, "eloklah pihak media tanya mereka apa pendirian rasmi pakatan pembangkang, biar mereka jelaskan perkara sebenar atau kalau tak boleh sangat, buatlah kenyataan media dan bacakan sahaja."

Mengulas cadangan pembentangan bajet alternatif pakatan pembangkang minggu depan, Muhyiddin berkata, beliau yakin ia akan membentangkan "bulan dan bintang" seperti yang dijanjikan ketika mahu menubuhkan kerajaan alternatif.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved