Jumaat, 21 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Ngeh tetap kritik Umno, BN walaupun sudah mohon maaf — Zambry

Posted: 21 Sep 2012 02:16 AM PDT

LUMUT, 21 Sept — Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membidas Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham (gambar) kerana tetap mengkritik Barisan Nasional (BN) dan Umno walaupun telah memohon maaf terhadap kenyataannya sebelum ini, yang mempertikaikan bantahan umat Islam terhadap filem 'Innocence of Muslims'.

Zambry berkata Ngeh menerusi laman Twitternya semalam juga telah mengkritik beliau dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan menuduh mereka  memanipulasikan kenyataanya sebelum ini.

"Saya lihat kenyataannya menerusi laman twitter terbarunya itu terlalu peribadi dan tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pencegahan Jenayah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ngeh dalam laman twitter terbarunya semalam, yang berbunyi "No hope for Umno. Their best brains Zambry & Khairy so low std (standard). People who read my tweet will have only disdain for them. (Tiada harapan untuk Umno. Cerdik pandai mereka Zambry & Khairy begitu rendah standard. Mereka yang membaca laman twitter saya hanya mempunyai perasaan hina terhadap mereka)

Zambry menganggap Ngeh terlalu marah terhadapnya sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Apa yang saya katakan itu bukan soal manipulasi tetapi adalah bersuara untuk mempertahankan agama. Dia sendiri yang telah bawa martabatnya terlalu rendah dengan mengeluarkan kenyataan itu," katanya.

Beliau berkata Ngeh perlu ingat bahawa kenyataannya sebelum ini mengenai  isu filem 'Innocence of Muslims' menerusi laman twitternya boleh dilihat oleh semua orang.

Dua hari lepas, Ngeh menerusi laman twitternya didakwa mengeluarkan soalan bantahan itu sebagai provokasi terhadap reaksi kepada hasrat Khairy bergabung dengan Dewan Pemuda PAS mengadakan protes terhadap filem arahan Sam Bacile itu yang menghina dan memfitnah Nabi Muhammad SAW. — Bernama

Ribuan membanjiri KL bantah filem hina Islam

Posted: 21 Sep 2012 01:02 AM PDT

Ribuan umat Islam berkumpul di Kuala Lumpur untuk membantah filem yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. — Gambar oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 21 Sept — Ribuan umat Islam membanjiri Kuala Lumpur, mengenepikan perbezaan ideologi politik mereka demi membantah filem "Innocence of Islam" yang menghina Nabi Muhammad S.A.W sepertimana berlaku dinegara-negara lain.

Dua perhimpunan serentak anjuran pemuda Umno dan pemuda PAS dihadiri oleh ribuan orang dengan slogan "Allahuakhbar" dan anti Amerika Syarikat (AS).

Diluar kompleks Tabung Haji di Jalan Tun Razak, protes yang diketuai oleh pemuda PAS dihadiri sekurang-kurangnya 5000 orang termasuk dua badan bukan kerajaan (NGO) Teras dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sebaik sahaja solat Jumaat, kumpulan tersebut berkumpul sebelum berarak ke kedutaan AS melalui Lorong Kuda sambil mengibarkan bendera PAS, Malaysia, Arab Saudi dan Sang Saka Malaya sambil melaungkan "hancur AS dan Zionis".

"Amerika mesti mengambil tanggungjawab penuh dalam isu ini.

"Kami akan tunjukkan bahawa kesabaran umat Islam dan bukan Islam ada hadnya.

"Jika mereka meneruskan dengan ini, kita akan mengambil lebih banyak tindakan," kata Azmi Abdul Hamid, presiden Teras.

Sementara itu di Masjid Jamek Kampung Baru, ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengetuai lebih 2,000 orang, termasuk kumpulan-kumpulan pejuang hak Melayu seperti Persatuan Peribumi Perkasa (Perkasa), Persatuan Jalur Tiga (Jati), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Puteri Umno untuk membantah filem kontroversi tersebut.

Mereka melaungkan takbir dan "kami menolak keganasan" sebelum Khairy memulakan ucapan.

Demonstrasi di hadapan Kedutaan AS, Kuala Lumpur. — Gambar Reuters

Ahli parlimen Rembau itu memuji sikap PAS untuk mengenepikan perbezaan politik dan bersama Umno untuk perjuangan umat Islam.

"Dua hari lepas saya telah telefon Nasrudin Tantawi, dan kedua kami bersetuju bahawa kita mengenepikan perbezaan.

"Pemuda Umno yg berkumpul hari ini bersekutu bersama dengan Pas, bukan seperti rakan pakatan mereka," kata Khairy sambil mengkritik rakan Pas dalam Pakatan Rakyat yang tidak bersama dalam demo yang memperjuangkan Islam.

"Kita mahu PAS keluar dari Pakatan demi perjuangan Islam," katanya lagi.

Khairy juga membidas pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang berkata demonstrasi menghina nabi sebagai 'membuang masa dan tenaga'.

"Ada yang berkata, kita membuang masa dan tenaga.

"Kalau mereka anggap kita buang masa dan tenaga, kita tunjukkan dalam pilihan raya untuk buang mereka," kata Khairy dan disambut dengan sorakan orang ramai.

Mereka juga membawa bendera kalimah syahadah, sepanduk membantah filem tersebut dan mahu Washington dan Paris untuk mengambil tindakan ke atas pengarah filem Innocence of Muslims, Sam Bacile serta pelukis kartun yang disiarkan di sebuah majalah di Perancis.

"Musuh kita bukan Amerika Syarikat, Perancis atau agama lain, tetapi mereka yang terlibat dengan filem dan kartun ini.

"Kita mahu kedua-dua kerajaan untuk mengambil tindakan ke atas mereka ini.

"Kebebasan bersuara ada batasnya, dan perlu dijaga dengan penuh hormat dan bertanggungjawab," kata Khairy lagi.

Kedutaan AS di seluruh dunia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan dengan bantahan ke atas filem kontorversi tersebut, yang menyebabkan kematian duta besar AS ke Libya, Christopher Stevens dan tiga orang lagi warga Amerika ketika di konsulat AS di Benghazi.

Filem selama 13 minit dalam bahasa Inggeris itu menghina Nabi Muhammad telah diterbitkan oleh seorang individu menggunakan nama samaran "Sam Bacile", difilemkan di California dan disiarkan di Internet dengan pelbagai tajuk termasuk "Innocence of Muslims".

Klip filem tersebut sudah diposkan di YouTube sejak Julai.

Bagi umat Islam, sebarang gambaran tentang nabi adalah berdosa. Sebelum ini, karikatur nabi yang disiarkan di Denmark telah menyebabkan protes di seluruh dunia.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved