Isnin, 1 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


‘Chegubard’ fail semula permohonan batal pertuduhan berkaitan Bersih 3.0

Posted: 01 Oct 2012 02:33 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR)Rembau Badrul Hisham Shaharin memfailkan semula permohonan bagi membatalkan tiga pertuduhan terhadapnya berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.

Badrul Hisham atau "Chegubard", 34, menamakan pendakwa raya sebagai responden dalam permohonan yang difailkan melalui Tetuan SN Nair & Partners di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 13 Sept lepas, dia menarik balik permohonan sama yang difailkan dipejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini ketika kesnya disebut di depan Hakim Mahmud Abdullah.

Peguam SN Nair, ketika ditemui pemberita, berkata pihaknya menarik balik permohonan itu kerana Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

Badrul Hisham didakwa bersama penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden parti itu Mohamed Azmin Ali pada 2 Julai dan 22 Mei berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.

Pada 2 Julai, dia mengaku tidak bersalah bersubahat dengan R. Tangam, G. Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim melanggar perintah Majistret Zaki Ashraf Zubir bertarikh 26 April, yang melarang sebarang perhimpunan di kawasan Dataran Merdeka antara 28 April dan 1 Mei lepas.

Pada 22 Mei, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah menyertai protes jalanan yang melanggar perintah majistret berkenaan, antara 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April di Jalan Tun Perak di sini.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersekongkol dengan Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan dengan menghasut mereka supaya mengalihkan besi penghalang di Jalan Raja di sini pada hari yang sama.

Badrul Hisham didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam permohonan itu, Badrul Hisham mendakwa perintah Zaki Ashraf tidak sah kerana dikeluarkan di luar bidang kuasa dan/atau ultra vires dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang berkuat kuasa pada 30 Jan, yang membenarkan perhimpunan secara aman diadakan.

Katanya, pihak berkuasa yang sepatutnya melarang orang ramai mengadakan perhimpunan secara aman ialah polis, dan bukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, seperti yang disebut dalam perintah itu. — Bernama

Anwar syorkan Turki sebagai model untuk reformasi ekonomi, politik

Posted: 01 Oct 2012 02:05 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Dalam perbahasan Bajet 2013 hari ini, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia hanya mampu mengukuhkan ekonominya dengan cepat menerusi reformasi kerajaan dan politik yang menyeluruh seperti yang dilakukan negara Turki.

Pemimpin pembangkang menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak berdaya saing sebagai punca kegagalan Malaysia yang terpaksa menghadapi bajet defisit selama 15 tahun ekoran ketirisan polisi ekonomi yang mementingkan "kroni dan golongan kaya yang mempunyai kepentingan".

Pemimpin pembangkang Anwar: Menimbulkan Buku Jingga PR. — Foto fail

"Kejayaan Turki dibawah Reccip Tayeb Erdogan contohnya, memberi keyakinan kepada kita bahawa dasar ekonomi dan pentadbiran yang berteraskan keadilan sosial, ketelusan, amanah dan mengiktiraf bakat kebolehan setiap rakyatnya berjaya melonjak kemakmuran ekonomi negara an rakyat Turki dalam tempoh yang begitu singkat," kata Anwar

"Sebab itu Pakatan Rakyat (PR) dari awal lagi telah menegaskan bahawa perubahan dan tambahbaik ekonomi tidak boleh berlaku tanpa adanya reformasi politik dan pentadbiran," katanya dalam ucapan bajet beliau.

"Buku Jingga adalah dokumen yang jelas menggariskan bahawa matlamat pertumbuhan ekonomi perlu didorong oleh proses islah politik dan pentadbiran yang menyeluruh, kerana Turki dibawah Erdogan menyakinkan dunia bahawa pembaharuan politik menyuburkan pertumbuhan ekonomi."

Bekas menteri kewangan tersebut juga menggunakan Turki sebagai perbandingan dengan menyifatkan sejak Erdogan dilantik perdana menteri 10 tahun lalu beliau telah berjaya melakukan perubahan ekonomi ke atas negara Islam sekular itu menjadi sebuah "keajaiban ekonomi baru".

Menurut Anwar lagi, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Turki berkembang sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh sembilan tahun daripada AS$233 bilion (RM701.3 bilion) pada tahun 2002 kepada AS$773 bilion tahun lepas.

Unjuran pertumbuhan ekonomi Turki bagi tahun ini dianggarkan lebih daripada 11 peratus, berdasarkan angka suku pertama yang didakwa Anwar telah berjaya mengatasi China dan negara membangun yang lain.

Beliau turut menegaskan pertumbuhan ekonomi Turki berkembang antara 7 dan 9 peratus secara purata ketika tahun pertama pemerintahan Erdogan dan lebih memeranjatkan lagi apabila negara itu berjaya mengimbangi hutang luar bernilai €1 bilion (RM3.9 bilion) kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April depan yang dianggapnya pembayaran balik terpantas jika diukur berdasarkan jumlah hutang.

MP Permatang Pauh itu juga berkata, Malaysia kini menghadapi risiko ketinggalan jauh dibelakang dengan negara-negara Asia lain yang suatu ketika dahulu lebih mundur daripada Malaysia pada 1970-1980an seperti Korea Selatan yang telah maju ke hadapan dengan langkah-langkah memerangi rasuah dan meningkatkan tahap ekonomi dikalangan usahawan perniagaan.

Namun dia percaya Malaysia memiliki potensi ekonomi yang lebih tinggi kerana mempunyai rizab minyak dan peluang cerah untuk melonjak ke hadapan dengan rombakan struktur ekonomi sedia ada.

"Kegagalan Barisan Nasional menamatkan defisit belanjawan selama 15 tahun berturut-turut sedangkan Malaysia mempunyai hasil minyak menunjukkan ada masalah struktur ekonomi yang diabaikan dan dibiarkan membarah, kerana menyelesaikan kepincangan ekonomi tersebut bermakna menyentuh kroni dan golongan mahakaya berkepentingan," katanya lagi.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved