Isnin, 1 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


‘Awak sebar agama Hindu melalui cerpen’

Posted: 30 Sep 2012 05:18 PM PDT

1 OKT — Mahatma Gandhi pernah menegaskan bahawa "even if you are a minority of one, the truth is the truth". Maknanya kebenaran tetap kebenaran walaupun kumpulan minoriti itu hanya terdiri daripada seorang individu.

Kata-kata itu kembali terngiang-ngiang di telinga berikutan suatu kejadian terbaru di mana sebuah cerpen saya ditolak dengan alasan bahawa karya sastera itu "ada unsur penyebaran agama Hindu".

Apabila mendapat berita itu daripada penolong editor majalah terbabit, saya boleh sahaja berdiam diri dan mengirim manuskrip cerpen yang sama ke media lain untuk diterbitkan.

Anak-anak Annur Puteri tidak menghadapi masalah membaca karya berunsur budaya India.

Akan tetapi, sekiranya saya berdiam diri, tidak mustahil bahawa "kejayaan" yang dicapai oleh penolong editor itu akan dijadikan penanda aras (benchmark) untuk seterusnya menzalimi, menindas, berlaku tidak adil dan menidakkan hak para penulis lain yang mengangkat tema budaya kaum India menerusi karya sastera pada masa hadapan.

"Kalau awak hantar cerpen ni ke surat khabar atau majalah India mungkin boleh disiarkan tapi kalau majalah ini, saya rasa cerpen awak agak terbuka bercerita tentang Tuhan Hindu. Saya dah tanya editor kanan dan dia pun kata tak boleh nak siar cerpen ini sebab awak cuba sebar agama Hindu secara halus menerusi cerpen-cerpen awak."

Demikian antara intipati alasan yang diberikan untuk membatalkan penyiaran cerpen berkenaan. Sebelum ini, manuskrip saya sudah dibaca, dinilai dan diluluskan oleh editor dan ketua editor serta sepatutnya disiarkan dalam majalah keluaran November 2012. Namun, tiba-tiba sahaja penolong editor tampil sebagai wirawati dengan keputusan baharu.

"Awak juga ada banyak kes dengan DBP dan saya mendapat tahu bahawa semasa Puan Padilah Haji Ali menjadi ketua editor dulu, mereka memang boikot tak siar karya awak di mana-mana majalah DBP. Jadi, majalah kami pun kena berhati-hati. Kami diminta lebih berhati-hati dengan nama-nama yang ada masalah seperti awak dan Faisal Tehrani. Saya tak nak ada masalah nanti. Saya rasa cerpen awak tak boleh disiarkan dan salah dari segi Akta Penerbitan."

Demikian penolong editor berkenaan berusaha menegakkan benang yang basah. Memandangkan alasan utama yang diberikan adalah bahawa karya saya "ada unsur penyebaran agama Hindu", saya cuba bertanya kepada beberapa rakan beragama Islam yang sudah biasa membaca karya-karya saya. Apakah cerpen-cerpen saya menyebarkan agama Hindu?

Kata-kata Mahatma Gandhi sentiasa menjadi pegangan penulis.

Hazama Harun @ Aida Shahira, seorang penulis dan editor mengatakan bahawa meskipun karya-karya saya membicarakan hal-hal berkaitan agama Hindu dan budaya masyarakat India, tiada apa-apa unsur yang melampau sehingga mengancam akidahnya sebagai seorang Muslim.

"Bahkan, saya lebih faham serba sedikit tentang budaya hidup kaum India, seterusnya menghargai kepelbagaian adat-resam di negara kita. Tidaklah wajar membuat andaian secara semborono mengatakan membaca karya-karya sedemikian akan menjejaskan akidah. Kita perlu membaca dan mendalami ilmu untuk menambah kefahaman," kata penulis novel "Bukan Duniaku" yang dijadikan teks Komsas pelajar Tingkatan 1 di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.

Hazama juga tidak ada masalah menonton filem-filem klasik Tamil yang menampilkan kisah sejarah silam India dan mitos Hindu. Malah beliau juga dahulu gemar menonton cerita kartun di RTM tentang pengembaraan Seri Rama dan kisah cintanya dengan Sita Dewi.

"Banyak sekali unsur-unsur Hindu di dalamnya tetapi tidak pula menjadi masalah. Mengenai cerpen Uthaya, sebagai pembaca dewasa dengan akal yang matang, sudah semestinya khalayak beragama Islam boleh berfikir sendiri. Tak perlu paranoid. Jika masih takut-takut dan terkurung di bawah tempurung, bagaimana kita mahu orang lain memahami kita; budaya dan kehidupan kita? Bagi saya, membacalah dengan fikiran dan hati yang terbuka tanpa prejudis," beliau menegaskan.

Bagi seorang lagi rakan pelukis yang hanya mahu dikenali dengan nama Post Script (nama di Facebook), "Kalau ada pun unsur-unsur agama Hindu, apa salahnya? Kalau orang Melayu-Islam menganggap bahasa kebangsaan hanya untuk mereka, maka selama-lamanyalah bahasa kita akan ketinggalan."

Nur Hidayah dari Kota Baru, Kelantan juga tidak setuju sama sekali dengan pandangan bahawa karya-karya saya ada unsur penyebaran agama Hindu seperti didakwa penolong editor sebuah majalah.

"Sebenarnya, apa yang berlaku adalah saya dapat belajar tentang budaya dan cara hidup masyarakat India di negara ini. Saya sebagai seorang pembaca amat berterima kasih kepada penulis yang berkongsi pengalaman budaya kaum dan agamanya menerusi karya sastera," katanya.

Pak Samad membaca manuskrip cerpen yang kononnya menyebarkan agama Hindu.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) yang berpeluang membaca manuskrip asal cerpen tersebut pada 24 September 2012 tidak menemui apa yang disifatkan sebagai "unsur penyebaran agama Hindu". Beliau tidak menolak kemungkinan ada "alasan lain" mengapa cerpen saya ditolak.

Sementara itu, novelis dari Tanah Merah, Kelantan, Annur Puteri membeli beberapa kumpulan cerpen dan novel saya untuk turut dibaca oleh anak-anaknya.

"Sepanjang membaca keenam-enam buku itu, saya sama sekali tidak menemui sebarang unsur penyebaran agama Hindu seperti didakwa. Sebaliknya banyak unsur kemurnian yang sebelum ini dilaungkan oleh kerajaan sudah diterapkan dalam karya-karya ini," katanya sambil merujuk pada unsur persefahaman antara kaum berciri "1 Malaysia" yang ditemui dalam cerpen-cerpen saya sejak tahun 1992.

Pada penelitian penulis sepenuh masa itu, watak-watak pelbagai kaum yang hadir dalam karya-karya saya diperlihatkan sebagai suatu masyarakat yang mampu hidup secara harmoni.

"Tidak tahulah pula saya sekiranya ada dakwah tersirat di situ apabila watak kaum India dipaparkan mempunyai hubungan persaudaraan yang cukup baik dengan watak kaum Melayu, seperti dalam cerpen 'Anugerah Tertinggi'. Bukankah suasana di Malayaia amat menuntut perpaduan kaum yang sebegini?

"Unsur penyebaran agama Hindu juga tiada dalam karya-karya Uthaya walaupun ada menyebut nama dewa-dewa dan menampilkan beberapa watak seperti Rama dan Krishna dalam cerpen. Saya yakin bahawa menyebut nama dewa dalam karya tidak bermakna berlaku penyebaran agama Hindu," beliau menghuraikan.

Cerpen-cerpen tersiar di majalah berwibawa sebelum dibukukan.

Menyedari hakikat itulah juga Annur Puteri tidak teragak-agak membenarkan — malah menggalakkan — anak-anaknya membaca hasil tulisan saya.

"Saya dalam keadaan waras sepenuhnya memberi keizinan penuh kepada anak saya yang baru berumur sepuluh tahun untuk menghayati karya-karya Uthaya dengan harapan anak saya mampu belajar mengenai budaya dan agama lain agar anak saya mengerti dan tahu menghormati kebudayaan dan agama orang lain," katanya dengan penuh yakin.

Mengulas lanjut, novelis itu berkata, "sekiranya ada unsur penyebaran agama Hindu dalam karya-karya Uthaya, tentulah saya sebagai seorang ibu beragama Islam tidak akan membenarkan anak berumur sepuluh tahun, yang masih mentah dan lemah dari segi kekuatan akidahnya, menghayati karya-karya itu."

Kesemua cerpen saya tersiar di akhbar dan majalah arus perdana — khususnya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kumpulan Media Karangkraf dan Mingguan Malaysia — sebelum diterbitkan dalam bentuk kumpulan cerpen. Maka, agak menghairankan apabila seorang penolong editor yang berpengalaman tiba-tiba tampil menyerlahkan kejahilan diri dan kelemahan akidahnya selepas membaca manuskrip cerpen saya.

Saya boleh sahaja melupakan majalah berkenaan dan menghantar manuskrip saya ke tempat lain. Bagaimanapun, tindakan saya "berdiam diri dan akur" pada dakwaan bahawa cerpen saya "ada unsur penyebaran agama Hindu" mungkin akan menggalakkan penolong editor itu terus menzalimi dan menindas lebih ramai penulis kaum India yang cuba menampilkan budaya kaum India menerusi karya.

Seperti kata mendiang Mahatma Gandhi, "tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran" dan "jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini".

* Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.com.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Tahniah Tuan Uskop

Posted: 30 Sep 2012 04:57 PM PDT

1 OKT — Bishop betul

Perkataan Uskop jarang dipakai oleh orang Melayu mungkin kerana ia satu jawatan dalam hiraki instituisi gereja yang merupakan sesuatu yang asing bagi orang Melayu. Orang Melayu lebih mengenali istilah imam atau ustaz atau syeikh yang menggambarkan kedudukan seseorang yang berpengetahuan agama dalam Islam. Dalam Bahasa Inggeris perkataan uskop adalah bishop. Saya mengenali istilah bishop kerana ada jalan di Pulau Pinang yang diberi nama Bishop Street, begitu juga saya mengenali bishop kerana permainan chess yang salah satu dari bidaknya ialah "bishop". Pada 22 September baru-baru ini saya bertemu dengan bishop yang betul, boleh bercakap dan memakai pakaian istiadat gereja malah fasih berbahasa Melayu dan punya perwatakan yang mesra. Namanya ialah Bishop Sebastian Francis bertanggungjawab kepada 70,000 umat Katolik melingkungi Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Menyambung misi

Sejak 2010 misi saya adalah untuk membina jambatan semua kelompok di Malaysia termasuklah umat beragama yang berbagai. Salah satu dari usaha ini ialah melakukan lawatan ke gereja untuk mengadakan dialog dan berkenalan dengan kepimpinan agama mereka. Peluang isu kalimah Allah saya ambil untuk menjalankan misi penjelasan tentang sikap Islam dan sikap yang diambil oleh PAS sebagai sebuah parti Islam. Nama saya mula dikenali oleh kelompok gereja dan antara yang menjadi destanasi lawatan dialog saya yang besar ialah Gereja The Holy Spirit, iaitu Pusat Katolik di Pulau Pinang, St Anne di Bukit Mertajam, Church of Jesus di Sungai Petani, St Michael di Taiping dan Gereja SIB di Keningau, Sabah.

Apa wacana kami

Kami berdialog tentang kemuliaan kemanusian, umat beragama, hubungkait jalinan Ibrahimik dan isu-isu yang menyentuh sensitiviti aqidah umat Islam, hudud hingga kepada persoalan politik dan sikap PAS. Namun di sebalik wacana yang berat itu terselit satu mesej PAS yang mahukan hubungan lebih terhormat dan membawa kepada keamanan dan kerukunan hubungan. Cita-cita ini adalah berasaskan kepada latarbelakang provokasi pihak tertentu yang mahu mencetuskan ketegangan dan kebencian antara umat beragama. Azam menongkah arus supaya orang Melayu tidak termakan dengan api fitnah ini menguatkan langkah saya untukmelakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh orang Melayu mahupun PAS sendiri. Saya bersyukur kepada Allah kerana langkah ini diberkati apabila kesannya menggamit berbagai pihak untuk menyertai cita-cita kedamaian ini.

Kamu adalah wira

Wira adalah kelompok yang unik kerana mereka dapat mencapai status tersebut di atas keberanian mereka. Keberanian bukan sahaja bertempur di medan perang tetapi keberanian juga adalah apabila kita mampu menyatakan sikap kita dengan tegas walaupun manusia tidak menyukainya. Agama tidak pernah bertentangan dengan fitrah manusia dan salah satu fitrahnya ialah mencari kedamaian hubungan walaupun manusia kadang-kadang berperang atas nama agama masing-masing. Menegaskan sikap yang dianjurkan oleh agama ini iaitu kedamaian hubungan, kadang-kadang mendapat persepsi yang negatif dari penganut agama itu tersendiri, tidak terkecuali dari orang Melayu. Entah apa doktrin yang menguasai benak orang Melayu selama ini, sehinggakan ketaksuban ini dialas dengan kewajaran agama yang tidak pernah diajar pun oleh Nabi Muhammada s.a.w.

Wira-wira yang berjalan atas kesedaran fitrah ini membentuk sebuah kekuatan merentasi semua sempadan. Kristian,Islam dan Buddhist serta lain-lainnya berkongsi harapan di atas jambatan kedamaian ini lalu mereka bekerja dan berlumba-lumba mendapatkan habuan masing-masing demi matlamat mulia ini. Ketika itu fahaman agama sempit dan perkauman melulu menjadi kerdil di hadapan mereka. Mereka adalah wira, nama-nama mereka jarang diukir di dada akhbar kerana mereka tidak mahu nama, mereka hanya mahu harapan tercapai.

Agama berketerampilan

Uskop adalah peribadi yang mewakili agama Katolik mengikut hiraki yang ditentukan kelayakannya oleh pihak gereja. Dalam Islam kita tidak memiliki hiraki yang ketat melainkan seseorang yang bergelar ulamak perlu mempunyai latarbelakang pengajian agama yang kemudiannya  menjadi rujukan masyarakat di mesjid ataupun institusi formal yang lain. Setelah itu terpulanglan pada ulamak-ulamak ini meningkatkan dirinya untuk bersaing dalam alam yang penuh komplikasi ini dari sudut kepelbagaian ilmu yang perlu dimilikinya.

Saya pernah menyebut tentang reformasi agama sebagai keperluan untuk membuktikan kebolehupayaan agama itu menjadi relefan pada tuntutan masa dan keadaan. Dalam Islam, konsep tajdid dan kewajarannya diperakui oleh syariat Islam sendiri. Saya yakin agama Kristian juga mempunyai nilai-nilai keterampilan ini untuk ia kekal menjadi relefan pada tuntutan semasa tanpa perlu menggadaikan prinsip dan doktrin asas pegangannya. Itu jugalah yang saya bicarakan dengan Tuan Uskop Sebastian tempoh hari kerana, tanpa reformasi agama yang terpandu usaha dialog tidak mungkin tercapai dan kita akan terkurung dalam kesepian.Saya juga mengatakan dalam sembang santai saya dengan Tuan Uskop bahawa bukan semua agama adalah sama, kerana jikalau semua agama adalah sama, saya tidak akan mewakili Islam dan dia pula tidak mungkin mewakili Katolik. Saya bukan penyeru kepada penyamarataan agama kerana ia mustahil malah menghina agama tertentu, saya hanya pencinta kedamaian dalam hubungan umat beragama. Ide ini disambut oleh Tuan Uskop pada hari saya bertemu dengan beliau, saya nampak keterampilan beliau untuk menjadi pemimpin kepada pengikut agamanya yang hidup dalam dunia yang serba serbi hari ini. Tidak cukup untuk mengatakan kita adalah dari agama tertentu hari ini tetapi adalah lebih berketerampilan jika kita menegaskan bahawa kita dari agama tertentu yang mampu hidup dan kekal relefan dalam zaman ini.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved