Isnin, 15 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Krishna dan Arjuna di layar perak

Posted: 14 Oct 2012 04:57 PM PDT

15 OKT — Dalam tradisi seni persembahan seperti kathakali, therukuttu dan wayang kulit di Benua Kecil India, kisah-kisah yang dipersembahkan adalah cerita-cerita yang sudah diketahui umum. Namun, masyarakat pada masa lalu tetap khusyuk mengikuti persembahan yang diadakan berjam-jam lamanya.

Tentu sahaja peredaran masa dan perkembangan teknologi sudah mengubah segala keadaan itu yang kini hanya tinggal sebagai nostalgia. Namun begitu, diaspora India di seluruh dunia tidak pula melupakan kisah-kisah tradisional berbentuk epik, mitos, purana, cerita dongeng dan cerita rakyat yang menjadi sebahagian daripada identiti dan jati diri walau di mana mereka berada.

Animasi komputer yang digunakan amat menakjubkan.

Terdapat lima karya agung Tamil yang disebut "kaapiyam" dan menjadi kebanggaan masyarakat keturunan Tamil di serata dunia. Karya-karya berkenaan adalah "Silappatikaram" tulisan Ilango Adigal pada abad ke-6, "Manimegalai" oleh Seeththalai Sathanar (tahun 550-650 Masehi), "Civaka Cintamani" oleh Thiruththakka Thevar (abad ke-9), "Valayaapathi" (abad ke-9) dan "Kundalakesi" (abad ke-10).

Ada juga pengkaji sastera Tamil di Tamil Nadu, India yang memasukkan lima lagi karya dalam senarai "kaapiyam"; iaitu "Choolamani" oleh Thola Mozhithevar (abad ke-10), "Neelakesi" (abad ke-10), "Yesodhara Kaaviyam", "Udayana Kumara Kaaviyam" dan "Nagakumara Kaaviyam".

Walaupun majoriti penduduk kaum India di Malaysia adalah keturunan Tamil, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika saya katakan bahawa tidak semua bekas murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan pencinta Bahasa Tamil di negara ini tahu akan kandungan — bukan setakat menyebut senarai judul — karya-karya agung Tamil ini.

Sebaliknya, kaum India di seluruh dunia — serta majoriti penduduk di seluruh pelosok dunia — lebih mengenali epik "Ramayana" dan "Mahabharata" yang pada asalnya ditulis dalam Bahasa Sanskrit; kemudian diterjemah ke bahasa-bahasa utama di India dan seterusnya ke pelbagai bahasa utama dunia.

Kisah-kisah dari kedua-dua epik klasik ini sering diangkat dalam persembahan kutiyattam, kathakali, yakshgana, ramlila dan therukuttu di India. Di Kerala dan Mysore, Ramayana dan Mahabharata menjadi sumber bahan cerita bagi pertunjukan wayang kulit; sepertimana di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Watak Arjuna dari Mahabharata kini gah di layar perak.

Malah, bentuk-bentuk seni persembahan seperti wayang wong dan tari puteri di Indonesia, serta nang yai, nang talung dan khon di Thailand juga mengambil kisah daripada epik klasik India.

Rata-rata masyarakat India di Malaysia — tanpa mengira aliran bahasa pengantar di sekolah rendah — lebih mesra dengan epik Ramayana dan Mahabharata berbanding "kaapiyam" yang disebutkan. Hal ini tidak bermaskud untuk meremehkan kehebatan karya agung Tamil; sebaliknya sekadar menyatakan hakikat sebenar.

Sudah saya nyatakan tadi bahawa peredaran masa dan perkembangan teknologi mengubah cara masyarakat menghayati persembahan tradisional. Fenomena ini bersifat universal dan mahu tidak mahu, terpaksa dihadapi dengan fikiran terbuka.

Apa yang menarik, epik Ramayana dan Mahabharata ternyata masih tahan diuji zaman dan terus popular dalam kalangan masyarakat dunia. Drama bersiri berdasarkan kedua-dua epik berkenaan masih ditayangkan di televisyen serta dialih ke pelbagai bahasa dunia.

Filem-filem animasi berdasarkan kisah Ramayana dan Mahabharata juga sering dikeluarkan di beberapa negara. Terkini, saya berpeluang menonton dua filem animasi dari negara India yang membuktikan bahawa epik klasik India — khususnya Mahabharata — terus segar-malar dalam jiwa masyarakat dunia.

Pada 3 Oktober lalu, saya menonton filem animasi komputer hebat berjudul "Krishna Aur Kans" (2012) yang memaparkan kisah Dewa Krishna sejak lahir hingga berusia sepuluh tahun. Filem arahan Vikram Veturi ini turut menampilkan bakat suara Om Puri sebagai Kans dan Juhi Chawla sebagai Yesotha. 

Walaupun Krishna adalah wira (hero) dalam cerita ini, dia tidak muncul pada separuh pertama filem. Sebaliknya kisah awal menampilkan kezaliman Kans yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai impiannya menjadi pemerintah kuku besi.

Filem yang mengangkat kisah Dewa Krishna.

Sebagaimana dalam seni persembahan tradisional India, khalayak sudah sedia tahu kisah yang bakal disajikan. Begitulah juga dengan saya apabila menonton filem animasi komputer ini. Walaupun kisah yang ditonton adalah apa yang sudah diketahui (dibaca) sejak usia kanak-kanak, saya tetap beminat untuk menyaksikan filem ini dari mula hingga akhir.

Kisah yang disajikan hanyalah sehingga Krishna berusia sepuluh tahun. Kebanyakan peristiwa penting dalam epik, purana dan mitos klasik berkaitan dewa ini terpaksa diceritakan sepintas lalu. Maka, penonton akan lebih mampu menghayati filem ini jika sudah sedia tahu pelbagai kisah mengenai zaman kanak-kanak Dewa Krsihna. Pada masa sama, harus dinyatakan bahawa filem ini penuh dengan unsur agama Hindu dan wajar dijauhi oleh sesiapa yang sedar keimanannya terlalu tipis dan mudah tergugat.

Sebuah lagi filem animasi komputer yang sempat saya tonton adalah "Arjun: The Warrior Prince" (2012) yang mengangkat kisah daripada epik Mahabharata. Watak Krishna masih hadir dalam kisah ini; tetapi dia hanya ditampilkan sebagai "manusia" dalam filem ini. Mungkin juga kerana tumpuan mahu diberikan kepada keperwiraan Arjun (atau Arjuna).

Harus dinyatakan bahawa epik Mahabharata dan Ramayana serta teks klasik lain dari India sentiasa diberi interpretasi baru oleh para pengkaji. Maka, pasti sahaja filem "Krishna Aur Kans" dan "Arjun: The Warrior Prince" tidak seratus peratus sama dengan teks asal yang ditulis dalam Bahasa Sanskrit.

Filem "Arjun: The Warrior Prince" yang saya tonton pada 1 Oktober disajikan dalam animasi komputer yang lebih hidup dan bernyawa. Hal ini tidak menghairankan kerana rasa-rasanya filem keluaran UTV Motion Pictures dan Walt Disney Pictures ini menggunakan teknik "motion capture" atau "motion tracking" seperti yang kita lihat dalam filem "Rise of the Planet of the Apes" (2011).

Sebahagian watak yang menggerakkan cerita.

Sekali lagi, Mahabharata adalah sebuah epik yang panjang dan amat kompleks. Kebetulan, saya sekarang dalam proses membaca bab demi bab karya berkenaan yang diakui sebagai teks puisi terpanjang di dunia. Maka, filem animasi arahan Arnab Chaudhuri hanya mengangkat kisah yang berlaku sehingga ke saat tempoh pembuangan Pandava berakhir.

Sebagaimana dengan filem "Krishna Aur Kans", orang ramai akan lebih berjaya menghayati filem hebat ini mengenai Arjuna sekiranya sudah sedia tahu kisah Mahabharata. Khalayak di Malaysia dan Indonesia — tanpa mengira kaum dan agama — sepatutnya tidak menghadapi masalah kerana Ramayana dan Mahabharata tidak asing dalam kehidupan kita.

Filem "Arjun: The Warrior Prince" menampilkan suatu "twist" atau kejutan yang amat saya suka. Dalam cerpen berjudul "Laksamana Arjuna", saya mengangkat watak Vrihanala yang kurang dikenali dalam epik Mahabharata. Watak ini hanya wujud sepanjang tempoh satu tahun terakhir apabila golongan Pandava tinggal di istana Raja Virata sebaik tamat tempoh pembuangan selama 12 tahun.

Watak Vrihanala juga memainkan peranan penting dalam filem ini. Peranan Dewa Krishna pula diminimumkan. Mungkin kerana kisah yang ditampilkan menerusi filem animasi ini berakhir sebelum perang besar ("maha bharata yudha") bermula dan sebelum Dewa Krishna sempat memberi tunjuk ajar ("bhagavad gita") kepada Arjuna di medan perang.

Bagi khalayak yang sudah sedia tahu kisah tentang Krishna dan Arjuna, kedua-dua filem animasi ini pasti memberikan kepuasan dan keseronokan apabila ditonton bersama-sama keluarga. Ternyata watak-watak wira daripada pelbagai epik klasik India akan terus hidup bersama-sama perkembangan teknologi dan mampu pula "bersaing" dengan adiwira (superhero) dari Amerika Syarikat untuk mendapat tempat di hati generasi muda.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Golongan agama, pangkat dan darjat

Posted: 14 Oct 2012 04:39 PM PDT

15 OKT — Membaca tulisan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertajuk "Saya hanya rakyat marhaen" memberikan sedikit keinsafan dalam hati.

Keinsafan kerana Asri bukanlah seperti golongan agama yang saya sering pandang hina sebelum ini.

Golongan agama yang dimaksudkan sudah pasti dari agama Islam di Malaysia.

Jujurnya, sebelum ini, saya sering memandang hina kepada golongan agama oleh kerana mereka lebih saya lihat kepada pedagang.

Bezanya golongan ini dengan penjual ubat-ubat kuat di Chow Kit adalah produk mereka terdiri daripada Syurga dan Neraka.

Akan tetapi Asri berbeza dengan golongan-golongan ini.

Ada juga beberapa lagi yang saya hormati.

Apabila Asri sampai ke Kota London untuk menjadi Felo Pelawat disebuah universiti terkemuka, saya melihat beliau menjadi semakin progressif.

Semakin berani melontarkan pandangan-pendangan yang mungkin tidak menyenangkan penguasa.

Tulisan "Saya Hanya Rakyat Marhaen" keluar selepas beberapa peminat bekas Mufti Besar Perlis itu menghantar surat kepadanya menyatakan ketidakselesaan mereka untuk memanggil beliau dengan gelaran "Datuk".

"Baru-baru ini setelah pulang ke Malaysia dan saya terlibat dengan banyak program, seringkali nama saya diiklankan bersama gelaran Datuk, beberapa orang menghantar pandangan kepada saya dengan sungutan seakan 'alangkah baiknya jika Dr Asri ataupun Dr MAZA itu kekal dengan panggilan asalnya. Itu lebih mesra dan dekat di hati kami.' Saya terkesan dengan hal itu.

"Sebenarnya, anugerah yang diberikan kepada saya itu, hanyalah atas kemurahan hati pihak Istana Perlis sahaja. Dari segi jasa, tiada apa jasa besar saya untuk disebut ataupun dikenang.

"Dari segi harta, jika gelaran Datuk itu sering dibayangkan orang yang berharta, maka saya tidak termasuk untuk dibayangkan. Saya tidak berharta, melainkan sekadarnya seperti rakyat kebiasaan yang lain.

"Sehingga artikel ini ditulis, jika anda berjumpa saya di hotel mewah, itu biasanya ada penganjur program yang sewakan untuk saya. Jika anda bertemu saya dalam kereta mewah, itu menunjukkan ada orang bermurah hati menumpangkan saya. Rezeki masa depan hanya Allah Yang Tahu," tulis Asri dalam artikel "Saya hanya rakyat marhaen".

Apa yang dicoretkan oleh Asri ini dapat saya rasakan sebagai coretan ikhlas dari hatinya.

Golongan agama selalunya akan merasa malu jika dikaitkan dengan kekayaan, pangkat atau darjat.

Sekurang-kurangnya inilah yang saya faham melalui pembacaan dan pemerhatian.

Mujurlah Asri masih lagi belum menerima lamaran dari parti-parti politik baik dari Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR).

Kekallah beliau sebagai "Mufti Rakyat", tempat rujukan bagi orang bawahan dan golongan Mastadh'afin (Golongan Tertindas) dan janganlah sekali-kali bersama golongan Mustakbirin (Golongan Penindas).

"Saya lebih rela negara sekular, saya lebih suka negara yang memisahkan agama daripada politik kalau agama digunakan untuk kepentingan politik.

"Sekurangnya agama kita selamat, yang kena orang politik sahaja," katanya dalam sebuah wawancara bersama akhbar tempatan baru-baru ini.

Benar seperti apa yang dikatakan oleh Asri.

Melihat Malaysia pada hari ini, adalah lebih baik negara dijadikan negara sekular.

Islam boleh kekal sebagai agama rasmi akan tetapi politik dan Islam itu lebih baik dipisahkan kerana apa yang ditonjolkan pada hari ini, lebih banyak menunjukkan keburukkan daripada kebaikkan Islam itu sendiri. 

Ada juga seorang ahli politik daripada sebuah parti Islam yang saya kenali menolak gelaran Datuk sepertimana dilakukan oleh bekas timbalan perdana menteri (TPM), Tun Abdul Ghafar Baba yang pada ketika menjadi TPM, masih lagi bergelar "Encik".

Tidak salah menerima gelaran Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan lain-lain, akan tetapi jika itu dijadikan sebab untuk merasakan diri lebih hebat daripada yang lain, itu penyakit namanya.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved