Ahad, 26 Ogos 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Aktivis Bersih, Maria Chin dipanggil polis

Posted: 26 Aug 2012 02:10 AM PDT

SHAH ALAM, 26 Ogos — Aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang juga pengarah eksekutif Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah telah dipanggil oleh OCPD Dang Wangi dipercayai berkenaan dengan program NGO Gabungan Janji yang akan berhimpun di Dataran Merdeka dan beberapa negeri lain pada malam ambang merdeka.

Gabungan Janji dianggotai oleh 47 NGO dan Empower adalah salah satu daripada anggotanya.

"Maria Chin diminta oleh polis untuk melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis (IPD)Dang Wangi jam 2.00 petang esok.

"Dia akan ditemani oleh peguam dari Empower," kata Hishamuddin Rais, jurucakap kepada Gabungan Janji ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Pada 30 Ogos ini dimalam ambang kemerdekaan, Gabungan Janji akan berhimpun di Dataran Merdeka dengan berbaju kuning.

Dalam sidang akhbar Jumaat lalu, Gabungan Janji memberitahu bahawa perhimpunan pada malam ambang kemerdekaan akan turut diadakan di negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Perhimpunan ini bertujuan untuk menuntut kerajaan menunaikan lapan tuntutan Bersih seperti pembersihan daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal, kempen pilihan raya sekurang-kurangnya 21 hari, akses media yang adil kepada semua pihak, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Ketika dihubungi, Maria mengesahkan bahawa beliau telah dihubungi oleh polis pada Jumaat lalu untuk bercakap tentang program Gabungan Janji.

"Polis hubungi saya Jumaat lalu pada sebelah petang.

"Mereka nak tanya tentang program Gabungan Janji seperti yang kami umumkan dalam sidang akhbar pada sebelah pagi," kata Maria.

Menurut Maria, beliau akan ditemani oleh peguamnya, Honey Tan yang juga merupakan anggota Empower.

Sasterawan negara, Datuk A. Samad Said yang juga pengerusi bersama Bersih akan membacakan sajak khas pada malam ambang kemerdekaan tersebut di Dataran Merdeka.

Pada 28 April lalu, perhimpunan yang dianjurkan oleh Bersih bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil dicemari dengan insiden keganasan.

Kawat dawai yang dipasang untuk menghalang perserta masuk ke Dataran Merdeka dipecahkan menyebabkan gas pemedih mata mula ditembak.

Najib minta rakyat tidak buat perubahan yang belum pasti kebaikannya

Posted: 26 Aug 2012 12:42 AM PDT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat supaya tidak membuat 'perubahan' yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka. — Gambar AFP

PEKAN, 26 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat supaya tidak membuat 'perubahan' yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

Bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik, kata Najib sambil mengingatkan supaya rakyat tidak menukarkan sesuatu yang mereka boleh bergantung harapan daripada memberi kepada pihak lain yang ternyata belum terbukti rekod perkhidmatannya.

"Kita mestilah berpegang kepada sesuatu yang kita tahu, Insya-Allah kita (kerajaan BN) akan membawa kepada keadaan yang lebih baik pada masa akan datang," kata Najib ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dihoskan beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar dekat sini, hari ini.

Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang ternyata gagal mentadbir empat buah negeri yang dimenangi selepas pilihan raya umum 2008.

Katanya tidak semua perubahan yang dijanjikan akan memberi kebaikan kepada rakyat namun kerajaan pimpinan BN sejak era Tunku Abdul Rahman telah membawa pelbagai perubahan yang kini dinikmati oleh rakyat.

"Kita tak boleh tukar kerajaan sebab (semata-mata) sudah sampai masa kita (perlu) buat perubahan, tapi (sebaliknya) kita (BN) bukan nak bawa perubahan tapi nak sesuatu yang lebih baik.

"Tidak semestinya (semua) perubahan itu membawa kepada kebaikan ada juga membawa kepada sesuatu yang tidak dijangka malah lebih buruk dari apa yang kita kecapi hari ini," katanya.

Kerajaan BN sekarang meneruskan kesinambungan perjuangan pemimpin-pemimpin sebelum ini dalam usaha menambah nilai dan membina perubahan yang lebih baik untuk mencapai Wawasan 2020.

Beliau berkata negara maju pun jika tidak ditadbir dengan baik dan gagal membina kekayaan baru ia juga akan runtuh dan menyebabkan ekonomi negara mereka gawat seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah yang mengalami masalah pengangguran dan kemelesetan ekonomi.

"Hakikatnya kita tak boleh terima bantuan demi bantuan tanpa memikirkan macam mana nak mencipta dan menjana kekayaan...negara yang bagi bantuan tanpa jana pndapatan baru, ekonomi negara akan menghadapi masalah," katanya.

Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah di antara lebih 70,000 tetamu menghadiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri itu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan kepimpinan negeri. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved