Ahad, 2 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


MB Kedah hadir majlis sambutan Aidilfitri negeri

Posted: 02 Sep 2012 12:43 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Sept  — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak muncul semalam di majlis sambutan Aidilfitri PAS negeri semalam walaupun diarah berada di hospital, lapor akhbar Cina Sin Chew Daily.

Akhbar itu memetik kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata Azizan telah meminta kebenaran doktor untuk menghadiri majlis tersebut.

Azizan (gambar), yang kini berusia 72 dilaporkan telah pulang ke Pusat Perubatan Kedah di Alor Setar selepas menghabiskan kira-kira setengah jam di rumah terbuka tersebut.

Pada 31 Ogos, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata Azizan telah dimasukkan ke hospital selepas pitam ketika musin Ramadhan.

Azizan juga diarahkan berada di hospital untuk pemerhatian lanjut, Mustafa berkata mesyuarat exco negeri turut diadakan di hospital sekiranya perlu.

Penghujung Ogos lalu, Azizan telah dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami sakit dada.

Menteri Besar Kedah itu turut mempunyai sejarah darah tinggi dan arteri yang tersumbat.

Keadaan kesihatan Azizan itu telah menimbulkan spekulasi beliau akan dipaksa berundur atas faktor kesihatannya, namun beliau menafikan spekulasi terbabit dan akan meneruskan tugasnya.

Pilihan raya umum yang harus dilakukan menjelang April 2013 apabila mandat Barisan Nasional (BN) akan tamat.

Kedah adalah salah satu daripada lima negeri yang BN tewas pada 2008, termasuk Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Kelantan.

Negeri itu kemudiannya menjadi fokus untuk ditawan semula oleh BN dalam pilihan raya akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu telah mengadakan lawatan ke negeri berkenaan dan menggesa ahli Umno untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum.

Dr Mahathir penerima ijazah Doktor Kehormat Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu

Posted: 02 Sep 2012 12:27 AM PDT

Dr Mahathir penerima ijazah Doktor Kehormat Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu

SURAKARTA(Indonesia) , 2 Sept — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menerima anugerah ijazah Doktor Kehormat Ilmu Sosial dan Budaya Dalam Bidang Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu oleh Universiti Sebelas Maret Indonesia (UNS-Solo) Jawa Tengah pada upacara khas di kampus induk universiti itu di sini, pada Isnin..

Anugerah itu bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa Dr Mahathir dalam usaha meningkatkan  martabat bangsa Melayu di peringkat dunia.

"Jasa Dr Mahathir sangat besar kepada pembangkitan keyakinan diri bangsa Melayu untuk  tampil setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

"Selama ini mungkin bangsa Melayu masih dianggap rendah daripada bangsa-bangsa lain di  dunia, tetapi dalam tempoh kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia, orang  Melayu terasa terangkat," kata Rektor UNS-Solo Prof Dr Ravik Karsidi pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Dr Mahathir akan menjadi tokoh kedua menerima ijazah doktor kehormat daripada universiti itu, selepas seorang tokoh dari Indonesia kira-kira tiga tahun lalu.

Tokoh pertama penerima ijazah doktor kehormat daripada universiti itu ialah bekas Ketua  Setiausaha Kementerian Pertanian Indonesia Dr Mas'ud Wisnu Wardana, yang menerima ijazah doktor kehormat dalam bidang pertanian.

UNS-Solo adalah sebuah daripada universiti awam ternama di Indonesia dan ia berada di ranking ketujuh di antara 72 universiti awam di seluruh Indonesia.

UNS-Solo juga merupakan sebuah universiti yang melatih penuntut Malaysia dalam bidang perubatan.

Bersempena penganugerahan ijazah kehormat itu, Dr Mahathir akan menyampaikan syarahan umum bertajuk "Kriminalisasi Perang" di universiti itu pada Isnin.

Bekas Perdana Menteri Malaysia itu, yang akan diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dijadual menziarahi makam bekas Presiden Indonesia Soeharto di Giribangun, Solo, selepas  upacara penganugerahan itu.

Allahyarham Soeharto semasa hayatnya adalah antara sahabat karib Dr Mahathir.

Sebagai rangkaian kepada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat itu, UNS-Solo dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada hari ini menganjurkan Seminar Antarabangsa bertajuk "Masa  Depan Bangsa-bangsa Melayu Di Tengah Krisis dan Perubahan Politik Global".

Dr Mahathir yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Indonesia, akan turut menyampaikan syarahan umum bertajuk "War Is Crime" anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana, di Universiti Muhammadiyah, Yogyakarta pada Selasa. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved