Isnin, 19 November 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Mengapa Musa Hitam bersara?

Posted: 18 Nov 2012 04:59 PM PST

19 NOV — Tun Musa Hitam membuat keputusan mengejut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Sime Darby sedang sebelumnya dia dikatakan bersedia untuk dicalonkan semula apabila penggal perkhidmatannya itu tamat?

Musa adalah seorang dari sedikit pemimpin politik Umno yang dikira bermaruah. Apabila dia memutuskan untuk bersara dari politik, maka dilihat benar-benar tidak mencampuri urusan semasa politik parti dan negara.

Dia dirasakan berpuas hati dengan penghormatan sebagai pengerusi Sime Darby, sesbuah syarikat gergasi yang kerajaan ada kepentingan yang banyak.

Mengapa dia tiba-tiba mahu bersara?

Dari luar tidak nampak dia ada masalah di gedung itu dan dia juga tidak diketahui ada masalah dengan pemian-pemain politik domistik.

Oleh kerana Musa dari mula mencebur diri dalam politik sudah dilihat betul-betul seorang yang "political animal", malah lebih licin dari Dr Mahathir Mohamad, maka apa jua tindakannya dirasakan tidak terlepas dari sebab-sebab politik.

Mungkin dia menjadi masalah politik kepada perkembangan politik yang ada, tetapi mungkin juga dia mahu terlepas dari kesan sebarang gelombang politik.

Tidakkah mungkin keenggannya menyambung khidmat di Sime Darby sama seperti tidak tidak mahu menyambung khidmatnya sebagai Pengerusi Suhakam dulu?

Dia tidak berminat untuk menjadi Pengerusi Suhakam bila ia dibentuk dulu, tetapi Perdana Menteri Dr Mahathir melantiknya juga tanpa persetujuannya. Dia dikira seorang yang telah memberi khidmat yang baik. Walaupun ada Umno yang tidak senang dengan keadilan dan pendirian bebasnya menjalankan tugas, tetapi dia tetap dikira orang paling berwibawa dengan tugasnya itu dan eloklah lama dia di situ.

Dia menolak dari diangkat semula apabila kontrak khidmatnya tamat. Mengapa? Dipercayai dia yang sudah bersara dari politik itu mahu mengelak dari politik penyokong-penyokong yang harap  ada percaya tidak atas kewujudan Suhakam itu. Suhakam itu ada kerana Bangsa-Bangsa Bersatu mahukannya tetapi ia bukanlah suatu diingini kerajaan semasa.

Kerana dia sudah bersara dari politik, maka dia tidak seronok dibabitkan dengan politik lagi. Ada justifikasinya dia bersara dari Suhakam.

Tetapi bagaimana dengan Sime Darby?

Tidakkah mungkin sikapnya itu ada kaitan dengan gelombang politik negara yang panas sekarang? Belum pernah kerajaan BN sejak tahun 1955 menghadapi cabaran seperti yang ada sekarang dan belum pernah BN menghadapi Pilihanraya Umum yang begitu getir seperti menghadapi PRU13 ini.

Sime Darby tidak ada apa-apa peranan dalam PRU13. Ia bukanlah seperti SPR, SPRM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Pendaftaran dan lain-lain.

Ia badan ekonomi dan perdagangan saja. Jika badan itu hendak digunakan untuk kepentingan politik parti kerajaan pun, tidaklah sesenang itu orang hendak mendekati Musa. Tidaklah boleh orang berbuat itu dan ini kepadanya seperti yang orang buat kepada Peguam Negara dan Pengerusi SPR misalnya. Bukan anak Pak Hitamlah untuk dibuat begitu.

Tetapi Sime Darby itu adalah syarikat yang begitu dekat dengan kerajaan, mungkin dekat hampir macam dekatnya Allah dengan urat lihir setiap insan. Maka orang yang hendak jadi ketua di situ mestilah orang yang disenangi oleh kerajaan khususnya Perdana Menteri.

Tidaklah Musa itu orang Najib tetapi dia tidak akan menyusahkan Najib.

Dengan PRU13 ini begitu mencabar kerajaan, akan ada malu alahnya bagi peneraju Sime Darby itu jika Putrajaya berubah tangan. Tidaklah perubahan itu mengubah semuanya. Tetapi Musa tentu tidak mahu  ada apa-apa obligasi apabila ada Perdana Menteri baru nanti.

Kalau kerajaan baru mahu menghormatnya bukan sebagai pemimpin Sime Darby, tetapi biarlah yang lain seperti Speaker Dewan Rakyat misalnya. Jika dia jadi Speaker lainlah dari yang ada itu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Menghadapi kematian (Bahagian 4)

Posted: 18 Nov 2012 03:50 PM PST

19 NOV — Karmi akan melangkah masuk ke dalam laut atau sungai sambil diiringi warga emas atau pakar upacara agama. Periuk belanga berisi abu dan tulang dipegang dengan kedua-dua tapak tangan terbuka. Karmi akan berjalan ke dalam laut/sungai sehingga air sampai ke paras dada. Pada masa yang sama, periuk belanga berisi abu dan tulang jenazah dibiarkan tenggelam ke dalam air.

Semasa melakukan upacara menenggelamkan periuk belanga ini, karmi perlu memandang ke arah matahari atau ke arah timur dan berdoa meminta Pencipta mengampunkan serta "menerima kembali" roh mendiang.

Secara tradisi, semua yang hadir pada upacara berkenaan akan mandi di sungai/laut dan sama-sama berdoa sebelum pulang. Tapak yang digunakan sebagai tempat melakukan upacara tadi perlulah dibersihkan. 

Pelbagai upacara khas diadakan bagi 'membantu' dan 'membimbing' roh kembali kepada Pencipta.

Semua barangan yang digunakan perlu dimasukkan ke dalam beg plastik dan dibuang dengan cara yang betul. Biasanya, barang-barang dan perkakas yang digunakan bagi upacara menyempurnakan abu dan tulang jenazah tidak dibawa pulang ke rumah. 

Dalam budaya India (khususnya yang beragama Hindu dan Buddha), adalah dipercayai bahawa roh tidak mati bersama-sama jasad. Maka upacara menyempurnakan jenazah perlu dilakukan dengan teliti supaya roh si mati boleh meneruskan perjalanan mencari Tuhan.

Roh disebut "jiva", "atma" atau "prana". Apabila roh sudah meninggalkan jasad, nama yang diberikan adalah "preta". "Preta" dikatakan masih berada berdekatan dengan jasad selepas individu berkenaan meninggal dunia. Sebab itulah jenazah perlu dibakar dengan segera supaya "preta" boleh meneruskan perjalanan menemui Pencipta.

Mantera dan upacara yang dimulakan sebaik sahaja seorang individu meninggal dunia adalah bertujuan membantu "preta" meneruskan perjalanan ke alam yang lain. Upacara sembahyang khas bagi "preta" akan diadakan sama ada pada hari ke-10, ke-12, ke-16 atau ke-31 selepas individu berkenaan meninggal dunia. 

Upacara yang dinamakan "Sembahyang Shanti" atau "Sembahyang Moksha" ini ditetapkan dengan merujuk pada pakar agama atau atas nasihat warga emas yang berpengalaman. 

Upacara sembahyang diadakan di rumah atau di kuil sebagai tanda "preta" akan meninggalkan alam ini (disebut bhuloka) dan memasuki alam roh (disebut pitruloka) yang dihuni "pithru" iaitu roh-roh yang menunggu untuk dilahirkan semua ke bhuloka mengikut konsep karma.

Upacara ini juga digelar "Sembahyang Moksha" kerana didoakan supaya "preta" (roh atau "atma" mendiang) tidak akan memasuki pitruloka dan lahir semula ke dunia; sebaliknya akan mencapai moksha atau nirvana iaitu "bersatu" dengan Tuhan (iaitu "Paramatma" atau Roh Agung).

Antara soalan yang sering dikemukakan adalah mengapa jenazah kaum India tidak dikebumikan. Dalam budaya India, Tuhan dikatakan mencipta manusia daripada lima unsur alam yang disebut "panca bootam" iaitu air, api, tanah, angin dan angkasa. Maka, apabila seseorang meninggal dunia, jasadnya wajar "dikembalikan" kepada kelima-lima unsur alam berkenaan.

Begini: Apabila jenazah dibakar, api (nerupu) mendapat peluang untuk "mengambil" sebahagian jasad itu. Cecair badan pula akan mengalir masuk ke dalam tanah (nilam) manakala angin (kaatu) pula menerbangkan abu daripada jasad ke ruang angkasa (agayam). Akhirnya, abu dicairkan ke dalam laut atau sungai; maka jasad juga "dikembalikan" kepada unsur kelima iaitu air (neer).

Sering juga ditanya mengapa Sungai Ganges menjadi pilihan. Sebenarnya, sungai berkenaan dianggap sebagai sungai suci dalam kalangan masyarakat India beragama Hindu. Kononnya, jika mandi dalam sungai berkenaan, segala dosa individu berkenaan akan terampun. Namun, sebenarnya, abu jenazah boleh dicairkan dalam mana-mana sungai dan laut kerana akhirnya akan sampai ke lautan.

Rasionalnya di sini adalah bahawa abu jenazah sudah bercampur dengan air laut dan boleh pergi ke mana-mana penjuru dunia. Amalan ini sebagai simbolik bahawa roh mendiang boleh lahir semula di mana-mana penjuru dunia.

Dalam budaya India, tidak semua jenazah dibakar. Ada juga jenazah yang perlu dikebumikan. Bagi golongan bayi, kanak-kanak, teruna dan dara, roh mereka dipercayai meninggalkan jasad melalui lubang pada tengkorak. Bagi individu yang sudah berkahwin, roh dipercayai keluar melalui lubang mata, mulut, hidung atau telinga.

Bagi individu (bayi, kanak-kanak, teruna dan dara) yang roh keluar melalui lubang pada tengkorak, hidupnya dikatakan belum "sempurna". Dalam budaya India, hidup dikatakan "sempurna" hanya selepas berkahwin; dan sebaik-baiknya sudah ada anak. Istilah bagi individu yang belum berkahwin adalah "sanyasi".

Maka, jenazah sanyasi tidak dibakar, sebaliknya dikebumikan. Dengan itu, jasad berkenaan hanya "dikembalikan" kepada satu unsur alam iaitu tanah (nilam). Individu berkenaan dianggap meninggal dunia sebelum hidupnya "sempurna" iaitu sebelum berkahwin dan mendapat anak. Perlu dinyatakan bahawa masyarakat India percaya bahawa hidup seorang individu hanya "bermula" selepas berkeluarga.

Selepas jenazah dikebumikan, upacara sembahyang dan membaca mantera diadakan. Namun, makam atau sebarang tanda tidak boleh diletakkan pada kubur. Kaum-keluarga tidak digalakkan mengunjungi kubur kerana roh mendiang dipercayai tidak boleh meneruskan perjalanan ke alam roh sekiranya sering "dikunjungi" di kubur.

Hal ini tentunya berbeza dengan budaya masyarakat Melayu-Islam dan Cina serta penganut agama Kristian. Bagaimanapun, kini ramai juga masyarakat India yang meletakkan batu nesan serta membina makam kecil di tempat sanyasi dikebumikan. Kunjungan juga dilakukan pada hari-hari tertentu. 

Upacara menyempurnakan jenazah bagi sanyasi adalah sama seperti yang diterangkan sebelum ini. Namun, sebelum jenazah dibawa keluar dari rumah menuju ke tanah perkuburan, upacara "perkahwinan" diadakan bagi mendiang. 

Amalan ini dibuat kerana kehidupan sanyasi dianggap belum sempurna. Sekurang-kurangnya "perkahwinan" ini diharapkan akan menjadikan mendiang sedikit "sempurna" dan lebih cepat mencapai moksha.

Jika individu yang meninggal dunia adalah seorang teruna, pohon pisang yang kecil akan ditanam di dalam pasu dan diletakkan di sisi jenazah. Taali iaitu tali kuning yang diikat seulas kunyit akan diletakkan pada tapak tangan jenazah. 

Kemudian, seorang lelaki warga emas akan diminta mengambil taali berkenaan dan mengikatnya pada batang pokok pisang. Maka teruna berkenaan dianggap sudah berkahwin. Seterusnya, kanak-kanak dan wanita yang hadir akan diminta menutup mata atau memalingkan muka. 

Parang diambil dan pokok pisang yang diikatkan taali tadi ditebang. Makna simbolik adalah bahawa "isteri" sudah meninggal dunia. Dengan itu, kononnya, jenazah yang akan dikebumikan bukan lagi jenazah seorang sanyasi tetapi jenazah seorang lelaki yang sudah kematian isteri.

Jika individu yang meninggal dunia adalah seorang gadis, sebatang pohon pisang yang kecil ditanam di dalam pasu dan diletakkan di sisi jenazah. Taali diletakkan pada pokok pisang yang mewakili pengantin lelaki. Kemudian, seorang lelaki warga emas akan mengambil taali dan meletakkannya pada leher jenazah tanpa diikat dengan sempurna.

Seterusnya, pohon pisang ditebang sebagai simbol "suami" meninggal dunia. Maka, taali pada leher jenazah ditanggalkan. Makna simbolik adalah bahawa "suami" sudah meninggal dunia. Dengan itu, kononnya, jenazah yang akan dikebumikan bukan lagi jenazah seorang sanyasi tetapi jenazah seorang balu.

Bagi kanak-kanak dan bayi, jenazah perlu dikebumikan. Roh mereka dipercayai akan pergi semula kepada Pencipta dengan kadar segera sebelum dilahirkan semula ke dunia. Semua ini adalah amalan tradisi dalam kalangan masyarakat India-Hindu.

Apa yang pasti, dalam budaya India, kematian bukan titik akhir kehidupan. Sebaliknya adalah permulaan bagi kehidupan seterusnya. Itulah sebabnya upacara menyempurnakan jenazah dilakukan dengan penuh adat dan teratur. 

Kaum keluarga yang masih hidup akan cuba melakukan apa yang terbaik bagi memastikan roh si mati selamat kembali menemui Pencipta. Mengikut konsep karma dalam budaya India, roh berkenaan dipercayai akan lahir semua dalam bentuk yang lain serta melalui beberapa siri kehidupan dan kematian sebelum akhirnya bersatu dengan "Roh Agung" iaitu Tuhan.

Penerangan serba ringkas ini juga boleh menjadi sebuah permulaan untuk memahami budaya kaum India-Hindu secara lebih mendalam kerana pemahaman ini penting dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya di Malaysia. Usah kita lupa bahawa Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali dan saling menghormati.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved