Ahad, 7 Oktober 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Menilai tahap kepercayaan rakyat terhadap pemimpin politik

Posted: 06 Oct 2012 04:08 PM PDT

7 Okt — Sebut sahaja mengenai pemimpin politik, akan kedengaran kesangsian dan persepsi negatif masyarakat awam terhadap mereka.

Jika anda berpeluang untuk mengadakan tinjauan pendapat mengenai pemimpin politik, kesudahannya tidak banyak berbeza.

Situasi ini bukanlah sesuatu yang menghairankan, malah sudah dijangka. Umum maklum bahawa pemimpin politik bukan calang-calang individu biasa. Mereka dilihat mempunyai kemahiran luar biasa iaitu berpolitik!

Dalam dunia politik, apa yang benar tidak semestinya begitu. Malah, dunia politik penuh dengan kepura-puraan. Disebabkan sifat kepura-puraan itu juga, ramai pemimpin politik yang bersih dan ikhlas tidak dapat bertahan lama.

Terdapat beberapa jenis pemimpin politik di negara kita. Ada yang berfikiran terbuka, ada yang berfikiran sempit dan tidak kurang juga yang hanya menjadi pak turut yakni sekadar mengiakan apa yang diperkatakan oleh pemimpin tertinggi mereka.

Di satu pihak lagi, lahir pemimpin-pemimpin politik yang berkarisma, dinamik dan mempunyai pendiriannya yang tersendiri. Pemimpin jenis ini tidak gentar untuk menyuarakan pendapat mereka biarpun menyedari tindakan itu mungkin membahayakan kerjayanya.

Malangnya, bilangan pemimpin sedemikian hanyalah kumpulan minoriti.

Ternyata, sikap dan telatah kebanyakan pemimpin politik negara amat mendukacitakan. Keadaan ini tidak mengira pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

Keadaan berkenaan cukup terserlah dari aspek komen mereka terhadap dasar-dasar yang cuba diperkenalkan oleh lawan masing-masing.  Misalnya, saban kali apabila kerajaan mengemukakan bajet atau sesuatu dasar baru, ada sahaja kritikan oleh pembangkang yang menyelar ia sesuatu yang tidak telus dan menipu.

 Di pihak pemimpin kerajaan pula, kedengaran juga bahawa dasar-dasar yang diamalkan pembangkang tidak realistik. Kepada semua pemimpin politik dari kedua-dua belah pihak, berhenti dengan sikap kebudak-budakan ini.

Apa guna dan rasionalnya untuk berkelakuan sedemikian? Mungkin ada antara pemimpin politik yang begitu seronok dengan tindakan itu namun tidakkah anda sedar bahawa segala gerak-geri dan tutur kata anda sedang diperhatikan?

Rakyat telah memberikan mandat kepada pemimpin politik untuk mentadbir urus negara dengan baik, bukannya berpolitik secara kerterlaluan. Di manakah profesionalisme anda sebagai pemimpin politik?

Bukankah sebagai figura awam, pemimpin politik wajar memberikan teladan baik kepada rakyat? Bagaimanakah pemimpin-pemimpin politik boleh mengharapkan rakyat untuk menghormati mereka jika mereka sendiri tidak mahu menghormati dirinya?

Barangkali, pemimpin politik terlupa bahawa segala kuasa dan pangkat yang dimilikinya datang dari mandat rakyat? Apa sekalipun, usaha yang dilakukan kerajaan mahupun pembangkang, ia harus dinilai secara telus dan objektif sebelum mengkritik.

Kritikan memang baik, lebih-lebih lagi jika kritikan yang dikemukakan itu adalah yang membina.  Ia bukan sahaja menyedarkan pihak tertentu daripada terus terjerumus ke kancah kesilapan bahkan membolehkan pihak berkenaan lebih bersiap-sedia.

Malangnya, apa yang kelihatan kini ialah pemimpin politik hanya tahu mengkritik sama ada kerana kesetiaan membuta-tuli kepada parti yang disertainya ataupun mahu melindungi kepentingan peribadi mereka.

Apa yang mendukacitakan, wujud kecenderungan pemimpin politik untuk menjadikan media sebagai "punching bag" di atas kesalahan yang dilakukannya. Helah sedemikian sudah tidak relevan lagi.

Malaysia sememangnya memerlukan barisan pemimpin politik yang berfikiran terbuka, rasional dan berpijak pada bumi nyata. Mereka boleh mengkritik dengan mengemukakan hujah-hujah bernas dan bukannya mengampu semata-mata.

Pemimpin politik sering dilabel sebagai orang yang berintelektual. Jadi, mereka haruslah berkelakuan seperti seorang yang intelektual. Bermakna, mereka menjadi intelektual yang bukan sahaja boleh memberi kritikan membina tetapi juga menerima kepelbagaian pandangan.

Sudah sampai masanya sikap buruk ini dikikis. Sikap buruk itu bukan sahaja tidak memberi manfaat kepada semua bahkan juga pemimpin politik di mata rakyat.

Tidak hairan mengapa imej dan persepsi umum terhadap pemimpin politik sejak sekian lama, masih rendah.  Apakah sudah tidak ada jalan keluar untuk mengatasi masalah ini?

Pilihan kini terletak pada pemimpin-pemimpin politik itu sendiri. Jika mereka enggan berubah, maka rakyat boleh menunaikan kewajipannya untuk menukar pemimpin-pemimpin terbabit.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Jalan sukar melawan perkauman

Posted: 06 Oct 2012 04:03 PM PDT

7 Okt — Melawan perkauman bukan hal mudah lagi-lagi di negara ini yang sudah mendarah daging. Kita sering berusaha untuk lari namun sering digagalkan di meja makan bila bersama keluarga atau di hari perayaan besar. Hal ini berlaku di kalangan anak semua bangsa, baik Melayu, Cina, India dan lainnya.

Oleh kerana berkecimpung di dalam dunia aktivisme selain dunia nyata (perniagaan), saya pernah menulis tentang peri pentingnya melawan perkauman di kalangan mereka yang mendakwa sebagai pejuang melawan perkauman. Ini bukan hal yang sengaja diada-adakan melainkan memang ada dan tanpa sedar dinafikan dan diberikan pelbagai alasan oleh si pelaku, aktivis anti-perkauman yang perkauman.

Dibesarkan di dalam dua dunia yang satunya penuh dengan wacana Melayu dan musuh-musuhnya dan satunya lagi, bangsa Malaysia dan kebersamaannya memberikan dimensi yang pelbagai di dalam menyikapi hal-hal yang berlaku di sekeliling.

Telinga ini sering mendengar keluh kesah pekerja Melayu yang mendakwa didiskriminasi di tempat kerja dengan gaji yang tidak sama dengan rakan sejawatan dari bangsa lain dan peluang kenaikan pangkat yang disulitkan.

Telinga ini juga sering mendengar keluh kesah mahasiswa Cina dan India yang mendakwa tidak mendapat biasiswa dari kerajaan walaupun mendapat keputusan cemerlang dan datang dari keluarga tidak berada.

Mata ini sering melihat bagaimana anak-anak Melayu dipandang rendah apabila menjejak kaki di kedai-kedai bernuansa mewah dan mata ini sering melihat bagaimana anak-anak Cina dan India akan dibantai sekiranya melakukan pelanggaran ke atas anak-anak Melayu. Tragedi Kampung Medan sebagai contoh.

Lalu apa jalan ke depan? dan masihkah ada sinar cahaya?

Jika ditanya saya, jawapannya bercampur kerana sulit untuk dijangka ke mana akan menghala hubungan kaum di negara ini. Selepas pilihanraya Mac 2008 saya kembali optimis, namun beberapa tahun kedepannya optimisme itu kembali memudar. Peristiwa Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 kembali memberi harapan walau banyak cerita-cerita dalaman yang saya dengar tentang apa di sebalik gerakan Bersih dan Pakatan Rakyat kadangkala menggoncang perasaan ini.

Pilihanraya umum ke 13 semakin menjelang dan perang kebencian di antara kaum akan ditingkatkan demi sebuah kuasa. Minda orang Melayu telah dihasut dengan gigihnya oleh UMNO melalui media arus perdana bahawa kuasa politik Melayu sedang diancam walaupun hakikatnya tidak sama sekali.

Namun, tingkah laku segelintir ahli politik bukan Melayu dari Pakatan Rakyat yang kurang sensitif terhadap persoalan politik Melayu dan Islam turut tidak membantu, sebagai contoh komentar Ngeh Koo Ham dalam kes filem "The Innocence of Muslim".

Baru-baru ini, Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) telah mengadakan "Kempen selamatkan pendidikan Cina" dan mereka telah menghantar memorandum kepada PM Najib Razak.

Antara isi kandungan memorandum itu adalah: masalah kekurangan guru yang serius di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, petempatan guru tidak berkelayakan bahasa Cina masih dihantar mengajar di sekolah Cina, Sijil Peperiksaan Bersama sekolah persendirian yang tidak diiktiraf, kesukaran permohonan pendaftaran ahli lembaga pengarah pengelola sekolah dan beberapa lagi.

Saya memahami dan tidak bermasalah dengan apa yang diperjuangkan mereka kerana ia termaktub di dalam Perlembagaan walaupun jauh sudut di hati berharap anak semua bangsa di masa hadapan akan belajar di bawah satu bumbung.

Meskipun itu hak, saya percaya perangai seperti Dong Zong ini tidak akan membantu ke arah hubungan kaum yang lebih baik dan kaum Cina akan dilihat dengan lebih curiga. Pastinya hal ini tidak membantu saya dan kita semua yang menginginkan wujudnya bangsa Malaysia yang lebih bersatu padu. Jalan semakin sukar kerana pelaku perkauman, UMNO akan memanfaatkannya.

Meski begitu, Dong Zong telah dihentam hebat oleh seorang blogger berbangsa Cina, Shen Yee Aun yang kebetulan sahabat saya dan sayangnya sudah memasuki kem UMNO melalui proksinya MCA, tidak mengapalah.

Saya sangat bersetuju dengan beberapa kenyataan balas beliau merespon isi memorandum Dong Zong seperti di bawah;

- Even the Malays let a Chinese to lead and coach them and my own University Debate coach recognize that as integration of skills , knowledge and mindset of the Chinese version of the Malay Debate mentality and technique into our University Debate Community.

- How could Dong Zong ever thinks that only Chinese deserved to teach Chinese and non Chinese teacher are less qualify to teach Chinese ?

-Even Shila Amzah can sing Chinese Song way better than thousands of Malaysian Chinese.

- Even you ( Dong Zong ) are more RACIST THAN THE MALAY RACIST BECAUSE THEY NEVER EVEN SUGGEST TO USE ARABIC LANGUAGE AS PART OF OUR NATIONAL LANGUAGE ( Islamic Language ).

- Dong Zong are more RACIST and EXTREME than Malays because they restricted other races to learn Chinese Language but the Malays ENCOURAGE OUR MALAYSIAN CHINESE TO LEARN THEIR OWN LANGUAGE.

Kritikan tajam tersebut boleh dibaca lengkap di blog beliau di sini.

Akhirnya seorang berbangsa Cina berani mengkritik cauvinis dari kaumnya, tahniah saya ucapkan! Jika selama ini hanya kaum Melayu yang berani secara terbuka menempelak kaumnya sendiri, sudah tiba masanya kaum-kaum lain melakukan hal yang sama. Jangan dicari salah kaumnya, carilah salah perkaumannya.

Semoga perbezaan politik tidak menghalang kita untuk membetulkan apa yang tidak betul.

Kita anak semua bangsa wajib melawan perkauman di kalangan bangsa kita dahulu bermula di meja makan, sekolah, tempat kerja dan di mana saja. Semoga usaha kecil tetapi berterusan akan membuahkan hasil paling tidak untuk anak-anak kita nanti.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved