Jumaat, 9 Disember 2011

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Demokrasi di udara

Posted: 08 Dec 2011 04:33 PM PST

9 DIS — Tanggal 8 Disember 2001? Apa signifikan tanggal ini? Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, ia mungkin tidak memberi makna apa-apa walaupun secara langsung atau tidak langsung sebahagian dari mereka sesungguhnya tidak terlepas dari tempias sebuah revolusi.

Ketika politik global masih di dalam kemelut pasca 911 dan politik domestik masih memanas ekoran keluarnya DAP di dalam koalisi Barisan Alternatif, Tune Air Sdn Bhd membuat kejutan dengan membeli 99.25 peratus ekuiti Hicom Holdings di dalam AirAsia seterusnya menguasai dan memberi nafas baru kepada dunia aviasi di Malaysia dan serantau yang masih terkesan hebat akibat peristiwa 911.

Tanggal 8 Disember 2001 merupakan kelahiran baru sebuah syarikat bernama AirAsia yang menawarkan penerbangan kos rendah kepada seluruh warga dengan slogan "Now Everyone Can Fly". Kehadiran AirAsia pada mulanya disambut skeptikal para warga yang masih curiga dan mengandaikan slogan-slogan AirAsia hanyalah retorik seperti mana retorik yang kerap dimainkan parti politik di televisyen mahupun di pentas ceramah.

Sepuluh tahun ke hadapan, AirAsia semakin membesar luar biasa dengan penambahan bilangan pesawat dan pembukaan jalur penerbangan ke pelbagai destinasi menarik. Subsidiari AirAsia juga dibentuk di beberapa negara mulai dari Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan yang mutakhir, Jepun. Tidak seperti parti politik, AirAsia di kebanyakan masa mampu menerjemahkan slogan mereka di dalam bentuk aksi dan seterusnya mengukuhkan nama mereka sebagai juara demokrasi di udara.

Sempena ulang tahun ke 10 AirAsia, saya ingin menceritakan dua hal positif yang dimunculkan dengan kehadiran AirAsia yang memberi impak besar kepada kehidupan saya sebagai seorang individu dan juga di sebuah komuniti seni bernama Kolektif Frinjan yang saya usahakan bersama-sama teman lain. Sebelumnya saya harus mengakui banyak kritikan dilemparkan terhadap AirAsia di mana ada yang berasas dan ada yang tidak dan saya memilih untuk tidak berbicara soal itu di sini.

Hal yang pertama adalah perhubungan dua hala dan kadangkala pelbagai hala yang berjaya dibentuk di antara individu atau kelompok dari Malaysia dengan individu atau kelompok yang sama dari negara-negara yang dikunjungi pesawat AirAsia terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Jika dahulu untuk menjalin hubungan dan kerjasama serantau, hal ini sepenuhnya didominasi institusi rasmi beratasnama sebuah kerajaan kerana keupayaan kewangan yang dimiliki mereka. Nah! berkat demokratisasi harga yang dipelopori AirAsia, semakin hari semakin banyak individu atau kelompok menjalin hubungan yang lebih asli bentuknya tanpa perlu menghabiskan dana rakyat yang pada kebiasaannya segala titik hitam di antara dua negara akan ditutup demi penerusan kestabilan kekuasaan kedua-dua negara.

Maka tidak menghairankan di kala permusuhan hebat terjadi di pelbagai arena di antara Malaysia dan Indonesia kebelakangan ini, hal serupa tidak terjadi di tingkat individu dan kelompok yang sudah terjalin ikatan dan saling memahami positif dan negatifnya tingkah kedua-dua negara. Peranan duta negara pasca-AirAsia tidak sepenuhnya dimiliki kerajaan kerana individu dan kelompok dari bermacam bidang baik muzik, sastera, filem, masyarakat sivil dan bermacam lagi telah berjaya meruntuhkan tembok "rasmi" yang sinonim dengan kekuasaan. Solidariti individu atau kelompok berbeza negara ini mengkedepankan persamaan dari segi perjuangan mereka baik sosial mahupun politik berbanding soal ganyang dan memperlekeh satu dengan yang lain yang selamanya menjadi hobi penguasa untuk mempermain emosi rakyat yang kebingungan.

Sebagai contoh, baru-baru ini saya bersama teman-teman dari Kolektif Frinjan mengadakan kunjungan ke Indonesia dan seperti yang dijangka kami disambut dengan penuh persaudaraan ke mana saja kami semua bersua muka.

Hal yang kedua pula sangat menyangkut kepada pemikiran iaitu bagaimana cara berfikir dan melihat dunia yang berjaya didinamikkan dengan kehadiran AirAsia. Jika dahulu untuk kita rakyat Malaysia memahami rakyat dan negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, India, China dan lain-lain, sumber utama kita hanyalah media-media arus perdana yang kredebilitinya sangat diragukan terutama Utusan Malaysia. Maka menjadi kelaziman untuk kita terlalu memandang rendah atau terlalu memandang tinggi akibat terlalu mempercayai apa yang dilapor dan paling hodoh lagi adalah kesukaan berfikir di dalam kotak baik mereka itu orang tua mahupun orang muda.

Bayangkan ramai rakyat Malaysia yang pertama kali ke Jakarta merasa terkejut dengan banyaknya pusat membeli belah di sana kerana pada bayangan mereka Jakarta itu seperti yang sering dilapor koresponden Utusan Malaysia di sana. Bayangkan juga ramai rakyat Malaysia berbangsa Melayu yang automatik Islam di sisi perlembagaan merasa terkejut bahawa di Filipina majoriti rakyatnya berbangsa Melayu tetapi beragama Kristian. Mereka merasa hairan bagaimana muka yang sangat khas Melayunya berbondong-bondong ke gereja tanpa rasa segan silu kerana mereka memahami selama ini Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Untuk pengetahuan, di Filipina 91.5 peratus penduduknya adalah Melayu Kristian dan 4 peratus Melayu Islam.

Dua hal ini saja menurut saya telah merubah perlahan demi perlahan pemikiran rakyat Malaysia khasnya dan rantau Asia Tenggara serta belahan dunia lain amnya ke suatu keadaan kosmopolitan yang menurut kisah pernah terjadi di rantau ini ratusan tahun yang lampau. Tolak ke tepi kos-kos yang harus dibayar untuk pemeriksaan masuk di kaunter, kerusi lebih ruang, kelewatan penerbangan dan tiket mahal bagi pembelian akhir-akhir minit kerana pada akhirnya AirAsia telah membawa banyak perubahan yang tidak kita nampak secara mata kasar kerana pemikiran tidak boleh diukur dengan hasil perbelanjaan barangan di Kuta, Pasar Baru dan Platinum Mall.

Ada elit yang berkata AirAsia telah merendahkan kualiti manusia yang menaiki pesawat di mana yang berbaju kot duduk sebaris dengan mereka yang memakai baju bundle. Nah! Itulah dia sebenarnya AirAsia! Pejuang demokrasi di udara!

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Full content generated by Get Full RSS.

Kebebasan bersuara, Internet dan fitnah

Posted: 08 Dec 2011 04:23 PM PST

9 DIS — Kebebasan bersuara adalah diantara isu penting dan seringkali menjadi perdebatan di Malaysia.

Ini kerana walaupun perlembagaan persekutuan menjamin hak ini bagi setiap warganegara, terdapat pelbagai undang-undang dan akta yang menyekat rakyat daripada menikmatinya.

Perlembagaan persekutuan Malaysia dalam Perkara 10 (1) (a) dengan jelas menyatakan bahawa setiap warganegara berhak untuk bersuara dan menyatakan pandangan secara terbuka.

Akan tetapi, terdapat undang-undang dan akta secara langsung menafikan hak yang telah dijamin oleh perlembagaan persekutuan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akta Media dan Mesin Cetak.

Malaysia mempunyai sejarah yang unik dalam isu kebebasan bersuara. Jika kita bandingkan kebebasan bersuara semenjak dari merdeka sehingga hari ini, kita akan dapati grafnya semakin lama semakin menurun.

Dari masa ke semasa pemerintah mengekang kebebasan bersuara. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk terus mengekalkan kuasa. Kongkongan demi kongkongan terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia walaupun negara sudah 54 tahun merdeka.

Tidak hairanlah mengapa Malaysia masih lagi belum pernah menukar parti pemerintah semenjak pilihanraya pertama dijalankan di negara ini.

Di negara-negara maju seperti United Kingdom, bertukar pemerintahan adalah perkara biasa dan tidak pula berlaku huru-hara. Malahan ianya menyebabkan negara tersebut terus maju oleh kerana parti-parti politik yang ada sentiasa berusaha keras untuk memastikan program mereka dapat diterima oleh rakyat.

Revolusi Internet

Kehadiran Internet merubah keadaan semasa. Jika pada satu masa dahulu, rakyat Malaysia hanya menerima maklumat dari sebelah pihak kerana terdapat kongkongan yang ketat terhadap media.

Internet telah memecahkan dominasi maklumat yang selama ini dikawal oleh pemerintah. Internet turut menjadi ancaman kepada negara-negara kuku besi.

Dominasi maklumat oleh pemerintahan kuku besi seperti di negara-negara Timur Tengah dapat dipecahkan.

Revolusi Mesir adalah contoh bagaimana Internet menjadi senjata untuk melawan regim kuku besi Hosni Mubarrak.

Facebook, Twitter dan blog menggantikan senjata-senjata tradisional seperti AK-47 dan "Molotov cocktail" bagi memenangkan revolusi di Dataran Tahrir.

Di Malaysia, kita dapat menyaksikan bagaimana Internet telah merubah lanskap politik negara.

Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa disingkirkan lebih awal daripada pemerintahannya oleh kerana serangan dari Internet terutamanya blog.

Dalam pilihanraya umum (PRU) ke 12, kebanyakkan kawasan-kawasan bandar yang mempunyai akses kepada Internet dimenangi oleh parti pembangkang.

Di Wilayah Persekutuan kita dapat menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya mampu mempertahankan kerusi parlimen Setiawangsa dan Putrajaya.

Selebihnya disapu bersih oleh Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum PRU 12, hanya ahli politik PR dan penyokong meraka menggunakan Internet secara agresif, dalam bahasa mudahnya, pada ketika itu majoriti blog-blog dikuasai oleh pihak yang menentang kerajaan.

Pasca PRU 12 telah merubah dunia Internet di Malaysia. Hari ini, kebanyakkan ahli-ahli politik BN juga telah mempunyai blog, Facebook dan Twitter masing-masing. Kini terdapat banyak juga blog-blog dari golongan menyokong pemerintah.

Ini adalah satu perkembangan yang baik. Ertinya, perdebatan di ruang Internet di Malaysia tidak lagi didominasi oleh satu pihak.

Rakyat Malaysia terutamanya golongan muda dapat menilai maklumat-maklumat yang mereka perolehi dengan seimbang.

Tidak lama lagi, media-media tradisional yang berat sebelah seperti Utusan Malaysia akan ditinggalkan oleh kerana tidak mengikut perkembangan zaman. Akhbar sebegini masih boleh terus hidup hari ini kerana masih terdapat golongan tua yang membaca.

Jika tidak melakukan perubahan drastik dalam corak penulisan berita, tidak mustahil akhbar seperti Utusan Malaysia akan pupus bersama-sama golongan tua di Malaysia.

Fitnah dan tohmahan menjadi budaya

Dalam keghairahan berjuang di alam siber, terdapat juga segelintir kecil yang menyalahgunakan Internet. Internet dijadikan medan untuk menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan pihak-pihak tertentu.

Terdapat juga blog-blog yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah untuk memaki hamun pihak lawan mereka. Fitnah direka untuk mensensasikan penulisan mereka.

Lebih aneh lagi, mereka-mereka ini berbangga dengan penulisan yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah. Jika dikaji penulis-penulis sebegini kebiasaannya tidak berani mendedahkan identiti mereka.

Mereka berlindung disebalik nama-nama samaran yang pelik-pelik dan kadangkala lucu juga. Untuk membela tuan-tuan politik mereka, fitnah dan tohmah digunakan untuk mematahkan hujah lawan.

Yang lebih pelik lagi apabila aktiviti sebegini dihalalkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang tidak sedar satu hari nanti mereka juga bakal menjadi mangsa kepada penulis-penulis sebegini.

Kita seharusnya mengambil iktibar tentang apa yang berlaku kepada bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan.

Jika dizaman beliau menjadi KPN tindakan diambil keatas laporan-laporan polis yang dibuat terhadap penulis-penulis lucah dan fitnah tanpa memilih bulu, sudah tentu fitnah seperti yang berlaku kepada beliau baru-baru ini tidak terjadi.

Baru-baru ini, bekas KPN difitnah di Internet — menggunakan gambar "super impose" yang mengatakan kononnya beliau berkahwin dengan seorang artis.

Penulis-penulis fitnah dan lucah terus berleluasa. Aktiviti sebegini mungkin sudah tidak dapat dihentikan oleh kerana ianya telah menjadi budaya sesetengah pihak.

Akan tetapi, sepandai-pandai tupai melompat, pasti akan jatuh ke tanah jua. Kita tidak akan dapat bersembunyi selama-lamanya. Nama samaran yang digunakan tidak dapat melindungi diri selama-lamanya.

Kekuasaan tidak akan memayungi diri selama-lamanya.

Percayalah, langit tidak selalunya cerah.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved