Rabu, 10 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Karpal diselar cuba bangkitkan kes sedang dibicara di mahkamah

Posted: 10 Oct 2012 02:11 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Persidangan Dewan Rakyat hari ini hangat apabila seorang penyokong pembangkang cuba mempersoal kredibiliti saksi pembelaan bagi sebuah kes yang sedang berlangsung di mahkamah.

Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 cuba menimbulkan isu kredibiliti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi saksi pembelaaan dalam perbicaraan membabitkan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Karpal yang cuba bertegas bahawa beliau membangkitkan perkara itu atas kepentingan umum, ditempelak beberapa Anggota Parlimen lain termasuk Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), Datuk Zulkifli Noordin

(Bebas-Kulim-Bandar Baharu) dan N.Gobalakrishnan (Bebas-Padang Serai), sambil menyifatkan Karpal mempunyai agenda tersendiri.

Karpal, antara lain, berkata: "Kenapa pendakwaan dalam kes (bekas menteri pengangkutan Tun Dr) Ling Liong Sik bersetuju untuk adakan satu penangguhan untuk bolehkan representasi dibuat (pembelaan) kepada Peguam Negara atas (berdasarkan) keterangan Dr Mahathir sahaja?" katanya. Zulkifli yang bangun mencelah berkata: "Saya rasa Bukit Gelugor dah nyanyuk. Dia sedang serang kredibiliti saksi pembela. Jika itu tidak menjejaskan kepentingan kes itu, pihak tertentu, apakah ia?"

Beliau berkata: "Dia (Karpal) amat arif. Dia putar belit prosedur, berselindung di sebalik perundangan untuk serang saksi."

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian meminta Karpal untuk berhenti kerana berpendapat kenyataannya melanggar peraturan mesyuarat. Beliau meminta peguam terkenal itu tidak membincangkan di dalam Dewan perkara-perkara yang sedang dibicara di mahkamah.

"Mungkin di luar Dewan apa jua pendapat perundangan boleh (disuarakan), tapi jangan gunakan Dewan dan katakan kebebasan bersuara, kepentingan awam. Saya tak rasa itu saya boleh benarkan," katanya.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) turut bangun dan meminta Karpal beralih ke perkara lain.

Ketika menjadi saksi pembelaan Selasa bagi kes Dr Ling yang dituduh menipu jemaah menteri berhubung projek PKFZ, Dr Mahathir dilaporkan berkata bekas menteri pengangkutan itu adalah seorang yang jujur dan melakukan tugas yang baik terutama dalam membangunkan Pelabuhan Klang.

Peguam Wong Kian Kheong, yang mewakili Dr Ling dalam perbicaraan itu, memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya akan mengemukakan satu representasi bagi memohon pendakwaan menimbang semula tiga pertuduhan terhadap bekas menteri berkenaan. — Bernama

Nasha ingin timbulkan masalah dalam Pakatan, kata Khalid

Posted: 10 Oct 2012 01:20 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Okt — PAS melihat kenyataan-kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa terhadap DAP sebagai satu cubaan untuk menimbulkan masalah dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan kenyataan-kenyataan Nasha seolah-olah mempunyai agenda politik tertentu yang menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan cuba mewujudkan ketegangan dalam PR.

"Kebelakangan ini hubungan beliau (Nasha) dengan PAS tidak serapat dengan kerajaan BN.

"Kenyataan dikeluarkan jelas bertujuan untuk menguntungkan BN dan wujudkan ketegangan antara parti PR walaupun dikeluarkan tanpa bukti," kata Khalid (gambar) kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kenyataan terbaru yang dikeluarkan Nasha semalam adalah DAP cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian apabila mendakwa parti komponen PR itu pernah menganjurkan majlis dan berdoa untuk menjadikan negara ini sebagai negara Kristian selepas DAP memenangi 12 kerusi di Sarawak tahun lalu.

Khalid turut menegaskan, perkara itu tidak pernah dibangkitkan Nasha dalam pertemuan dengan Majlis Syura Ulama sebelum ini.

"Saya yakin jika dia ada bukti dan kemuka kepada PAS dan DAP, tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang terbabit akan diambil.

"Kenyataan Nasha amat menghairankan saya.

"Saya cukup pelik kenapa DAP sentiasa jadi sasaran Nasha, sedangkan (Dr) Chua Soi Lek turut keluarkan kenyataan Hudud dan Islam lebih teruk dari Karpal (Singh)."

Malah, Khalid turut menjelaskan kenyataan Nasha itu tidak berasas kerana DAP bukan parti Kristian, sebaliknya parti demokratik yang mempunyai keahlian berbilang kaum.

"DAP bukan parti Kristian, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Teng Chang Kim, semua bukan Kristian.

"Ia parti berbilang kaum dan agama ... dalam Perlembagaan juga DAP tiada sebut dasar perjuangan DAP memperjuangkan agama Kristian," katanya.

Khalid juga turut menegaskan kenyataan Nasha itu adalah atas tanggungjawabnya sendiri dan tiada kena mengena dengan PAS.

"Ia kenyataan yang tiada kena mengena dengan PAS.

"PAS ada Majlis Syura Ulama, setiap keputusan dibuat oleh  majlis syura, bukan individu," katanya lagi apabila ditanya sama ada Nasha akan dikenakan tindakan ekoran kenyataannya itu.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved