Isnin, 19 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Hak kerahsiaan hilang jika individu melakukan jenayah, kata peguam Rafizi

Posted: 19 Nov 2012 01:33 AM PST

SHAH ALAM, 19 Nov — R Sivarasa, peguam mewakili pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) dalam hujahnya menegaskan hak kerahsiaan seseorang individu dalam maklumat perbankan hilang serta-merta jika didapati terlibat dalam jenayah.

Hujah tersebut diberikan oleh Sivarasa semasa sesi pendengaran permohonan membatalkan pertuduhan dibawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) ke atas Rafizi hari ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Ia diakui maklumat perbankan seseorang individu itu adalah rahsia.

"Tetapi jika seseorang itu menghadapi pertuduhan pecah amanah dan jenayah, secara serta-merta hak kerahsiaan itu terbatal," kata Sivarasa dihadapan hakim, Datuk Ghazali Cha.

Dalam hujahnya lagi, Sivarasa juga mempertahankan pendedahan maklumat perbankan Pusat Fidlot Nasional (NFC) oleh Rafizi memandangkan perkara tersebut bertujuan untuk kepentingan awam.

"Apa yang Rafizi lakukan ini adalah atas tanggungjawabnya kepada orang awam.

"Lagipun aduan BAFIA ini bukan dibuat sendiri oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mahupun Public Bank tetapi ia dilakukan oleh individu (pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail) yang kini menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah," kata Sivarasa lagi.

Selain hujah tersebut, Sivarasa juga mengesyorkan dihadapan hakim supaya mengiktiraf tindakan pendedahan Rafizi ini dengan satu penghargaan dan bukan mendakwanya di bawah BAFIA.

"Beliau telah mendedahkan salah laku menggunakan dana kerajaan untuk kepentingan diri sendiri.

"Jika negara luar, Rafizi akan diiktiraf dan dianggap sebagai wira kerana pendedahannya telah mengheret Datuk Salleh ke muka pengadilan.

"Tapi sebaliknya beliau pula didakwa. Jika ia diteruskan, apa pula persepsi orang ramai nanti," tambah Sivarasa lagi.

Rafizi pada 24 Oktober lalu telah melakukan permohonan menggugurkan tuduhan tersebut kerana bukti-bukti pertuduhan terhadapnya berniat jahat dan terpilih bertujuan menutup pendedahan butiran perbankan skandal NFC.

Dalam hujahnya lagi, Sivarasa juga mendedahkan dalam semakannya dengan BNM mendapati sejak BAFIA dikuatkuasakan tidak pernah ada individu yang didakwa di mahkamah kerana mendedahkan maklumat perbankan sekaligus mengukuhkan lagi bahawa pertuduhan ke atas Rafizi bersifat memilih.

"Semakan saya dengan BNM mendapati tidak pernah ada seorang pun yang didakwa dibawah BAFIA. Kenapa sekarang baru mahu menguatkuasakannya?" soal Sivarasa.

Rafizi berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 97 (1) kerana telah mendedahkan empat akaun profil pelanggan NFC —  National Meat and Livestock Sdn Bhd, Agroscience and Industries Sdn Bhd dan pengerusi NFC, Mohamad Salleh — kepada dua  individu yang dikenal pasti sebagai Encik Yusuf Abdul Alim dan Encik Erle Martin Cavalho.

Di bawah Seksyen 103(1)(a) akta yang sama, Rafizi boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM3 juta dan dipenjara sehingga  tiga tahun jika didapati bersalah.

Turut dibicara adalah bekas kerani Public Bank cawangan Jinjang Johari Mohamad, yang dituduh membantu Rafizi mendedahkan  transaksi akaun terbabit.

Kedua-dua Rafizi dan Johari mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut.

Rafizi adalah antara yang pertama mendedahkan skandal NFC dan menyifatkan pertuduhan BAFIA ke atas beliau menunjukkan "pihak berkuasa tidak mengalu-alukan pemberi maklumat".

Wang ikat jamin berjumlah RM15,000 dikenakan setiap seorang dengan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Pengarah  Komunikasi PKR sebagai penjamin.

Dalam pada itu, ekoran pendedahan Rafizi tersebut telah membawa kepada pendakwaan ke atas Mohamad Salleh atas jenayah pecah  amanah dan melanggar Akta Syarikat melibatkan RM49 juta dana persekutuan yang diberi kepada NFC pada 12 Mac.

Mohamad Salleh didakwa atas kanun keseksaan kerana menyalahgunakan RM9,758,140 dari wang NFCorp untuk membeli dua kondominium  mewah di One Menerung di Bangsar untuk Perbadanan Daging dan Ternakan Nasional (NMLC) pada 1 Disember dan 4 Disember 2009.

Dia juga didakwa memindahkan RM40 juta wang NFCorp kepada NMLC antara 6 Mei hingga 16 November 2009.

Beliau didakwa dalam dua kes tersebut kerana mennggunakan dana tanpa mesyuarat tahunan syarikat, iaitu kesalahan dalam Akta  Syarikat.

Jika didapati bersalah beliau akan menghadapi penjara antara dua hingga 20 tahun penjara, sebatan dan denda kerana kesalahan  di bawah kanun keseksaan.

Sesi pendengaran kes Rafizi pada hari ini ditangguhkan dan akan bersambung Jumaat ini, jam 9 pagi.

PDRM tingkat kolaborasi dan komunikasi antara agensi polis bantuan

Posted: 19 Nov 2012 01:19 AM PST

KOTA KINABALU, 19 Nov — Polis Diraja Malaysia (PDRM) di peringkat kontinjen dan daerah perlu tingkatkan kolaborasi dan komunikasi berterusan antara agensi polis bantuan bagi memanfaatkan sepenuhnya khidmat mereka mencegah jenayah menjelang tahap kedua Program Transformasi Kerajaan (GTP) tahun depan sehingga 2015.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis bantuan merupakan sebahagian entiti PDRM yang mencakupi hampir satu pertiga daripada kekuatan PDRM dengan jumlah perjawatan yang diluluskan sehingga kini adalah 34,572 orang.

"Polis bantuan dan PDRM perlu mengukuhkan lagi kerjasama strategik dan kolaborasi dalam usaha mencegah jenayah yang dijalankan di kawasan orang ramai, tanpa mengganggu tugas asas polis bantuan dan kolaborasi mereka untuk menjaga keselamatan di organisasi yang dilantik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Agensi Polis Bantuan bersama Pegawai Kanan PDRM ke-24 di Wisma Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, Pengarah Urusan SESB, Abd Razak Sallim dan Presiden Persatuan Agensi Polis Bantuan Malaysia, Bakri Sanusi.

Ismail berkata usaha menggunakan khidmat polis bantuan merupakan selaras dengan ketetapan yang telah digariskan di bawah Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A501 yang menjelaskan peranan dan tugas-tugas hakiki polis bantuan.

"Peranan dan tugas hakiki polis bantuan termasuk menjalankan rondaan, bit dan kawalan statik, melakukan tugas kawalan orang ramai, memeriksa orang dan kenderaan, melindungi dan mengiringi harta majikan, mencegah kesalahan jenayah dan mengesan serta menangkap pesalah," katanya.

Walaubagaimanapun, katanya bidang kuasa anggota polis bantuan dalam melaksanakan tugas adalah berkuatkuasa dan terhad kepada tanggungjawab melaksanakan tugas di sekitar kawasan yang telah ditentukan sahaja.

Menurutnya terdapat kekangan bagi polis bantuan terlibat secara langsung dalam 'aktiviti pencegahan jenayah' di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) disebabkan oleh faktor teknikaliti perundangan.

"Namun, kita semua tahu bahawa dari sudut legitimasi, polis bantuan adalah satu cabang daripada PDRM yang perlu diberi perhatian dan dorongan sewajarnya.

Maka, di sinilah perlunya konsep 3C iaitu 'Communication', 'Collaboration', dan 'Creativity' yang pernah diwar-warkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diimplementasi sepenuhnya," katanya.

Ismail berkata pada masa kini, terdapat 123 agensi yang mentadbir urus operasi polis bantuan iaitu 25 agensi kerajaan, 21 badan berkanun, 32 Syarikat

Berkaitan Kerajaan (GLC) dan 45 syarikat malah sehingga 31 Okt lepas sebanyak 16 agensi diberi kelulusan untuk menubuhkan pasukan polis bantuan.

Mengenai persidangan dua hari bermula hari ini yang dihadiri 200 peserta itu, Ismail berharap satu pendekatan terbaru dapat dihasilkan sejajar dengan perkembangan arus global semasa bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Seperti contoh tahap keselamatan di Sabah dalam keadaan baik dan indeks jenayah selama tiga tahun mencapai PI yang ditetapkan dan usaha ini harus berterusan kerana kita harus mencari benda baru sesuai keadaan lebih mencabar yang memerlukan inovasi baru dan tidak berada ditakuk lama," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved