Ahad, 30 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pakatan tidak tolak RAPID, tidak setuju tanah diambil, kata Salahuddin

Posted: 30 Sep 2012 02:24 AM PDT

PENGERANG, 30 Sept — Pakatan Rakyat (PR) tidak menolak pembangunan projek Hab Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, sebaliknya Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan, pembangkang mahu ianya dilaksanakan di kawasan tanah milik kerajaan, bukannya melalui pengambilan tanah kampung tradisi di sini.

Salahuddin Ayub: Terima pembangunan, tetapi "jangan musnahkan kampung tradisi". — Foto fail

Menurut Salahuddin, pendirian PR jelas untuk tidak menolak pembangunan, malah beliau turut berkata PR menerima projek ini jika ia dilaksanakan seperti di Kerteh dan Paka di Terengganu yang tidak dibangunkan atas pengambilan tanah penduduk.

"Kita terima projek ini ... kami terima pembangunan, dan pendirian kita jelas.

"Petronas boleh buat seperti di Paka, Kerteh ... jangan musnahkan kampung tradisi," katanya merujuk kepada tujuh kampung tradisi yang akan dipindahkan ekoran tanah mereka diambil untuk projek RAPID yang bernilai RM60 bilion itu.

Bagaimanapun, dalam ucapan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, yang berucap mewakili Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata PR akan menghentikan projek tersebut sekiranya pakatan itu berjaya menguasai Putrajaya.

"Jika kita tidak menang kes ini di mahkamah, ini mesej Anwar kepada anda semua ... bila beliau jadi perdana menteri, projek RAPID ini akan dihentikan.

"Ini janji kami hari ini ... dan kami akan bantu kehidupan anda semua di sini," katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh peserta demonstrasi Himpunan Hijau Lestari di Pengerang pagi tadi.

Salahuddin turut menjelaskan, pihaknya yakin isu RAPID ini bakal meruntuhkan tembok kubu kuat Umno BN di selatan tanah air itu.

"Ia beri isyarat jelas kepada BN Johor, jangan main-main dengan undi rakyat ... jangan anggap kubu kuat di Pengerang sebagai satu tebusan, dan mereka boleh buat sewenang-wenangnya.

"Gelombang perubahan akan bermula di selatan dalam pilihan raya umum ke-13 kali ini, ia tidak lagi bertempat di Kuala Lumpur ... ia akan berpusat di selatan tanah air, di sini," tegasnya kepada The Malaysian Insider.

"Pengerang ini tempat yang jauh, tapi ramai  orang boleh datang. Itu isyarat jelas buat BN di Johor," kata pengerusi Mantap itu lagi, sebuah NGO yang ditubuhkan PAS bagi menangani isu pengambilan tanah di Pengerang.

Jelas ahli Parlimen Kubang Kerian ini lagi, PR juga tidak melihat isu Pengerang sebagai kelebihan politik untuk mereka, sebaliknya ia hanyalah tanggungjawab mereka kepada rakyat.

"Kita hanya memperjuangkan isu ini, tidak sangat kepada tujuan politik," tegasnya kepada The Malaysian Insider.

"Kalau saya bertanding di Pengerang, ada jaminan kita boleh menang? Kalau PR bertanding di Pengerang adakah kita boleh menang?  Kita hanya perjuangkan rakyat.

"Politik adalah suatu perkara yang datang kemudian ...  sama ada kami berjaya atau tidak kerjaya politik kami, rakyat yang akan kami perjuangkan dulu."

Justeru, beliau juga berkata akan membawa isu ini untuk dibincangkan di Parlimen supaya ianya mendapat liputan meluas di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Koh sasar menang semula di Beruas dan Teluk Intan, pertahan Simpang Renggam

Posted: 30 Sep 2012 12:50 AM PDT

KUALA LUMPUR, 30 Sept —  Presiden parti Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon mensasarkan untuk memenangi semula kerusi parlimen di Beruas dan Teluk Intan di Perak, di samping mempertahankan kerusi Simpang Renggam di Johor.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, misi utama Gerakan ialah mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008 dan memenangi seberapa banyak kerusi.

"Pada pilihan raya 2008, Gerakan telah memenangi dua kerusi iaitu Gerik dan Simpang Renggam.

"Bagaimanapun, kita sudah berbincang dengan Umno yang mahu bertanding di Gerik, dan kita cuba mendapatkan kerusi Taiping, di samping Beruas dan Teluk Intan di Perak," kata Koh dalam sidang media selepas tamat mesyuarat agung parti tersebut, hari ini.

Koh berkata, beliau yakin untuk Gerakan menang di Beruas dan Teluk Intan memandangkan pada pilihan raya yang lalu, calon Gerakan tewas dalam jumlah majoriti kurang daripada 1,000 undi.

"Bagaimanapun, ini hanya di peringkat awal, dan seterusnya kita akan membincangkan soal calon dengan parti komponen yang lain nanti," kata Koh lagi.

Koh juga berkata, beliau mahu Gerakan memecahkan angka kosong setelah Gerakan tewas semua calon dalam pilihan raya umum di peringkat negeri Pulau Pinang.

"Di kerusi DUN Pulau Pinang, kita kalah kesemua kerusi, oleh itu kita harap kita dapat pecahkan angka kosong di Pulau Pinang," katanya.

"Kita menyedari kita dalam keadaan sekarang amat sukar, tetapi saya percaya dengan kerja keras kita boleh mendapatkan lebih banyak undi di Pulau Pinang."

Beliau juga tidak memberikan sebarang komen apakah beliau akan bertanding pada pilihan raya akan datang.

Sebelum itu dalam ucapan penggulungannya, Koh menyeru kepada ahli Gerakan agar menggunakan "positive politics" yang menolak politik ekstremisme untuk mendapatkan undi pada pilihan raya akan datang.

"Ya, kita juga mahukan perubahan," katanya. "Tetapi kita mahukan perubahan yang membawa perkara yang lebih baik, bukannya berdasarkan emosi semata-mata."

Beliau juga menyeru supaya ahli membuat kerja bukan kerana untuk mendapat jawatan atau menjadi calon, tetapi bekerja untuk membantu rakyat.

"Saya mahu melihat pencapaian dahulu sebelum kita berikan jawatan atau menjadi calon," katanya lagi.

"Kita juga harus bekerja bukan sahaja untuk Parti Gerakan, tetapi membantu Barisan Nasional secara keseluruhannya."

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved