Isnin, 29 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Suruhanjaya Integriti tidak terima aduan pegawai Kastam ‘berbelanja’ lebih dari peruntukan

Posted: 29 Oct 2012 02:37 AM PDT

Suruhanjaya Integriti tidak terima aduan pegawai Kastam 'berbelanja' lebih dari peruntukan

PUTRAJAYA, 29 Okt — Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan hari ini menjelaskan tidak menerima sebarang aduan berhubung seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia yang berbelanja sakan melebihi peruntukan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti, Datuk Heliliah Mohd Yusof berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu sama ada daripada orang awam mahupun agensi berkaitan.

"Kami belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita sempena Majlis Jalinan Integriti antara ahli-ahli Suruhanjaya Integriti dan pihak berkepentingan, di sini.

"Sekiranya ada aduan dibuat, sudah pasti kita menjalankan siasatan."

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Heliliah Mohd Yusof mendakwa tidak terima laporan pegawai Kastam berbelanja lebih. — Foto oleh Choo Choy May

Heliliah turut menjelaskan, terdapatnya kemungkinan agensi Kastam telah menjalankan siasatan mereka sendiri kerana perkara itu membabitkan urusan pentadbiran mereka.

"Itu urusan pentadbiran mereka (Kastam) mungkin mereka ada menjalankan siasatan, tetapi jika ada aduan, kami akan menyiasatnya," katanya lagi.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah mendedahkan terdapat seorang pegawai Kastam yang membeli ratusan barangan yang tidak diperuntukkan sehingga mencecah RM1.82 juta.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr Awang Adek Hussein, turut berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai tersebut, namun menjelaskan tindakan hanya boleh diambil selepas siasatan dilakukan pihak polis.

"Kita tunggu laporan polis ... kita akan lakukan mengikut prosedur," kata Awang Adek. "Apabila polis telah siasat, kemudian baru kita akan lihat apa yang perlu kami lakukan, ini kesalahan jenayah, ia perkara serius, tiada siapa yang mahu sembunyikan."

Media sebelum ini melaporkan pegawai Kastam tersebut  telah membuat pesanan secara lisan bagi barangan  yang sesetengahnya berharga ribuan ringgit, dan melebihi kuantiti yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penetapan Permohonan Pembelian Peralatan Logistik Pencegahan.

Antara pesanan yang dibuat pegawai berkenaan adalah tambahan 50 sistem GPS sedangkan dia hanya diberi kuasa untuk membuat pesanan bagi 30 sahaja, pada harga RM6,174 setiap satu; tambahan 100 lampu Search Light Hell sedang jumlah yang diluluskan adalah 50 sahaja pada harga RM1,292,60 satu; 60 lampu beacon pada harga RM1,311 setiap satu, sedang tiada kelulusan untuk membelinya.

Antara barangan lain termasuklah; 250 lampu suluh yang boleh dicas semula pada harga RM1, 217,16 setiap satu, sedang tiada kelulusan untuk membelinya; 100 walkie-talkie pada harga RM5,259 setiap satu, sedang tiada kelulusan untuk membelinya, dan pegawai tersebut juga tidak diberi kuasa untuk membuat pesanan  bagi lampu beacon, lampu suluh dan walkie-talkie.

Berdasarkan laporan audit tersebut, pembelian yang dibuat pada 2007 tetapi pembekalnya, True Target Resources, tidak dapat dibayar kerana bil tersebut telah melebihi peruntukan perolehan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Laporan audit turut menyatakan, perbendaharaan pada tahun 2010 telah meluluskan pembayaran dan satu siasatan dijalankan terhadap pelanggaran peraturan tersebut.

Kementerian Kewangan pada 22 Disember 2010 telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Kastam supaya membuat laporan polis terhadap pegawai terbabit.

Laporan audit turut menjelaskan tiada tindakan diambil terhadap pegawai tersebut memandangkan beliau telah meletak jawatan dengan notis 24 jam pada  26 Februari 2008.

Pada 24 Mei 2012, Jabatan Kastam telah membuat laporan polis terhadap pegawai berkenaan.

MP pembangkang kecam agensi pembantu rumah asing biadap

Posted: 29 Oct 2012 02:26 AM PDT

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat mengecam tindakan agensi pembantu rumah asing ekoran sikap tidak sensitif mereka dalam membuat pengiklanan yang boleh menyinggung negara jiran Indonesia.

MP PKR Chua Tian Chang pada hari ini di Parlimen mendedahkan satu pengiklanan bertajuk "Indonesia maids now on SALE" (gambar) yang dipamerkan oleh Smart Labour Services Sdn Bhd di sekitar Klang.

"Iklan ini sangat tidak sensitif dan tidak menghormati maruah seorang manusia," kata Chua.

"Ia bukan sahaja tidak menghormati malahan pada masa depan mungkin akan menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Indonesia pada masa depan."

Naib presiden PKR itu juga berkata isu iklan pembantu rumah tersebut kini sudah berlegar di alam maya dan ramai rakan-rakannya di seberang yang sudah menghubunginya bagi menyatakan rasa tidak puas hati.

Turut hadir sama dalam sidang media tersebut MP Ampang, Zuraida Kamaruddin juga menggesa agensi kerajaan untuk meneliti isu yang dibangkitkan ini.

"Agensi kerajaan perlu meneliti kaedah pengiklanan ini dan memantau perkara seperti ini kerana jika ia tidak dielak dengan serta takut suatu hari nanti ia pasti menjadi isu lebih besar.

"Hubungan Malaysia dengan Indonesia pada suatu ketika pernah tegang kerana sikap kerajaan Malaysia yang lepas tangan dan cuai terutamanya dalam kes melibatkan penderaan oleh majikan," kata Zuraida.

Rentetan kontroversi melibatkan Malaysia-Indonesia telah menyebabkan kerajaan Republik tersebut melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Tetapi ia kemudiaannya ia ditarik balik berkuatkuasa pada 1 Disember 2011 tahun lalu.

Selain itu, pada 2010 Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia di Jakarta telah dilempar najis manusia oleh penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) pada satu demonstrasi petang ini.

Tahun lalu juga, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah diserang oleh sekumpulan rakyat Indonesia ekoran rasa tidak puas hati mereka dalam isu sempadan Malaysia-Indonesia di Kalimantan Barat.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved