Isnin, 2 Januari 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


2012: The Third Force

Posted: 01 Jan 2012 03:54 PM PST

2 JAN — Sejak kecil, apa yang saya faham mengenai "demokrasi" adalah "pemerintahan negara oleh rakyat menerusi wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat".

Begitulah saya dididik oleh guru-guru di SRK Convent Aulong dan SM Darul Ridwan, Taiping. Malah, begitu juga definisi yang saya temui dalam Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (1988) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam pada itu, amalan "demokratik" pula "menjunjung atau menyokong demokrasi atau kepentingan rakyat biasa".

Namun, semua itu hanyalah definisi dalam kamus. Apa yang menjadi amalan secara konvensional nampaknya adalah sebaliknya.

Sering kali, wakil yang dipilih oleh rakyat akan lupa daratan dan menganggap diri mereka lebih berkuasa dan berhak menindas rakyat yang sebenarnya memilih mereka melalui kuasa undi semasa pilihan raya.

Anas Zubedy melihat 'The Third Force' sebagai 'check and balance'.

Pada pendirian saya, kerajaan sepatutnya berterima kasih dan terhutang budi kepada rakyat yang memberikannya peluang mentadbir negara milik rakyat.

Pandangan di atas ada saya paparkan pada ruangan status Facebook pada 19 Oktober 2011 dan mendapat reaksi positif daripada beberapa rakan yang turut prihatin terhadap amalan sebenar demokrasi.

Hasil pemerhatian secara umum pun sudah memadai untuk memberikan gambaran jelas di mana kerajaan (persekutuan dan negeri) bersikap bagaikan "maharaja" yang paling berkuasa.

Rakyat yang memberikan kuasa sebenar itu pula hanya diperlakukan umpama hulubalang, dayang, gundik dan hamba abdi. Si maharaja sahaja yang berkuasa penuh menentukan untung nasib hamba abdi; sementara rakyat diseru supaya terhutang budi kepada maharaja yang memikul tugas memerintah negara.

Perbandingan ini mungkin dilihat sebagai keterlaluan atau simplistik, namun membantu melihat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku di depan mata.

Sekadar contoh mudah, Pilihan Raya Umum Ke-12 berlangsung pada 8 Mac 2008. Maka, mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya pada Mac 2013; kecuali jika Parlimen dibuburkan lebih awal.

Namun, seawal Januari 2010, sudah muncul berita di media arus perdana di mana ahli politik ini dan ahli politik itu meminta jentera pilihan raya parti yang diwakilinya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13!

Caesar berani mengatakan 'Tidak' terhadap penindasan.

Ternyata politikus seperti itu bermimpi bahawa kitaran hidup Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen hanya untuk berkempen, memancing undi, menabur janji kosong, menang dalam pilihan raya, bercakaran seperti anjing dengan kucing, dan kemudian mula berkempen semula bagi pilihan raya umum seterusnya.

"Selepas pemilihan parti selesai, parti kami kini bersiap untuk menjamin kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang." Demikian kata seorang pemimpin sebuah parti politik.

"Saya mahu semua ahli dan pemimpin parti bersiap sedia dan mendekati rakyat bagi memastikan kita menang besar dalam pilihan raya umum akan datang." Demikian seruan seorang lagi pemimpin lebih tinggi dalam sebuah parti politik.

Semua ini berlaku walaupun belum cukup dua tahun politikus terbabit memegang jawatan yang disedekahkan oleh rakyat!

Usah kita lupa (atau dipaksa lupa) pada hakikat bahawa wakil rakyat dipilih

(diundi) untuk berkhidmat kepada dan untuk rakyat; bukan untuk parti politik tempat dia berselindung.

Dewan Rakyat juga bukan tempat untuk mana-mana Badut Paul Lathic menunjukkan aksi sarkas. Sebaliknya tempat untuk bersuara mewakili rakyat. Suara rakyat, bukan suara parti, bukan lawak lucah, dan bukan untuk bersuara atau melompat seperti katak.

Walaupun segala kejadian yang bertentangan dengan "demokrasi" dan amalan "demokratik" terus berlaku di depan mata, ramai yang memilih untuk berdiam diri.

Maka, golongan politikus yang menganggap diri mereka "maharaja" semakin berkuasa manakala rakyat yang menjadi "hamba abdi" semakin kehilangan kuasa yang sepatutnya milik sah mereka.

Sehingga akhirnya, rakyat bagaikan hanya perlu tahu membisu, mendengar, mengangguk dan menurut segala apa yang disuruh oleh politikus pada peringkat pusat dan/atau negeri.

Keadaan ini mengingatkan saya kepada siri filem "Planet of the Apes"; khususnya watak Caesar dalam "Conquest of the Planet of the Apes" (1972) di mana cimpanzi itu mengetuai gerombolan ep yang tertindas dan teraniaya, lalu bangkit menentang manusia yang menindas dan menganiaya.

Filem "Rise of the Planet of the Apes" (2011) turut membawa kita memahami kuasa yang ada pada "No" iaitu apabila golongan yang tertindas berani mengatakan "Tidak" terhadap penindasan dan ketidakadilan.

Hal ini membawa kepada "kuasa rakyat" atau apa yang boleh juga dinamakan "The Third Force". Dahulu, pernah juga disebut sebagai "makkal sakthi" sebelum dikaitkan dengan pertubuhan politik tertentu.

Saya melihat kehadiran The Third Force sepanjang Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) terlibat dalam kontroversi novel "Interlok Edisi Murid" mulai Januari 2011.

Kavyan menerima sokongan, maklumat, maklum balas dan bantuan secara langsung dan tidak langsung daripada segenap lapisan masyarakat yang mahu melihat kontroversi itu diselesaikan secara rasional dan bukan secara emosional.

Selepas Menteri Pelajaran mengumumkan keputusan memurnikan novel itu di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011, The Third Force menjadi pemantau bagi memastikan apa yang dijanjikan itu dilaksanakan.

Saya tidak bercakap tentang penglibatan mana-mana parti politik atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebenarnya bermotifkan politik.

Juga bukan mengenai mana-mana persatuan dan pertubuhan yang berlindung di bawah bayangan parti politik perkauman dan politikus yang mengapi-apikan semangat rasisme.

Sebaliknya saya merujuk kepada "kuasa rakyat" yang bersikap apolitikal dan bebas dalam menangani kontroversi "Interlok Edisi Murid" secara profesional, rasional dan sistematik.

Kuasa rakyat atau The Third Force juga saya perhatikan sepanjang terlibat dalam isu "empat penulis teraniaya" yang dinafikan hak royalti walaupun karya mereka dijadikan teks Komsas di sekolah.

Kuasa rakyat sebagai 'pemantau' dilihat dalam isu 'Interlok Edisi Murid'.

Sekali lagi, pelbagai lapisan masyarakat tampil menyalurkan serta berkongsi maklumat dalam usaha memperjuangkan hak penulis terbabit.

Sokongan belakang tabir turut diterima dari Putrajaya, kementerian tertentu dan lingkaran dalaman industri penerbitan kerana mereka tidak mahu "rakyat" menjadi mangsa.

Walaupun masih pada skala kecil dan sederhana, saya percaya The Third Force akan semakin berkembang dan semakin tampak pada tahun 2012.

Konsep The Third Force bukan sesuatu yang baru. Anas Zubedy menerusi iklan semuka di akhbar theSun (19 Disember 2011) antara lain menggelarnya sebagai "Malaysia's check and balance".

Tentu sahaja konsep ini tiada hubungan dengan organisasi separa tentera di Ireland atau gabungan beberapa parti politik yang bertanding dalam pilihan raya di Myanmar pada 2010.

Namun, walapun rakyat mahu bersikap apolitikal, realiti di negara ini adalah bahawa segala apa yang berlaku, pasti ada hubung kait dengan (kepentingan) parti politik dan politikus.

Maka, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, The Third Force akan menentukan "masa depan" calon yang bertanding. Bersikap apolitikal tidak bermakna kelompok ini akan membiarkan negara diperlakukan sesuka hati dan diperkuda mana-mana politikus yang rakus.

Sebagai kelompok yang penuh dengan kesedaran politik dan tahu perkembangan antarabangsa, serta tetap bersikap apolitikal dan bebas, The Third Force bakal memastikan negara tidak "jatuh" ke tangan "maharaja" yang hanya mementingkan diri dan kroni.

Dalam novel "Atlas Shrugged" (1957) timbul pertanyaan berulang "Who is John Galt?" manakala di negara kita, saya percaya, ramai yang akan segera tampil menyatakan "I am The Third Force" — sekurang-kurangnya pada ruangan status di Facebook.

Dalam masa terdekat, murid dan pelajar juga akan kembali mengaji dan memahami bahawa "demokrasi" adalah sesungguhnya "pemerintahan Negara oleh rakyat menerusi wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat".

Full content generated by Get Full RSS.

Dari rock ke indie

Posted: 01 Jan 2012 03:41 PM PST

2 JAN — Ahad lepas, 26 Disember saya berkesempatan ke Konsert Loudspeaker Y2K11 di Stadium Merdeka anjuran Red Garage Sdn Bhd, syarikat yang cukup sinonim dengan industri permotoran berkuasa tinggi, penerbitan dan juga pengurusan acara. Konsert ini menampilkan dua ikon rock generasi lama Wings dan XPDC bersama-sama dua ikon rock generasi baru, Faizal Tahir bersama The Royal FT Force dan Azlan & The Typewriter.

Minggu sebelumnya pula saya terlepas hadir ke Konsert Fenomena Search di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), di Seri Kembangan.

Konsert di Stadium Merdeka hanya mampu menarik seramai 3,000 jiwa manakala di Seri Kembangan dikhabarkan sekitar 10,000 jiwa memenuhi lokasi.

Rock, Rock Kapak dan Indie

Tiga aliran muzik ini secara tidak disedari telah mengiringi perjalanan hidup saya selama tiga dekad. Lagu pertama yang benar-benar memasuki jiwa adalah "Suratan Takdir" oleh Gersang pada tahun 1987 dan masih kemas di ingatan bagaimana saya menyanyikan lagu ini setiap kali pergi dan pulang dari Tabika Kemas di Pasir Gudang pada waktu itu. Eksplorasi muzik pasca-Suratan Takdir menemukan saya dengan bermacam-macam lagu dari berbagai kumpulan-kumpulan muzik lainnya.

Sebut sahaja Bumiputra Rockers, Massa, Medicine, Ukays, Lefthanded, XPDC, Slam, Iklim, AXL'S, Arrow, Mega, Black Rose, May, Ekamatra, Rio, Budak Kacamata, Fotograf dan ratusan yang lain.

Setiap kali ke Indonesia saya pasti akan mendengarkan lagu-lagu dari kumpulan seperti yang disebut terutama Iklim, Slam dan Ukays yang kemudiannya dilabel sebagai "rock kapak" oleh entah siapa dan secara tidak rasminya menjadi kata gelar yang sah. Lokasi-lokasi popular pendengaran di sana persis seperti di Malaysia iaitu di kota-kota kecil, warung-warung kopi, pusat karaoke dan pastinya di dalam teksi yang dipandu golongan lama. Malah boleh dianggap sahih bahawa muzik rock kapak atau lebih dikenali kebelakangan ini di Indonesia sebagai aliran muzik "Metal" alias "Melayu Total" adalah identiti muzik Malaysia pra-Siti Nurhaliza.

Apa itu rock kapak? Buddhi Hekayat, seorang penulis merangkap ahli politik menulis: "Sembilan puluh sembilan peratus kapak-kapak ini akan mengetengahkan isu kegagalan bercinta. Terfokus dan obses di saat-saat genting ditinggalkan kekaseh — cinta tak sampai — walau apa pun sebabnya. Detik itulah yang dilebih-lebihkan dari mula menyanyi sampai ke hujung-hujungnya." Tulisan penuh beliau tentang rock kapak boleh dibaca di laman sesawang Jalan Telawi dengan judul "Rock Kapak Tangkap Leleh".

Saya secara peribadi sangat bersetuju dengan Buddhi Hekayat di dalam tulisannya bahawa rock kapak tidak boleh disamakan dengan muzik rock yang dibawa oleh Search dan Wings, apatah lagi XPDC yang terkenal berat sebagai kumpulan metal walaupun mempunyai beberapa lagu tangkap leleh yang lebih berjiwa menurut saya.

Menghampiri tahun 2000 dan setelahnya, muzik Malaysia yang sebelumnya didominasi muzik rock dan rock kapak kehilangan sengatnya dan waktu kosong inilah muzik pop segar Indonesia bermaharajalela di tanahair bermula dengan Sheila On 7 dan seterusnya yang menerbitkan rasa suka dan tidak suka di kalangan penggiat industri dan pendengar.

Sebagai pendengar, saya memegang konsep muzik terkini yang menarik, berkualiti dan sedap didengar wajib dikonsumsi hatta Justin Bieber sekalipun dan muzik yang tidak terkini tetap wajib diapresiasi sewajarnya. Oleh sebab itu, ketika lambakan muzik aliran arus perdana Indonesia melanda tanahair saya tidak terkecuali dari merayakannya sehingga sering kali menghadiri konsert-konsert yang menampilkan Peterpan, Dewa, Sheila On 7, Ratu dan banyak lagi baik di tanahair atau seberang.

Menurut saya, muzik Indonesia yang memasuki negara ini mudah dicerna oleh pendengar di sini yang secara umumnya juga merupakan pendengar tegar rock dan rock kapak, lebih-lebih lagi para pedagang burger yang dulu, kini dan selamanya setia mempromosikan secara percuma rock kapak kepada para pelanggan pelbagai generasi mereka. Saya merasakan sepertinya ada persefahaman di antara syarikat rakaman dan pedagang burger untuk memutarkan lagu-lagu rock kapak selama hayat masih ada.

Beberapa tahun ke hadapan, muzik Malaysia sedikit demi sedikit dijajah kumpulan muzik independen yang semakin naik daun dengan genre muzik indie pop dan genre-genre lainnya yang kemudian menimbulkan kekeliruan di kalangan mereka yang terbiasa dengan muzik aliran perdana tentang istilah independen.

Bermula dengan kemenangan kumpulan Estranged di Anugerah Juara Lagu (AJL) 2007 dan tahun seterusnya Meet Uncle Hussein, kumpulan-kumpulan muzik independen mula diterima masyarakat luas dan kemuncak kepada hal ini adalah tersenarainya lagu-lagu mereka di pusat-pusat karaoke baik yang berkonsep jamban mahupun yang berkelas. Barang harus diingat, populariti sesuatu lagu dan kumpulan itu hanya boleh disahkan seandainya tersenarai di dalam senarai lagu pusat karaoke.

Setelah menunggu agak lama, akhirnya saya berpeluang mendengar lagu-lagu 'indie' diperdengarkan di warung burger walau ruang ke udaranya masih kalah jauh berbanding lagu-lagu rock kapak. Meskipun begitu saya menganggap ianya suatu fenomena yang sihat melihatkan tahun-tahun sebelumnya mustahil mendengarkan lagu-lagu yang segar di corong warung burger dan yang saya maksudkan segar di sini bukanlah lagu-lagu dari kumpulan seperti Akta Angkasa, Space Gambus Experiment dan Furniture.

Ada sisi-sisi menarik yang saya perhatikan dengan fenomena rock, rock kapak dan indie. Apa dia?

Menurut pemerhatian saya fenomena rock melahirkan suatu kelompok yang berani melawan fikrah pemerintah atau lebih tepat establishment ketika itu dengan lirik-lirik tajam makna yang dibalut kemas rambut panjang, berserta baju, seluar dan perhiasan khas mereka. Barang harus diingat kebanyakan rockers ketika itu adalah berbangsa Melayu Islam Malaysia dan mereka hidup di zaman bukan media sosial, akan tetapi karakter dan pemikiran mereka melangkaui zaman Facebook dan Twitter.

Penyumbang-penyumbang lirik tajam makna zaman tersebut akan terpampang megah namanya setiap kali hendak memulakan nyanyian lagu mereka di pusat karaoke, sebut sahaja JS Kevin, M. Nasir, Loloq, Nasir Jani dan ramai lagi.

Rusuhan para peminat rock di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang yang dijayakan oleh kumpulan seperti SYJ, Lefthanded, Bloodshed, Ella and the Boys dan Rahim Maarof & Whitesteel pada tahun 1990 menyaksikan Menteri Penerangan ketika itu, Mohamed Rahmat mengarahkan penyanyi rock memotong rambut jika hendak keluar televisyen. Antara yang menjadi mangsa ialah penyanyi Awie dan Search.

Kejadian ini menandakan permulaan kepada sebuah kematian era rock yang penuh dengan kontroversi dan perlawanan dan dengan siap sedia diambil alih oleh rock kapak yang mengkedepankan cinta leleh.

Zaman rock kapak bermaharajalela tidak membawa impak perubahan sosial kerana ketika itu Malaysia berada di dalam zaman sedapnya dengan kek ekonomi yang melimpah ruah dan masing-masing sibuk membesarkan kek mereka. Hanya kehadiran rock metal yang sedikit sebanyak mengimbangi kelelehan zaman itu.

Ada dua konsert besar yang saya hadir pada waktu ini iaitu Konsert Grand Slam Unplugged pada 1996 dan Konsert Raksasa XPDC Brutal pada 1998 di Stadium Negara dan kedua-duanya meninggalkan memori indah, baik dari segi persembahan dan kehadiran penonton yang sukar diulang semula oleh kumpulan-kumpulan muzik independen zaman ini.

"Panik"

Barangkali kontroversi pengharaman lagu berjudul "Panik" nyanyian Bunkface daripada disiarkan di RTM akan menjadi tanda baru akan keseriusan muzik independen melawan establishment. Harus barang diingat bahawa erti establishment di sini tidak selalunya merujuk kepada anti-kerajaan atau lebih tepat lagi anti-Barisan Nasional atau Asalkan Bukan Umno kerana maknanya lebih luas dari soal cetek kepartian yang kadangkala menjengkelkan.

Dolak dalik RTM dalam memberi alasan pengharaman sangat tipikal pemerintah kita. Memetik kata-kata Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhayati Ismail: "Stesen milik kerajaan itu tidak mempunyai masalah dengan perkataan 'reformasi' yang digunakan dalam lagu lirik 'Panik' oleh kumpulan Bunkface. Sebaliknya, keprihatinan RTM adalah berhubung perkataan 'celakamu' dalam lagu yang dipetik daripada album kedua kumpulan punk rock itu."

Manakala Sam selaku vokalis Bunkface pula menegaskan: "Reformasi yang saya sebutkan dalam lagu 'Panik' tidak ada kena mengena dengan Gerakan Reformasi yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Parti Politik Pembangkang. Lirik-lirik tulisan saya adalah berdasarkan pengalaman hidup seharian yang saya lalui di mana saya mahu berkongsi dengan para peminat Bunkface. Jadi, adalah tidak adil apabila RTM dengan mudah mengharamkan sesebuah lagu seperti 'Panik'."

Episod ini memperlihatkan kepada saya bahawa RTM itu takut tidak berasas, Bunkface pula tersepit di antara hairan dan takut kehilangan rezeki apabila isu ini diambil berat oleh sekelompok anggota Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat pula jelas mensensasikan isu ini demi kepentingan politik kekuasaan mereka semata-mata.

Kebebasan

Baik rock, rock kapak atau rock metal, kesemua kumpulan muzik aliran ini dipegang kuat syarikat rakaman dan boleh dikatakan kebanyakan kumpulan yang muncul tidak bebas atau tidak independen di dalam erti kata sebenar. Kongkongan dan eksploitasi syarikat rakaman era tersebut menariknya sukar diterap ulang pada era ini berkat dampak perubahan zaman, dan alhasil ciri khas kumpulan muzik sekarang mempunyai lebih kebebasan dalam berkarya dan penentuan hala tuju perjalanan muzik mereka.

Pasca Estranged memenangi AJL 2007 menurut saya boleh dibilang secara rasmi sebagai zaman independen dan kemunculan zaman ini ini boleh kita banggakan melihatkan beberapa pengkarya independen berjaya menapak di luar seperti Bunkface di Indonesia, Pop Shuvit di Jepun, Yuna dan Zee Avi di Amerika Syarikat.

Soalannya sekarang adakah pengkarya independen ini boleh menjadi lebih baik dan bertahan lama seperti senior mereka iaitu Search dan Wings mahupun XPDC? adakah lagu mereka yang bebas campur tangan itu akan menjadi siulan anak-anak remaja tahun 2030?

Hanya dengan keberanian dalam berkarya dan bersikap barangkali boleh membawa mereka berbeza dari generasi rock kapak dan syukur Bunkface sudah menunjukkan jalan.

Sebagai nota, muzik independen di dalam tulisan ini tidak termasuk muzik underground yang lebih keras dari segenap sisi dan sentiasa akan begitu selamanya, sebagai contoh Carburetor Dung.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved