Isnin, 2 Januari 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Safwan akan ambil tindakan mahkamah insiden di UPSI

Posted: 01 Jan 2012 11:36 PM PST

KUALA LUMPUR, 2 Jan — Mohd Safwan Anang, mahasiswa yang mendakwa dibelasah teruk oleh anggota polis ketika insiden demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa atas kecederaan yang dialaminya.

Peguam kepada Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) ini, Mohd Khairuddin Othman mendakwa pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak berkuasa berkenaan dalam masa terdekat.

"Safwan mendakwa dia dipukul menggunakan lutut oleh anggota polis terbabit sehingga pecah bibir, sakit dada, dan keadaannya sekarang stabil dan dia sudah sedarkan diri.

"Sehubungan itu, keluarganya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak polis dalam masa terdekat, dan antara defendan adalah Ketua Polis Negara, Ketua Polis Perak, dan anggota polis yang terlibat dalam kejadian awal pagi tahun baru itu," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut Khairuddin, keluarga Safwan akan membuat pemeriksaan kesihatan lanjutan berikutan pihaknya kini masih lagi belum memperoleh sebarang laporan kesihatan daripada Hospital Hospital Slim River.

Laporan The Malaysian Insider semalam menyatakan bahawa polis telah menafikan dakwaan mereka memukul beberapa aktivis mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di UPSI dan menegaskan "tiada pergelutan" berlaku apabila tangkapan dibuat.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan sementara itu berkata "tindakan perlu" diambil demi keselamatan awam dan salah seorang mahasiswa "tercedera sendiri".

"Kumpulan mahasiswa tidak mendengar arahan polis supaya bersurai dan kami terpaksa bertindak dengan menangkap mereka.

Menurut Khairuddin lagi, seorang pegawai penyiasat pihak polis hari ini ada berjumpa Safwan dan mengambil keterangannya.

"Keadaan Safwan masih lemah, dan sementara ini kami  akan kumpulkan bukti, apabila Safwan sudah pulih sepenuhnya, kami akan membawa kes ini ke mahkamah," katanya lagi.

Awal pagi tahun baru lalu, sekumpulan 60 mahasiswa telah mengadakan demonstrasi aman di perkarangan pintu masuk UPSI dan mendakwa telah berlaku pergelutan dengan pihak polis.

Ketika insiden tersebut, seramai 17 antara mahasiswa terbabit telah ditahan polis Tanjung Malim, dan kemudiannya dibebaskan.

Sementara itu, PKR dan DAP terus mengkritik tindakan polis terhadap mahasiswa, semasa demonstrasi aman untuk memberikan sokongan kepada aktivis mahasiswa dan menuntut kebebasan akademik di UPSI, Tanjung Malim selepas tengah malam kelmarin.

Parti pembangkang mendakwa polis termasuk dua anggota dari Unit Cawangan Khas menggunakan tindakan kasar terhadap mahasiwa yang didakwa mereka seramai 100 orang berbanding 60 orang yang dikatakan peguam hak asasi Fadiah Najwa Fikri apabila kumpulan itu enggan bersurai.

Ketika kejadian berkenaan,  Safwan  dikatakan dipukul, ditumbuk dan ditendang sehingga tidak sedarkan diri.

Full content generated by Get Full RSS.

Saifuddin: Hati-hati semasa bercakap, bawa bukti kekasaran polis ke depan

Posted: 01 Jan 2012 07:44 PM PST

KUALA LUMPUR, 2 Jan — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menggesa semua pihak termasuk aktivis mahasiswa agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah dalam insiden yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider, Saifuddin berkata terdapat banyak kenyataan yang telah dikeluarkan melalui pelbagai medium kurang tepat.

Kata beliau, sepatutnya mana-mana pihak yang mahu bersuara perlu berhati-hati kerana dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah.

"Saya meneliti pelbagai kenyataan oleh pelbagai pihak di pelbagai medium. Saya dapati terdapat kenyataan atau istilah tertentu yang digunakan adalah tidak tepat dan tidak sesuai.

"Saya seru semua pihak agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana saya bimbang berlaku fitnah daripada insiden ini," kata Saifuddin merujuk insiden tindakan polis terhadap demonstrasi menuntut kebebasan akademik oleh aktivis mahasiswa di UPSI.

Kumpulan mahasiswa yang terlibat mendakwa polis bertindak kasar semasa menghuraikan demonstrasi dengan memukul dan menahan mereka berikutan ingkar dengan arahan bersurai oleh polis.

Namun  polis menafikan bertindak kasar terhadap aktivis mahasiswa itu yang mengadakan demonstrasi aman di UPSI.

Seramai 17 aktivis mahasiswa telah ditahan dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi dan kesemua mereka dibawa ke balai polis Tanjung Malim.

Kesemua mahasiswa yang ditahan telah dibebaskan semalam.

Seorang mahasiswa, Muhammad Safwan Anang,  Presiden Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas)  dikatakan dipukul, ditumbuk dan ditendang sehingga tidak sedarkan diri.

Tambah Saifuddin, sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati boleh membawa bukti dengan menggunakan saluran yang betul termasuk melalui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

"Mahasiswa ada hak bersuara tapi perlu dengan cara sesuai. Polis ada terjawab menjaga keamanan dengan cara tertentu. Saya yakin tiada permusuhan antara kedua-duanya.

"Pihak-pihak yang tak puas hati dalam insiden ini wajar tampil dengan bukti masing-masing. Saluran menyuarakannya ada contohnya melalui Suhakam," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved