Isnin, 8 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Anifah terima kunjungan hormat rakan sejawat dari Thailand

Posted: 08 Oct 2012 12:56 AM PDT

PUTRAJAYA, 8 Okt — Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya dari Thailand Dr Surapong Tovichakchaikul di pejabatnya, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thailand Sihasak Phangketkeow, Duta Thailand ke Malaysia Krit Kraichitti serta Menteri dan Kuasa Usaha di Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur Songsak Saicheua.

Dr Surapong berada di sini dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan selama sejam dengan Anifah, Dr Surapong berkata mereka berbincang mengenai pembangunan ekonomi, bandar raya

getah dan juga hubungan tiga hala antara Malaysia, Thailand dan Indonesia berhubung penstabilan harga getah pada masa hadapan.

"Kami juga berbincang mengenai apa yang akan kami lakukan ketika mesyuarat jawatankuasa bersama di Thailand bulan depan atau sebelum hujung tahun ini, serta persediaan untuk rundingan tahunan kelima pemimpin," katanya. 

Mengenai isu di selatan Thailand, Dr Surapong berkata mereka menghargai sokongan Malaysia terutama dari segi pendidikan termasuk biasiswa yang disediakan Malaysia untuk penduduk di wilayah itu.

"Kami mengharapkan sokongan Malaysia untuk membolehkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memahami situasi di Thailand bahawa kita sedang berusaha membawa keamanan di situ," katanya.

Sementara itu menurut kenyataan Wisma Putra, Dr Surapong dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri hari ini. 

Antara lain, pertemuan itu dijangka memberi peluang kepada kedua-dua pihak berbincang mengenai usaha sedia ada dan inisiatif baharu bagi terus memperkukuhkan hubungan dua hala yang mesra antara dua negara tetangga tersebut. — Bernama 

PBT diminta pantau penggunaan Bahasa Kebangsaan pada papan tanda

Posted: 08 Oct 2012 12:53 AM PDT

KUCHING, Okt 8 — Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak memantau serta memastikan papan tanda di tempat  awam menggunakan bahasa kebangsaan.

Beliau berharap Sarawak dapat muncul sebagai negeri yang secara nyata memancarkan citra budaya bangsa dalam merealisasikan cita-cita bahasa Melayu sebagai bahasa yang besar di dunia menjelang 2020.

"Penggunaan bahasa, baik pada papan tanda niaga, nama kawasan perumahan mahupun papan penunjuk arah tidak harus menggambarkan bahawa kita seolah-olah berada di Hong Kong, Miami ataupun di Hawaii," katanya pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, peringkat negeri, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), cawangan Sarawak di sini.

Teks ucapan beliau dibaca  Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg. 

Menurut Taib, kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan kerajaan pusat, khususnya DBP, untuk bersama-sama membina negara bangsa Malaysia melalui pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. — Bernama 

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved