Isnin, 12 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Penjawat awam perlu kreatif supaya rakyat pandang tinggi, kata Najib

Posted: 12 Nov 2012 01:45 AM PST

PUTRAJAYA, 12 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) hari ini menggesa penjawat awam untuk berfikir secara kreatif dan proaktif bagi menampilkan imej yang membolehkan mereka dipandang tinggi oleh rakyat negara ini.

Najib ketika Majlis Pelancaran Pusat Panggilan 1 Malaysia (1MOCC) di sini menegaskan, penjawat awam selain menjadi kreatif, mereka juga perlu bersifat unggul dan hebat untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

"Kalau kita tiada penambahbaikan, rakyat yang semakin berkualiti dan mempunyai jangkaan yang semakin meningkat ... kita akan ketinggalan di peringkat global.

"Kalau hendak kerajaan memandang tinggi kepada kerajaan, secara kolektif ... kita perlu sediakan perkhidmatan yang semakin baik dan berkesan," katanya.

Menurut Najib lagi, melalui pelaksanaan 1MOCC itu juga, akan meletakkan perkhidmatan awam sebagai suatu yang dibanggakan oleh rakyat.

"Melalui pemikiran seperti ini, kita telah berjaya mencapai kejayaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya lagi.

1MOCC merupakan satu kaedah pemusatan panggilan jabatan kerajaan yang boleh dihubungi di talian 03 8000 8000 yang akan memberikan maklumat dan bantuan kepada rakyat untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan agensi kerajaan terlibat.

Di bawah pendekatan Strategi Lautan Biru, 1MOCC telah diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), TM, dan Perbadanan Putrajaya dengan Pusat Panggilan 1MOCC telah diwujudkan di Pejabat Perbadanan Putrajaya di sini.

Antara 21 agensi kerajaan yang terlibat dalam pemusatan pusat panggilan itu adalah agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, dan Kementerian Pengangkutan, yang bertindak sebagai pilot agencies yang bakal menjadi perantara dan jambatan kukuh untuk menghubungkan rakyat dan kerajaan.

Antara perkhidmatan yang diberikan 1MOCC adalah direktori pegawai termasuk nombor telefon agensi kerajaan, alamat agensi, soalan-soalan lazim, produk dan perkhidmatan 1 Malaysia, peta dan lokasi di Malaysia, serta tempat-tempat menarik di Malaysia, termasuk alamat agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan hospital.

Antara yang bakal menerima manfaat daripada 1MOCC ini adalah kumpulan rakyat Malaysia, pelancong, pelabur, dan juga penjawat awam itu sendiri.

Selain nombor telefon, perkhidmatan 1MOCC juga turut melibatkan penggunaan laman sosial seperti laman Facebook dan Twitter, laman web, e-mel dan faks 03-80008001.

Adnan Yaakob sokong anggota Umno isytihar harta

Posted: 12 Nov 2012 01:35 AM PST

BERA, 12 Nov — Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beliau menyokong jika anggota Umno yang menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke 13 mengisytiharkan aset atau harta mereka.

Katanya, ia adalah wajar supaya mereka 'bersih' daripada elemen prasangka sebelum layak dipilih mewakili parti dan mengelakkan seseorang itu hidup di luar kemampuan yang tidak seimbang dengan pendapatan. 

"Kita memerlukan bakal calon yang berintegriti, bersih dan berwibawa kerana wakil yang ditonjolkan itu adalah mewakili sebuah parti yang hebat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah kepada 86 peneroka Felda Tementi di sini hari ini.

Sabtu lepas, Dewan Pemuda PAS Pusat mengumumkan bahawa kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan Khamis ini walaupun tidak semua dalam kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.

Manakala Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur hari ini mengenai cadangan itu berkata Umno belum membincangkannya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved