Isnin, 22 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Kisah dari Siru Kambam

Posted: 21 Oct 2012 04:19 PM PDT

22 OKT — Pengalaman menerbitkan novel "Panchayat: Edisi Khas" (2012) memberikan semangat dan keyakinan kepada saya bahawa memang ada ruang dan peluang untuk merancakkan usaha menerbitkan sendiri karya-karya saya.

Bagi menjayakan penerbitan novel itu, saya mendapat bantuan kewangan daripada rakan-rakan dan kenalan dalam bentuk tempahan awal. Dana itulah yang saya jadikan modal untuk mencetak novel edisi khas itu. Maka, saya menamakannya "penerbitan berkebajikan".

Kini, saya sedang dalam proses menerbitkan sebuah kumpulan cerpen yang menggabungkan sejumlah cerpen baru dan lama. Projek ini juga amat unik kerana saya meminta kerjasama sejumlah rakan-rakan dan kenalan untuk menjadi Editor Bersekutu. Sambutan dan sokongan yang diterima amat menggalakkan dan terus melonjakkan semangat saya dalam melaksanakan projek ini.

Siru Kambam terbit pada 1996 dan diulang cetak pada 1997.

Rata-rata cerpen dalam kumpulan ini menggunakan latar tempat Siru Kambam atau mengangkat watak-watak yang berasal dari kampung kecil itu. Allahyarham Dr Othman Puteh yang menjadi pembimbing saya sejak 1991 merumuskan kampung berkenaan sebagai "suatu daerah berhampiran Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungannya dengan masyarakat majmuk" ("Siru Kambam", 1996).

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa saya hanya mula menulis kisah-kisah yang berlatarkan "Siru Kambam" selepas saya berpindah dari Taiping ke Klang pada akhir tahun 1991. Pengalaman itu amat menarik dan penuh nostalgia. Begitu banyak kisah yang diangkat; sehingga saya mendedikasikan kumpulan cerpen "Siru Kambam" (1996) dengan catatan "untuk para penduduk Siru Kambam yang tidak pernah putus-putus membekalkan saya dengan pelbagai idea dalam berkarya".

Berbalik kepada kumpulan cerpen yang sedang diusahakan, saya yakin bahawa karya-karya saya masih mendapat tempat dan sokongan daripada rakan-rakan dan kenalan dari jauh dan dekat. Sambutan dan sokongan terhadap "Panchayat: Edisi Khas" membuktikan hal ini; walaupun ada pihak yang berusaha gigih melakukan sabotaj dan mendesak orang ramai memboikot karya-karya saya.

Antara alasan yang digunakan oleh "puak anti-Uthaya" adalah bahawa saya sedang menyebarkan ajaran agama Hindu kepada pembaca pelbagai kaum dan agama menerusi karya-karya saya. Kononnya saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bersikap anti-Melayu. Harus saya akui bahawa "kempen" yang dilakukan puak ini juga secara tidak langsung membantu menimbulkan minat orang ramai untuk mengenali karya-karya saya.

Saya mendaftar judul bagi kumpulan cerpen ini di Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 27 September 2012. Pegawai yang saya kenali di sana, Ishak Awang, tampil membantu memudahkan urusan saya mendapatkan ISBN dan kod jalur (bar code).

Dua hari kemudian, saya memaparkan maklumat di blog bahawa saya memerlukan kerjasama rakan-rakan dan kenalan yang sudi menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi Editor Bersekutu. Sambutan yang diterima memang amat membanggakan dan di luar jangkaan.

Lalu, pada 10 Oktober 2012, saya mengirim manuskrip cerpen kepada para Editor Bersekutu dan memberikan masa kepada mereka sehingga hujung bulan untuk melakukan kerja-kerja pemurnian dan penyuntingan yang wajar.

Buku pertama yang diterbitkan sendiri pada 2001.

Seperti yang sudah saya nyatakan, buku ini mengumpulkan cerpen-cerpen yang menggunakan latar tempat Siru Kambam dan/atau watak-watak yang berasal dari sana. Memandangkan majoriti penduduk di kampung berkenaan adalah kaum India beragama Hindu, maka aspek budaya kaum India dan agama Hindu tidak dapat dielakkan.

Salah tanggap yang sering wujud dalam kalangan penulis adalah bahawa apabila seseorang menulis menggunakan "bahasa Melayu", maka karya itu mestilah mengenai "orang Melayu" dan "budaya Melayu". Seolah-olah pembaca kaum Melayu tidak akan, tidak boleh dan tidak sanggup membaca mana-mana karya yang keluar daripada sempadan itu.

Dalam hal ini, mujurlah saya menulis menggunakan "Bahasa Malaysia" dan karya-karya saya adalah mengenai "orang Malaysia" dan "budaya Malaysia". Saya tidak menulis untuk kaum tertentu atau penganut agama tertentu. Karya saya adalah untuk Bangsa Malaysia.

Pada akhir September 2012, timbul isu sebuah cerpen saya ditolak atas alasan "ada unsur penyebaran agama Hindu". Kononnya saya cuba "menyesatkan" pembaca Melayu-Islam. Alasan "bodoh dan lucu" itu segera mendapat bantahan daripada rakan-rakan dan kenalan saya yang membaca karya-karya saya sejak 1992.

Cerpen penuh kontroversi itu juga dimuatkan dalam buku ini yang menggabungkan karya-karya yang dihasilkan antara 1992 dan 2012. Ada cerpen baru dan ada cerpen lama yang disunting khusus untuk dimuatkan dalam buku ini.

Saya harus mengakui bahawa saya amat bertuah kerana sentiasa ada pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan kerja-kerja yang saya lakukan. Bukan kerana saya seorang politikus atau jutawan atau artis atau usahawan.

Jawapan yang biasanya diberikan adalah bahawa rakan-rakan dan kenalan yang tampil membantu itu berbuat demikian kerana mereka menyokong pendirian dan keberanian saya. Tentu sahaja kata-kata seperti itu meningkat semangat dan mengukuhkan integriti saya dalam meneruskan perjuangan demi kebenaran dan hak.

Buku pertama yang saya terbitkan sendiri adalah kumpulan cerpen "Sasterawan Pulau Cinta" (2001) bagi membuktikan "... bahawa istilah Bahasa Malaysia sedia wujud dan sah digunakan" tatkala ada pihak berusaha gigih menafikan hak saya menggunakan istilah "Bahasa Malaysia" apabila merujuk pada bahasa kebangsaan negara ini.

Buku-buku yang saya terbitkan sendiri sejak 2001 tidaklah membawa keuntungan dari segi kewangan. Sebaliknya membawa kepuasan jiwa dan hal ini jauh lebih penting serta lebih bernilai berbanding keuntungan dalam bentuk wang-ringgit. 

Pada masa yang sama, saya tetap dengan pendirian memartabatkan Bahasa Malaysia serta mengekalkan kemurnian bahasa itu. Walaupun buku-buku yang menggunakan bahasa rojak semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, saya tidak mahu terikut-ikut dengan budaya yang tidak sealiran dengan pendirian saya.

Kumpulan cerpen "Kisah dari Siru Kambam" juga meneruskan pendirian, perjuangan dan jati diri saya dalam hal-hal yang dinyatakan di atas. Saya percaya bahawa apabila kita tegas dalam pendirian, tidak ada sesiapa yang boleh menggugat integriti kita.

* Buku ini dijangka terbit pada Januari 2013 dan tempahan awal boleh dilakukan dengan menghubungi penulis menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved